Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumkan pelaburan strategik dalam Funding Societies untuk memperluaskan akses kepada pembiayaan bagi PMKS

Kuala Lumpur, Malaysia, 3 Januari 2024 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dan CGC Digital Sdn Bhd (“CGC Digital”) mengumumkan pelaburan ke dalam platform kewangan digital perusahaan kecil dan sederhana bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara, Funding Societies | Modalku (“Funding Societies”), untuk meluaskan akses bagi perniagaan yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan pembiayaan.

Funding Societies adalah sebuah syarikat teknologi kewangan (“FinTech”) serantau yang menyediakan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”), terutamanya perniagaan mikro dan kecil yang tidak mendapat perkhidmatan daripada institusi kewangan sedia ada. Sejak penubuhannya, Funding Societies telah menyalurkan lebih AS$3.5 bilion (RM16 bilion)1 dalam bentuk pembiayaan perniagaan melalui lima (5) juta transaksi dan memberi impak positif kepada lebih daripada 100,000 perniagaan merentasi lima (5) pasaran di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Dalam konteks Malaysia, Funding Societies bermatlamat untuk menangani jurang pembiayaan RM90 bilion2 (AS$19 bilion) bagi PMKS. Ditubuhkan pada tahun 2015, Funding Societies merupakan antara syarikat yang pertama didaftarkan sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Melalui pelaburan ini, Funding Societies mensasarkan untuk meluaskan perkhidmatan di Malaysia ke luar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Menjelang akhir 2025, sasarannya adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 25,000 PMKS di seluruh Malaysia. Ini bagi meningkatkan akses PMKS kepada pembiayaan, pertumbuhan, dan pengembangan, sekali gus mendorong penciptaan pekerjaan dan peningkatan pendapatan bagi para pekerja dalam sektor ini.

Selain itu, Funding Societies bercadang untuk meluaskan capaian perkhidmatan pembiayaan Islamik yang diperkenalkan di Malaysia awal tahun ini. Sejak dilancarkan pada Mei 2023, lebih daripada RM100 juta telah disalurkan sebagai pembiayaan patuh Shariah di Malaysia.

Pelaburan Khazanah adalah di bawah mandat Dana Impak, satu tonggak utama strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia). Pelaburan ini menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan prestasi PMKS melalui akses yang lebih baik kepada pembiayaan, mencipta peluang dan membantu pertumbuhan sosioekonomi bagi komuniti luar bandar dan separa bandar, serta komuniti dengan akses terhad kepada perkhidmatan kewangan.

Bagi mencipta impak yang besar dalam ekosistem PMKS di Malaysia, pelaburan Khazanah dalam Funding Societies dilaksanakan bersama CGC Digital. CGC Digital mensasarkan untuk meningkatkan keterangkuman kewangan melalui pembangunan produk jaminan digital yang inovatif serta model penilaian kredit jaminannya sendiri yang mampu menutup jurang dan mengatasi masalah utama dalam pembiayaan perniagaan mikro dan kecil. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan peluang sama rata bagi PMKS, terutamanya PMKS dengan sejarah kredit yang singkat. Bagi mengukuhkan kerjasama ini, Funding Societies akan terus bekerjasama dengan CGC Digital untuk menyediakan produk jaminan digital di platformnya, yang akan terus membantu perniagaan mikro dan kecil di Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan bagi jangka panjang. Pendekatan mendahulukan digital (digital-first) melalui produk jaminan digitalnya yang menggunakan data alternatif akan membolehkan perniagaan mikro dan kecil untuk mengakses pembiayaan yang lebih luas dengan kos yang berpatutan.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, berkata, “Pelaburan dalam Funding Societies mencerminkan komitmen kami untuk menggalakkan keterangkuman kewangan dan mengecilkan jurang pembiayaan, terutamanya dalam komuniti PMKS. Sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia dan menyumbang kepada hampir separuh pekerjaan dalam negara, peranan PMKS adalah penting. Namun pada masa yang sama, PMKS berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan pembiayaan. Oleh itu, pelaburan ini selari dengan misi kami untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan pertumbuhan sosioekonomi.”

Tambah Feisal lagi, dengan menyokong platform inovatif seperti Funding Societies bersama CGC Digital, Khazanah berhasrat untuk memberdayakan komuniti PMKS, membuka peluang baru untuk mendorong kemajuan negara selaras dengan visi Ekonomi MADANI untuk meningkatkan manfaat sosioekonomi untuk semua.

Penilaian impak Khazanah didorong oleh peranan platform kewangan digital seperti Funding Societies, yang mendahului dalam penyampaian pembiayaan digital yang menyeluruh kepada PMKS yang mendapat perkhidmatan terhad di Asia Tenggara. Ini membolehkan akses PMKS yang lebih baik kepada modal dan mempromosikan keterangkuman kewangan di serantau.

Khusus untuk pasaran Malaysia, dengan pelaburan Dana Impak, Funding Societies berhasrat untuk menyalurkan lebih daripada 50% pinjaman tahunan melalui pembiayaan patuh Shariah menjelang 2025 – selaras dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan PMKS Bumiputera.

Yushida Husin, Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, berkata, “CGC Digital melihat pelaburan ini sebagai kemenangan strategik bagi PMKS Malaysia. Kami berkongsi visi Dana Impak dan percaya bahawa, melalui kerjasama dengan Khazanah, CGC Digital dapat meningkatkan keterangkuman kewangan di kalangan PMKS yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan dalam ekosistem digital. CGC Digital berhasrat untuk memacu kemajuan dengan membangunkan rangkaian produk jaminan digital inovatif untuk PMKS dengan sejarah kredit yang singkat, yang boleh ditawarkan bersama produk pembiayaan daripada Funding Societies. Ini bertujuan untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan pembiayaan yang amat diperlukan.”

Pelaburan ini juga mengikuti kejayaan kerjasama antara CGC Digital dan Funding Societies pada awal tahun ini, di mana produk jaminan baru telah dibangunkan melalui satu program perintis. Produk ini menyediakan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad pada peringkat transaksi pembiayaan rantaian bekalan digital oleh Funding Societies. Ini, pada masa yang sama, menyokong aktiviti perniagaan PMKS secara langsung dan memajukan keterangkuman kewangan.

Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, Ahli Lembaga Pengarah CGC Digital dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk CGC Digital, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, berkongsi pendapat yang sama dan berkata, “Dengan bergabung tenaga bersama Khazanah dan Funding Societies, pelaburan strategik oleh CGC Digital. Ini mencerminkan komitmen Kumpulan CGC untuk membawa PMKS Malaysia, terutamanya PMKS dengan sejarah kredit yang singkat, ke peringkat seterusnya.”

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo, berkata, “Kami berasa bangga mendapat sokongan daripada Khazanah dan CGC Digital, yang turut berkongsi semangat untuk mencipta impak kepada PMKS. Ini adalah bukti komitmen kami untuk menyediakan kemudahan kredit kepada lebih banyak PMKS yang tercicir. Secara progresif, kami juga akan menawarkan lebih banyak perkhipengurusan aliran tunai kepada PMKS untuk memacu pertumbuhan mereka.”

Beliau menambah, walaupun PMKS mewakili 97% daripada perniagaan yang ditubuhkan di Malaysia dan menyumbang 38% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK)3, kumpulan ini masih menghadapi cabaran yang besar untuk mendapatkan kredit, seperti yang dibuktikan oleh jurang pembiayaan RM90 bilion di Malaysia4.

“Di sini, Funding Societies akan berusaha untuk membantu PMKS dalam pengurusan dan keperluan tunai mereka melalui capaian kami yang luas dan pilihan penyelesaian pembiayaan jangka pendek yang pelbagai,” tambah Teo.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya