Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad berkaitan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI

Belanjawan 2024 Malaysia MADANI, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di Parlimen pada hari ini, sejajar dengan usaha kerajaan dalam menyokong langkah kitaran balas yang menangani cabaran luaran, sambil terus memacu kemajuan sosioekonomi yang saksama dan inklusif. Ia menggariskan penyatuan fiskal bagi mencapai defisit fiskal yang lebih rendah, pembinaan semula penampan fiskal dan mengurangkan pendedahan hutang, pada masa yang sama mengekalkan momentum pertumbuhan dan meningkatkan kesejahteraan Rakyat.

Belanjawan Malaysia MADANI 2024 menggariskan pendekatan seimbang antara peninggian siling dan peninggian lantai, selaras dengan wawasan Ekonomi MADANI. Ia menekankan komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal, ketelusan dan menegakkan pengurusan kewangan awam secara berhemat.

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dan syarikat-syarikat pelaburan kami komited sepenuhnya dalam menyokong pelaksanaan Belanjawan 2024 dan wawasan Ekonomi MADANI, yang selaras dengan strategi Memajukan Malaysia. Berpandukan rangka kerja ini, kami akan terus melaksanakan pelaburan strategik, membangunkan modal insan, menyokong syarikat pemula dan PKS, memacu kemampanan dan melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berimpak. Melalui pergerakan sumber kami dan penggemblengan usaha merentasi ekosistem GLIC/GLC, Khazanah berusaha untuk memajukan trajektori pertumbuhan yang saksama, mampan dan mencipta nilai untuk negara.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan, Khazanah akan menggalas tugas menerajui pengukuhan ekosistem modal teroka (VC) tempatan, dengan kerjasama agensi-agensi VC seperti Penjana Kapital dan MAVCAP. Pemusatan sumber kerajaan dalam ruang lingkup ini akan membolehkan penyelarasan yang lebih baik kerana kami berhasrat untuk memupuk dan mengembangkan syarikat pemula Malaysia termasuk bagi meningkatkan daya saing serantau. Di samping itu, untuk Meninggikan Siling, Khazanah bersama-sama GLIC dan GLC yang lain akan memperuntukkan RM1.5 bilion dalam bentuk pembiayaan untuk syarikat pemula termasuk PKS bumiputera dalam industri Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (HGHV) seperti Ekonomi Digital, Teknologi Aeroangkasa dan Industri Elektrik dan Elektronik (E&E).

Khazanah kekal komited untuk memupuk pertumbuhan mampan selaras dengan agenda kerajaan berkaitan kemampanan dan peralihan tenaga. Di bawah anak syarikat milik penuh kami UEM Group Berhad, Khazanah telah melancarkan platform pelaburan hijau, UEM Lestra Berhad, bagi tujuan melabur dan membina juara domestik dalam sektor hijau seperti tenaga boleh diperbaharui & storan, teknologi bangunan hijau & kecekapan tenaga, dan ekosistem e-mobiliti.

Inisiatif Dana Impak Khazanah, salah satu tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia, melaksanakan pelaburan dalam bidang-bidang yang dapat meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, mengukuhkan daya tahan negara, dan menyampaikan faedah sosioekonomi kepada rakyat. Bagi tahun 2024, Dana Impak akan memperuntukkan RM600 juta untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang bagi masyarakat luar bandar, pinggir bandar dan masyarakat yang kurang mendapat tumpuan, selaras dengan visi Kerajaan ke arah pembangunan wilayah yang lebih seimbang, sekali gus menyumbang kepada Peninggian Lantai dan Siling untuk rakyat Malaysia di seluruh negara.

Pembangunan modal insan adalah kunci untuk memastikan masa depan yang cerah untuk negara. Khazanah akan terus memainkan peranan kami dalam menyokong inisiatif MyFutureJobs dengan GLC yang lain, menawarkan peluang pekerjaan dan program peningkatan kemahiran seperti yang dinyatakan dalam belanjawan, yang dapat meningkatkan kebolehpasaran dan pendapatan rakyat Malaysia. Khazanah juga akan bekerjasama dengan GLC dan syarikat-syarikat swasta yang lain dalam memacu transformasi pendidikan TVET di Malaysia.

Sebagai persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, Think City, sebuah entiti yang diasaskan oleh Khazanah, akan terus berusaha untuk memulihara dan menambah baik Kuala Lumpur sebagai ruang boleh didiami yang vibran serta kaya dengan budaya dan warisan untuk dinikmati oleh generasi akan datang, dan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan global.

Khazanah, melalui yayasan berasaskan impak iaitu Yayasan Hasanah, akan meneruskan komitmen kami untuk membina komuniti yang kukuh dari segi sosioekonomi dan berdaya tahan melalui perkongsian kerjasama barsama NGO dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dengan peruntukan RM100 juta kepada sektor sosial. Kami juga akan berganding bahu dengan GLIC dan GLC yang lain dalam melaksanakan pelbagai program CSR untuk menyampaikan manfaat kepada negara dan rakyat, dengan peruntukan yang digabung sejumlah RM300 juta pada tahun 2024. Kami juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan serta GLIC dan GLC yang lain bagi memastikan kejayaan Program Kampung Angkat MADANI, yang bermatlamat untuk menyediakan kemudahan asas seperti sambungan internet di kawasan luar bandar yang terpinggir.

Secara keseluruhan, Belanjawan 2024 mencapai keseimbangan yang tepat untuk memperkukuh daya tahan Malaysia di tengah cabaran global, di samping memajukan transformasi ekonomi dan meningkatkan hasil sosioekonomi untuk semua. Ini sejajar dengan matlamat Khazanah untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk negara, menyokong perjalanan Malaysia ke arah menjadi masyarakat yang makmur, saksama dan mampan.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya