Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, mengukuhkan strategi pertumbuhan di tengah pasaran yang tidak menentu

Menunjukkan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan yang mampan sambil menerapkan kelestarian dalam operasi

Sorotan 2023

  • Keuntungan operasi RM5.9b, peningkatan yang signifikan dari RM1.6b pada Tahun Kewangan (“TK”) 2022
  • Mencapai 2.9% Kadar Pulangan Berwajaran Masa (“TWRR”) bagi Nilai Aset Bersih (“NAV”) untuk kitaran 5 tahun untuk Portfolio Pelaburan
  • Mengenal pasti projek Dana Impak bernilai RM877j untuk menyampaikan manfaat sosioekonomi dan meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia
  • Menubuhkan platform pelaburan hijau – UEM Lestra, mengukuhkan komitmen terhadap agenda kelestarian dan peralihan tenaga Malaysia
  • Menunjukkan prestasi kewangan dan operasi yang kukuh bagi aset Penerbangan dan Pelancongan

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2024 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan prestasi kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, mencatat prestasi yang kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.

Tahun 2023 merupakan tahun yang mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan, kadar inflasi tinggi yang mereda, keadaan monetari yang ketat, rali tertumpu dalam kecerdasan buatan (“AI”), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik yang berterusan.

Namun begitu, Khazanah kekal berdaya tahan dan menunjukkan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan yang mampan sambil melabur untuk masa depan dan menerapkan kemampanan merentas operasi.

Pengarah Urusan Khazanah Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Kami mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada tahun 2023, dengan keuntungan yang melebihi tiga kali ganda berbanding TK2022. Komitmen kami tetap utuh, dan kami terus memanfaatkan usaha penciptaan nilai dan pendekatan pengimbangan semula portfolio untuk mengukuhkan penyata imbangan kami dan membina kedudukan kewangan yang berdaya tahan. Walaupun 2024 dijangka menjadi satu lagi tahun yang mencabar di peringkat global dengan ketidaktentuan politik yang memuncak, Memajukan Malaysia akan kekal sebagai tema utama kami untuk mengemudi strategi dan tindakan kami ke arah menyampaikan pembangunan negara dan memastikan masa depan yang mampan untuk Malaysia.”

Prestasi Kewangan dan Portfolio
Khazanah mencatat keuntungan operasi sebanyak RM5.9b, didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi dari syarikat pelaburannya, keuntungan nilai saksama, dan pemeliharaan modal. Hutang meningkat sedikit kepada RM50.2b dari RM49.1b tahun sebelumnya. Nisbah Nilai Aset Boleh Direalisasi (“RAV”) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7x.

NAV meningkat daripada RM33b pada tahun 2004 kepada RM85b pada 2023, menghasilkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 5.1%, memenuhi mandat Khazanah untuk menyampaikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia. Portfolio Pelaburan mencapai NAV TWRR sebanyak 2.9% untuk kitaran 5 tahun dan NAV TWRR setahun sebanyak 5.7% di tengah-tengah keadaan pasaran yang mencabar dalam tempoh ini.

Pulangan meningkat pada tahun 2023, didorong oleh portfolio pasaran maju dan pemulihan sebahagian daripada syarikat pelaburan tersenarai kami di Malaysia. Pada tahun 2023, Khazanah membuat RM7.3b pelaburan baharu dan memperoleh RM7.2b daripada pengewangan aset.

Aset Penerbangan dan Pelancongan Khazanah menunjukkan prestasi kewangan dan operasi yang lebih baik. Malaysia Aviation Group Berhad (“MAGB”) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai (“NIAT”) positif untuk pertama kalinya dalam tempoh setahun penuh, dan Destination Resorts and Hotels (“DRH”) catat pemulihan kukuh pasca pandemik. Tiada suntikan modal tambahan diperlukan sepanjang 2023.

Pada April 2023, Khazanah menerima penarafan kredit penerbit pertamanya iaitu A3 dan A- daripada Moody’s Investors Service dan S&P Global Ratings. Penarafan kredit gred pelaburan ini mengiktiraf keupayaan kukuh Khazanah untuk memenuhi komitmen kewangannya, rekod prestasi dasar pelaburan dan pembiayaan yang kukuh, dan peranan penting dalam mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia.
Khazanah membayar dividen sebanyak RM1b untuk tahun 2023 kepada Kerajaan Malaysia, dengan dividen terkumpul sebanyak RM18.1b sejak tahun 2004.

Kekal fokus kepada Memajukan Malaysia
Khazanah terus melaksanakan strategi dan pendekatannya yang diperbaharui pada 2023, berpaksikan Memajukan Malaysia untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia.

Satu pencapaian yang utama adalah pelancaran platform pelaburan hijau, UEM Lestra Berhad (“UEM Lestra”), di bawah anak syarikat milik penuh Khazanah, UEM Group Berhad, sebagai sokongan kepada aspirasi Kerajaan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (“NETR”).

Dana Impak mengenal pasti projek bernilai lebih RM800j merentasi enam tema utama, dengan program baharu dilancarkan untuk memperkukuh ekosistem digital dan syarikat pemula Malaysia melalui pelaburan kewangan dan pembangunan modal insan. Inisiatif seperti Future Malaysia Programme, Future Malaysia Skills, Pendigitalan PMKS dan Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 mengukuhkan komitmen Khazanah untuk melabur dalam sektor pemangkin. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan memberikan faedah sosioekonomi, memperkukuh Dana Impak sebagai salah satu tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia.

Khazanah juga berjaya mencapai sasaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”) 2023, yang termasuk mencapai operasi neutral karbon, mewujudkan rangka kerja Kepelbagaian, Ekuiti dan Keterangkuman (“DEI”), dan menerapkan Petunjuk Prestasi Utama (“KPI”) berkaitan ESG untuk jawatan kepemimpinan utama di seluruh syarikat pelaburannya.

Menyampaikan Nilai Kemasyarakatan
Di samping pencapaian kewangan, Khazanah terus menyampaikan nilai kemasyarakatan dan impak kepada komuniti Malaysia melalui entiti penyampaiannya, dengan menumpukan kepada membina kapasiti dan komuniti berdaya ke arah memajukan Malaysia.

Pada 2023, Yayasan Hasanah memperuntukkan RM54j dalam pembiayaan geran kepada 119 projek berasaskan impak di dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, seni dan ruang awam, dan bidang impak pengetahuan.

Institut Penyelidikan Khazanah (“KRI”) menerbitkan 39 laporan dan kertas kerja pada tahun yang sama, menyediakan pandangan dan cadangan dasar yang penting. Kajian-kajian ini memainkan peranan penting dalam menyokong Kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam membentuk dasar bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia. Cadangan dasar utama KRI termasuk kajian mengenai “Kesejahteraan Kediaman Golongan Miskin Bandar: Kajian Program Perumahan Rakyat (PPR)” dan kertas kerja bertajuk “The Returns to Malaysian Labour Part II – Wage gaps within and between subgroups from 2010 to 2019”.

Taman Tugu, inisiatif bukan keuntungan milik Khazanah, muncul sebagai ruang hijau yang penting di tengah-tengah Kuala Lumpur, menarik lebih satu juta pengunjung sejak pembukaannya, berfungsi sebagai hab untuk penglibatan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar.

Think City, anak syarikat milik penuh Khazanah yang memfokuskan untuk menjadikan bandar lebih berdaya tahan dan sesuai untuk didiami, telah memainkan peranan sebagai pemangkin pada 2023. Inisiatif termasuk program Kita-Untuk-Kita (K2K) untuk meningkatkan komuniti perumahan awam, dan projek pemulihan utama bangunan warisan Malaysia di bandar, untuk melengkapkan Pelan Induk Strategik Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur (“KLCCD”) secara keseluruhan.

Melangkah ke Hadapan
Pada 2024, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka akan kekal mencabar dan tidak menentu, dengan konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat, kesinambungan Perang Rusia-Ukraine, dan persaingan global antara China dan Amerika Syarikat. Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan melibatkan 76 buah negara yang mewakili lebih 60% daripada KDNK dunia akan menambahkan lebih banyak ketidaktentuan. Dalam persekitaran ini, Khazanah kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik.

Strategi Khazanah untuk Malaysia akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama yang akan menjadi panduan transformasi dan kejayaan portfolionya di Malaysia di tengah-tengah aliran mega global yang berkembang:

  • Ketersambungan: Memperkuat peranan Malaysia sebagai hab melalui pelaburan strategik dalam MAHB dan MAGB, penting untuk menarik modal, pelabur, dan bakat selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023.
  • Peralihan Tenaga: Menyokong matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050 melalui kepemimpinan Khazanah dalam pelaksanaan NETR TNB dan projek tenaga hijau UEM Lestra, untuk memastikan peralihan tenaga yang adil dan mampan. UEM Lestra, bersama syarikat-syarikat lain dalam Kumpulan UEM akan melaksanakan inisiatif ini dengan melabur dan membina juara domestik dalam pelbagai sektor hijau yang terdiri daripada Tenaga Boleh Diperbaharui dan Penyimpanan serta Bangunan Hijau dan Kecekapan Tenaga.
  • Digitalisasi: Menerajui transformasi digital di seluruh syarikat portfolionya untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing global.
  • Bidang Pemangkin/Pertumbuhan Baharu: Melalui inisiatif Dana Impak, Khazanah menyasarkan untuk mencergaskan ekosistem, bekerjasama dengan pihak berkepentingan, dan mempengaruhi dasar untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan daya tahan.

Pendekatan berasaskan misi ini dijangka akan menjadi panduan pulangan jangka panjang dan nilai mampan untuk negara, sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menaikkan siling dan lantai.

Pada tahun 2024, Dana Impak, melalui gabungan inisiatif dan program sedia ada dan baharu, menyasarkan untuk memberikan tambahan RM600j untuk syarikat Malaysia. Pelaburan kewangan itu bertujuan untuk menyokong syarikat pelbagai saiz dan peringkat pertumbuhan daripada syarikat pemula, PMKS hingga syarikat bersaiz sederhana, dengan dua objektif untuk membimbing juara tempatan dan serantau, serta memangkin pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara.

Selain itu, Khazanah bersama-sama GLC dan GLIC lain komited untuk menyokong usaha Kerajaan dalam memperkasa dan memperbaharui agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.

“Kami optimis di tengah sambutan ulang tahun ke-30 kami tahun ini, satu pencapaian yang dicerminkan melalui usaha bersama kami dalam membangunkan negara, sebagai dana kekayaan berdaulat. Bergerak kehadapan, kami menyasarkan untuk mengembangkan portfolio kami dengan melaksanakan rancangan penciptaan nilai untuk aset Malaysia kami dan memastikan portfolio terpelbagai melalui pengimbangan semula dan pendekatan pelaburan yang berdisiplin. Usaha dan komitmen kami kepada pihak berkepentingan kami akan terus selari dengan matlamat Ekonomi MADANI, memperkukuh pertumbuhan inklusif bagi semua,” kata Dato’ Amirul Feisal.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya