Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

1 Januari 2018

Ulasan Tahunan Khazanah ke-14 (“KAR 2018”)

Khazanah mencatatkan prestasi keseluruhan yang kukuh pada 2017
Nilai portfolio meningkat RM13.4 bilion (+ 13.2%) kepada kedudukan tertinggi RM115.6 bilion, Keuntungan Sebelum Cukai meningkat 84.7% kepada RM2.89 bilion

Sorotan:

  • Portfolio Nilai Bersih Dilaraskan (“NWA”) meningkat sebanyak RM13.4 bilion atau 13.2% kepada kedudukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM115.6 bilion pada 2017 (2016: RM102.1 bilion). Penciptaan nilai jangka panjang kekal pada arah aliran meningkat dengan NWA berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (“CAGR”) sebanyak 9.6% setahun, atau 3.5 kali ganda, sejak 14 Mei 2004

  • Nilai Aset Boleh Direalisasikan (“RAV”) meningkat 8.2% kepada RM157.2 bilion (2016: RM145.3 bilion), manakala lindungan RAV, nisbah kehematan utama meningkat kepada 3.1 kali ganda

  • Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) belum diaudit meningkat 84.7% kepada RM2.89 bilion (2016: RM1.57 bilion)

  • Kemajuan berterusan dalam penciptaan nilai strategik jangka panjang, termasuk pelancaran satu program yang memacu inovasi di syarikat-syarikat milik Khazanah (TIDE). Tranformasi dan penciptaan nilai yang sedang berjalan telah memberi kesan dalam syarikat-syarikat teras kami dan menjadi pemangkin pembangunan di peringkat domestik, manakala pelaburan antarabangsa terutama dalam bidang Teknologi dan di China terus mempamerkan perkembangan menggalakkan.

  • Prestasi mampan dalam penyampaian nilai kemasyarakatan, dengan peristiwa penting termasuk RM233.5 juta yang dibelanjakan oleh Khazanah dan Yayasan Hasanah untuk Tanggungjawab Korporat, kemajuan selanjutnya dalam Projek Taman Tugu, pelaksanaan Hari Hasanah dan Program Hasanah Bersama Rakyat.

  • Kerja penginstitusian berterusan pada 2017, termasuk memperbaiki tadbir urus dan mewujudkan perkongsian antarabangsa untuk standard tadbir urus, melaksanakan pelan penggantian pengurusan dan pembangunan bakat yang berterusan.

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah ke-14 (“KAR 2018”), dengan mencatatkan kemajuan berterusan dan prestasi mampan dalam penciptaan nilai jangka panjang dan menjana pulangan kewangan, strategik dan kemasyarakatan.

Tan Sri Datuk Wira Azman Hj. Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah berkata: “Kami bersyukur kerana berjaya mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh pada 2017, dengan portfolio NWA meningkat 13.2% atau RM13.4 bilion kepada RM115.6 bilion. Ini mewakili pertumbuhan jangka panjang 3.5 kali ganda (atau 9.6% setiap tahun) peningkatan dalam nilai portfolio sejak 2004, dan telah dihasilkan menerusi portfolio perlindungan aset yang terpelihara sebanyak 3.1 kali ganda (aset berbanding liabiliti). Selain itu, PBT melonjak 85% kepada RM2.9 bilion manakala kemajuan baik telah dicapai merangkumi semua aspek mandat kami – strategik, masyarakat dan institusi.”

1. Prestasi Kewangan

  1. Pertumbuhan portfolio berterusan dan penciptaan nilai jangka panjang

  2. Nilai portfolio Khazanah yang diukur oleh Nilai Bersih Dilaraskan (“NWA”) berjumlah RM115.6 bilion pada 31 Disember 2017, meningkat RM13.4 bilion atau 13.2% daripada RM102.1 bilion pada 31 Disember 2016. Sejak 14 Mei 2004, pada permulaan penyusunan semula Khazanah, portfolio NWA telah berkembang pada kadar pertumbuhan purata terkumpul (“CAGR”) sebanyak 9.6% setiap tahun.

    Nilai Aset Boleh Direalisasikan (“RAV”) meningkat sebanyak RM11.9 bilion atau 8.2% kepada RM157.2 bilion pada 31 Disember 2017 daripada RM145.3 bilion pada 31 Disember 2016. Sepanjang tempoh dari 14 Mei 2004, RAV naik RM106 .3 bilion daripada RM50.9 bilion, yang menjadikan CAGR sebanyak 8.6% setiap tahun. Perlindungan RAV (aset berbanding liabiliti) berada pada 3.1 kali ganda setakat 31 Disember 2017 (2016: 2.9 kali ganda).

    Bagi 2017, Khazanah mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) belum diaudit sebanyak RM2.89 bilion, meningkat 87.4% (2016: RM1.56 bilion), menjadikan PBT terkumpul sejak 14 Mei 2004 kepada RM27.98 bilion. Khazanah juga mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.0 bilion untuk 2017. Sejak 14 Mei 2004, dividen terkumpul telah diisytiharkan berjumlah RM10.11 bilion.

    Khazanah membuat sejumlah 14 pelaburan berasingan baharu berjumlah RM6.3 bilion dan 12 pelupusan pada 2017 yang menjana hasil sebanyak RM6.4 bilion, dengan keuntungan daripada pelupusan berjumlah RM2.5 bilion. Dari 2004 hingga 2017, Khazanah telah membuat sejumlah 175 pelaburan bernilai RM87.9 bilion dan 102 pelupusan yang menghasilkan perolehan sebanyak RM59.2 bilion, dengan keuntungan keseluruhan daripada pelupusan berjumlah RM27.4 bilion.

    Pelaburan Khazanah di Malaysia mewakili kira-kira 55.5% daripada RAV mengikut pendedahan geografi pada 2017, manakala pelaburan luar negara menyumbang 44.5%. Mengikut negara asal syarikat pelaburan, Malaysia mewakili kira-kira 78.0%

2. Prestasi Kewangan

  1. Penerapan inovasi dan gangguan

  2. Tahun ini juga menyaksikan pelaksanaan misi strategik Khazanah yang mampan, dengan pelbagai inisiatif untuk memangkin lagi pertumbuhan jangka panjang dan penciptaan nilai. Ini termasuk pengenalan Program TIDE (Trend, Inovasi, Gangguan, Keusahawanan), yang merupakan program pelbagai tahun untuk terus memacu pertumbuhan dan prestasi syarikat-syarikat pelaburan kami, dengan mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penerapan inovasi, gangguan dan keusahawanan.

    Khazanah turut melancarkan program Khazanah Nasional Entrepreneurship Outreach (“KNEO”) pada 2017. KNEO[1] merupakan inisiatif pencarian bakat keusahawanan dalam kalangan warga Malaysia dan seterusnya memperlengkapkan mereka dengan latihan dan kemahiran industri menerusi beberapa program bootcamp dan accelerator.

  3. Pelaburan teras terus menjana hasil

  4. Syarikat-syarikat portfolio teras kami telah meraih beberapa kejayaan dan pencapaian penting pada 2017, termasuk Tenaga Nasional Berhad (“TNB”) yang melaksanakan polisi tambahan dividen kepada antara 30% hingga 60%; Telekom Malaysia Berhad (“TM”) menerusi TM One melancarkan Pusat Data Iskandar Puteri di Taman Teknologi Nusajaya, Johor; usaha sama antara Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”) dan Cainiao Smart Logistics Network untuk membangunkan hab e-dagang di KLIA Aeropolis; pembukaan Hospital Gleneagles Hong Kong dan Hospital Acunadem Altunizade oleh IHH Healthcare Berhad (“IHH”); penyelesaian penempatan persendirian bernilai AS$700 juta oleh edotco Group Sdn Bhd, anak syarikat Axiata Group Berhad (“Axiata”); perkongsian antara Touch n’ Go, anak syarikat CIMB Group Berhad (“CIMB”), dengan Alipay untuk penyelesaian dompet mudah alih. Selain itu, Malaysia Airlines Berhad (“Malysia Airlines”) yang mencatatkan kemajuan berterusan dalam penstrukturan semulanya turut menyaksikan pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai CEO Kumpulan pada Oktober 2017. Malaysia Airlines turut menerima pesawat Airbus berbadan besar A350-900 yang ditempah yang telahpun memulakan perkhidmatannya dari Kuala Lumpur ke London baru-baru ini. Syarikat penerbangan tersebut kekal berada pada landasan betul untuk mencatatkan keuntungan pada 2018.

    Prestasi jangka panjang syarikat-syarikat teras kami kekal utuh dengan jumlah pulangan pemegang saham (“TSR”) yang kukuh, termasuk TM (15.2% setiap tahun), CIMB (10.9% setiap tahun), TNB (9.9% setiap tahun ), IHH Healthcare (14.9% setiap tahun) dan MAHB (17.3% setiap tahun ).

  5. Terus melabur dalam syarikat mencatatkan pertumbuhan dan meraih nilai

  6. Khazanah terus membuat pelaburan baharu dalam syarikat-syarikat yang mencatatkan pertumbuhan terutama dalam sektor inovasi dan teknologi, sementara pada masa sama meraih nilai melalui pelupusan strategik. Pelaburan baharu yang dilaksanakan termasuk dalam edotco Group Sdn Bhd, Sigfox, dan Koubei, sebuah syarikat gabungan Alibaba; manakala pelupusan pula termasuk dalam VeloCloud Networks, Inc., Tech Mahindra dan China Huarong Asset Management Co., Ltd.

    Tahun 2017 juga menyaksikan penyiapan projek pembangunan DUO di Singapura, yang dibangunkan oleh M + S Pte Ltd (“M + S”), milik 60:40 Khazanah dan Temasek Holdings (Private) Limited. Perdana Menteri Malaysia dan Singapura telah melancarkan DUO dan Marina One baru-baru ini, yang merupakan satu lagi projek yang berjaya dibangunkan oleh M + S. Kedua-dua projek tersebut memiliki gabungan nilai pembangunan kasar kira-kira S$11 bilion.

3. Pengagihan Nilai dan Penginstitusian

  1. Menyampaikan pulangan masyarakat

  2. Pada 2017, sejumlah RM233.5 juta telah dibelanjakan oleh Khazanah dan Yayasan Hasanah untuk inisiatif Tanggungjawab Korporat (“CR”), menjadikan jumlah yang dibelanjakan kepada RM1.2 bilion sejak 2006. Khazanah juga menerbitkan bahagian kedua Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (“SRI”) tujuh-tahun berjumlah RM100 juta, yang mana RM5 juta dikhaskan sebagai bahagian runcit. Hasil perolehan itu digunakan untuk membiayai pelancaran Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR (“YA”). Khazanah dianugerahkan Anugerah Tanggungjawab Sosial Islam 2017 sebagai pengiktirafan terhadap Sukuk SRI.

    Salah satu projek CR utama oleh Khazanah adalah Projek Taman Tugu, yang mencatatkan pencapaian baharu pada 2017 dengan pengenalan Amanah Warisan Negara (“AWAN”), sebuah amanah kebangsaan yang mana Taman Tugu akan ditempatkan bawahnya. Selain itu, kerajaan akan memperuntukkan tambahan 25 ekar tanah bersebelahan bagi Projek Taman Tugu, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan seluas 91 hektar.

    Khazanah juga membuat pelancaran sulung Hari Hasanah pada 4 September 2017 bagi menggalakkan rakyat Malaysia menyumbang masa dan usaha untuk melakukan amalan baik untuk orang lain, sebagai sebahagian daripada kempen “Negaraku, Negara Kita” Khazanah. Kira-kira 30,000 orang memperoleh manfaat melalui lebih daripada 300 inisiatif bawah Hari Hasanah. Tahun 2017 juga menyaksikan pelancaran Hasanah Bersama Rakyat, program jangkauan Hari Hasanah untuk masyarakat B40 di kawasan terpilih, dengan program yang pertama diadakan di Johor Bahru, Johor pada tahun lepas, dan diikuti program di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

  3. Membangun modal insan dan mempromosikan penyertaan sosial

  4. Dalam sektor pendidikan, sejumlah 110 biasiswa telah dianugerahkan pada 2017 oleh Yayasan Khazanah bawah program biasiswanya yang menjadikan jumlah keseluruhan biasiswa yang dianugerahkan sejak 2006 kepada 756. Bawah program Khazanah-Skim Latihan 1Malaysia (“SL1M”), kira-kira RM78 juta dibelanjakan untuk melatih 4,220 graduan pada 2017. Ini menjadikan jumlah siswazah yang dilatih bawah program ini meningkat kepada 9,380 sejak tahun 2015. Di samping itu, 64 lagi sekolah telah dikenal pasti pada 2017 untuk pelaksanaan Program Sekolah Amanah, menjadikan jumlahnya mencecah 147 setakat ini. Sehingga 2017, program ini memanfaatkan 8,000 guru dan 110,000 pelajar. Inisiatif penyertaan sosial lain yang dilaksanakan pada 2017 termasuk komitmen RM24.0 juta untuk pelaksanaan dan penyampaian inisiatif pembangunan sosial dalam perumahan mampu milik, pembangunan keusahawanan, pembinaa kapasiti dan peningkatan daya hidup di Iskandar Malaysia, Johor.

  5. Sumbangan kepada agenda nasional

  6. Khazanah terus menyokong agenda pembangunan nasional yang lebih luas. Ini termasuk sokongan berterusan untuk pembentukan dasar kerajaan dan pengukuhan rantaian di seluruh rangkaian ilmu global, termasuk melalui Khazanah Research Institute (“KRI”). Pada 2017, KRI menerbitkan beberapa penerbitan termasuk “Why Trade Matters: Trade Issues in Non-communicable Diseases, Essential Medicines and Education”, penerbitan yang ketiga dalam satu siri laporan mengenai perdagangan antarabangsa dan dasar perdagangan. KRI juga menerbitkan “Building Social Capital: The George Town Experiment”, yang menonjolkan manfaat dana pembangunan komuniti dalam mengurangkan tekanan anjakan sosial dalam penjanaan semula pembangunan bandar.

  7. Pengukuhkan institusi

  8. Sebagai sebahagian daripada mandat strategiknya, Khazanah sedang memacu inisiatif pelaburan yang bertanggungjawab, khususnya melalui Projek Chronos, yang bertujuan untuk mengukur impak sosial daripada pelaburan kami selain nilai kewangan dan ekonominya. Pelaburan yang bertanggungjawab adalah selaras dengan mandat Khazanah untuk membina nilai sebenar jangka panjang yang menghasilkan pulangan kewangan, strategik dan kemasyarakatan. Di peringkat antarabangsa, Khazanah menjadi penanda tangan Prinsip Pelaburan yang Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan anggota pengasas FCLTGlobal (“Fokus Modal Jangka Panjang”), sebuah organisasi tidak bermotifkan keuntungan yang berfungsi untuk menggalakkan fokus jangka panjang dalam perniagaan dan membuat keputusan pelaburan. Khazanah juga dipilih sebagai Rakan Strategik Forum Ekonomi Dunia (“WEF”), dan kini merupakan ahli beberapa badan WEF, termasuk Lembaga Pengawas Inisiatif Sistem mengenai Kemajuan Ekonomi Masa Depan dan Kumpulan Pemandu Serantau ASEAN. Di samping itu, Khazanah juga diiktiraf oleh The Bretton Woods-Leaders List sebagai antara 25 Pemegang Aset Yang Paling Bertanggungjawab pada 2017.

    Khazanah terus meningkatkan usaha dalam memperkukuhkan tadbir urus korporat, pengurusan risiko, pembangunan bakat, dan integriti institusi baik secara dalaman dan merentas syarikat pelaburannya. Perkembangan penting pada 2017 adalah kelulusan pelan penggantian Khazanah oleh Lembaga Pengarah pada mesyuaratnya pada Disember. Pelaksanaan rancangan penggantian itu menyaksikan pelantikan dua Timbalan Pengarah Urusan, Tengku Dato’ Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz dan Ahmad Zulqarnain Onn, berkuatkuasa pada 1 Januari 2018. Di samping itu, Tengku Dato’ Sri Azmil telah mengambil alih tanggungjawab sebagai Ketua Bersama Pelaburan dengan Datuk Ben Chan, manakala Ahmad Zulqarnain Onn adalah Ketua Urus Setia Transformasi 2.0.

4. Tinjauan untuk 2018

Secara keseluruhannya, Khazanah akan terus kekal pada landasan sedia ada dengan fokus terhadap penghasilan prestasi kewangan dan strategik jangka panjang di tengah-tengah tinjauan pelaburan yang berhati-hati.

Tahun 2018 akan menyaksikan pelancaran Transformation 2.0, yang merupakan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan inisiatif penciptaan prestasi dan nilai, termasuk penerapan inovasi, gangguan dan keusahawanan dalam budaya syarikat untuk meningkatkan daya tahan syarikat pelaburan. Sebagai tambahan, Khazanah akan memfokuskan terhadap langkah memacu landskap perniagaan mampan dan bertanggungjawab, serta pembangunan kapasiti bakat kebangsaan.

TAMAT

[1] Untuk maklumat lanjut, lawat laman web KNEO di www.khazanahneo.com.my



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya