Integriti

Kami bertindak dengan penuh integriti tanpa kompromi. Khazanah terus mengukuhkan rangka kerja yang berkaitan integriti untuk mencapai objektif Pelan Pencegahan Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) dan melaksanakan pelbagai program untuk kakitangan, vendor dan syarikat pelaburan kami ke arah mencapai tujuan ini. Khazanah juga mematuhi pelbagai ketetapan yang digubal di peringkat nasional berkaitan pencegahan rasuah, antaranya termasuk membangunkan dan melaksanakan Rancangan Integriti dan Pencegahan Rasuah (IACP). Setiap pencapaian bawah IACP dilaporkan terus kepada Jawatankuasa Lembaga bagi Audit & Risiko.

Perutusan Integriti oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit & Risiko (ARC)

Integriti sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda untuk menangani gejala rasuah di peringkat global. Di Malaysia, ia merupakan agenda penting di peringkat kebangsaan yang melibatkan komitmen segenap lapisan masyarakat. Secara khususnya, salah satu strategi utama bawah Pelan Anti-Rasuah Negara 2019-2023 (“NACP”) adalah untuk memastikan entiti korporat memiliki daya ketahanan bagi menangkis ancaman rasuah di peringkat organisasi . Seterusnya, dengan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia 2009 (“Peruntukan Liabiliti Korporat”), sejajar dengan trend global, organasisi diberikan tanggungjawab besar untuk memastikan amalan rasuah dalam perniagaan tidak akan ditolak ansur atau dimaafkan

Organisasi kini perlu membuktikan bahawa ia memiliki “tatacara yang mencukupi” bagi membenteras amalan rasuah. Ini termasuk menyediakan program menyeluruh yang merangkumi analisis risiko, tadbir urus, proses, pemantauan dan komunikasi. Lebih penting lagi, perlu wujud komitmen di peringkat atasan syarikat dalam kalangan Pengurusan Kanan dan Lembaga Pengarah bagi memastikan budaya integriti korporat sentiasa menjadi teras sesebuah organisasi.

Bagi Khazanah, Lembaga Pengarah, menerusi Jawatankuasa Audit & Risiko (“ARC”), memainkan peranan penting dalam membimbing usaha organisasi ini dalam menangani rasuah. Pada tahun 2019, ARC telah meluluskan fasa pertama Pelan Integriti & Anti-Rasuah Khazanah 2019-2020 (“Fasa 1 IACP”). Meskipun berhadapan pelbagai rintangan, khususnya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, saya ingin memaklumkan bahawa Fasa 1 IACP telah berjaya diselesaikan. Sukacita juga saya maklumkan bahawa ARC baru-baru ini telah meluluskan Pelan Integriti & Anti-Rasuah Khazanah 2020-2021 (“Fasa 2 IACP”) . Ini jelas menunjukkan komitmen Lembaga Pengarah dalam menyokong pembentukan pelan yang menyeluruh bagi menangani isu-isu yang berkaitan.

Oleh yang demikian, kami menaruh harapan tinggi agar kakitangan Khazanah sentiasa memelihara tahap integriti tertinggi dalam segala tindak-tanduk dan aktiviti profesional mereka. Sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia, matlamat kita adalah untuk sentiasa menjadi peneraju dan contoh ikutan dalam segala amalan kita, termasuk dalam pendirian kita yang menolak sebarang amalan rasuah serta mengamalkan budaya integriti dalam urusan perniagaan. Selanjutnya, bagi membuktikan komitmen penuh kami di peringkat Lembaga Pengarah, kami akan terus menyokong usaha untuk memperkenalkan dan mengukuhkan tadbir urus yang sewajarnya, yang antara lainnya termasuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang “selamat untuk bersuara” (“Safe to Speak”) bagi membolehkan kakitangan Khazanah membangkitan sebarang isu dan kebimbangan, tanpa rasa takut atau risau. Sebagai Pengerusi ARC, ini adalah jaminan kami kepada anda.

Sebagai penutup, marilah kita bersama-sama memastikan bahawa integriti tersemat dalam budaya kita, bukan sahaja di tempat kerja, malah dalam cara hidup kita.

Terima Kasih.

DATO’ ZAINAL ABIDIN PUTIH
Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi, Jawatankuasa Audit & Risiko
Khazanah Nasional Berhad

Saluran Pemberian Maklumat

Selari dengan komitmen kami untuk menyemai budaya integriti di Khazanah, kami menggalakkan semua pihak untuk melaporkan sebarang kelakuan yang melampaui batasan integriti atau tindakan tidak wajar yang melibatkan organisasi.

Kami akan sentiasa memelihara kerahsiaan dan tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan balas atau pembalasan atas laporan atau aduan yang telah dibuat dengan niat baik.

Sebarang aduan atau laporan khusus berkaitan dengannya boleh dikemukakan kepada kami menerusi e-mel di integrity@khazanah.com.my.