Keuntungan rm5.1 bilion daripada operasi pada 2024, prestasi kukuh pelaburan malaysia dan inisiatif penciptaan nilai yang signifikan

5 Februari 2025

Khazanah terus mencipta nilai jangka panjang, memangkin inovasi dan menyampaikan hasil sosio-ekonomi

Sorotan 2024

  • Keuntungan RM5.1b daripada operasi
  • Kadar Pulangan Berwajaran Masa (“TWRR”) Nilai Aset Bersih (“NAV”) 2024 yang kukuh sebanyak 24.6%, peningkatan daripada 5.7% pada 2023
  • Nilai Aset Bersih (“NAV”) RM103.6 bilion, peningkatan ketara sebanyak RM18.8 bilion daripada tahun kewangan 2023, menandakan pertumbuhan yang signifikan dalam pelaburan
  • Menubuhkan Jelawang Capital, inisiatif Dana Impak, sebagai National-Fund-of-Funds untuk mempercepatkan pertumbuhan ekosistem modal teroka Malaysia.
  • Membangunkan 8,222 belia melalui Program K-Youth termasuk daripada komuniti B40.

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2025 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan keputusan kewangan yang kukuh untuk 2024 (berakhir pada 31 Disember 2024), meneruskan pelaksanaan mandatnya untuk memberikan pulangan yang mampan bagi Malaysia dan meningkatkan kekayaan jangka panjang negara.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Kami mencapai pertumbuhan yang ketara dalam portfolio kami pada 2024, didorong oleh prestasi yang kukuh bagi pelaburan Malaysia, terutamanya pegangan kami dalam konstituen utama yang mengatasi KLCI, berikutan prestasi yang kukuh dalam pasaran domestik, pertumbuhan berterusan ekuiti awam di pasaran maju dan pemulihan di pasaran yang baru muncul. Prestasi positif ini juga didorong oleh rangka kerja Ekonomi MADANI, yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, yang jelas menunjukkan bagaimana pelaburan strategik dan amalan mampan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.”

Ekonomi Malaysia juga menunjukkan daya tahan yang kukuh pada 2024, dengan pertumbuhan KDNK dijangka mempercepat kepada antara 4.8% hingga 5.3%. Ringgit mengukuh sebanyak 2.7% berbanding dolar AS, dan FBM KLCI mencatatkan keuntungan yang amat baik sebanyak 12.58%. Persekitaran ekonomi yang kukuh, dengan pendekatan pelaburan berdisiplin Khazanah, menyumbang kepada prestasi yang kukuh pada tahun lalu, dengan TWRR NAV mencapai 24.6%, peningkatan ketara berbanding 5.7% pada 2023.

“Kami berhasrat untuk mengekalkan momentum yang kukuh dari 2024 dan memastikan pelaksanaan yang berjaya dalam usaha penciptaan nilai kami, melalui strategi jangka panjang kami untuk Memajukan Malaysia berasaskan pendekatan ‘A Nation That Creates’, untuk memajukan negara dan membina Malaysia yang lebih baik, selaras dengan rukun Ekonomi MADANI iaitu Daya Cipta. Ini termasuk kerjasama dengan GLIC lain dan memanfaatkan perkongsian serta inovasi pemangkin yang akan meningkatkan daya saing dan produktiviti negara,” tambah Amirul Feisal.

Prestasi Kewangan dan Portfolio:
Penciptaan Nilai dan Sokongan kepada Agenda Pembangunan Negara

Khazanah mencapai keuntungan daripada operasi sebanyak RM5.1b pada 2024, didorong oleh strategi pengewangan berdisiplin, pendapatan dividen yang stabil dan peningkatan nilai saksama daripada ekuiti awam global. Penyata kewangan kekal kukuh dengan nisbah RAV ke atas hutang pada 3.2x.

NAV Khazanah pada 2024 meningkat kepada RM103.6b berbanding RM84.8b pada 2023, menunjukkan peningkatan ketara sebanyak RM18.8 bilion. Dari perspektif keseluruhan portfolio Khazanah, pertumbuhan NAV keseluruhan meningkat daripada RM33b pada 2004 kepada RM104b pada 2024, mencapai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (“CAGR”) sebanyak 5.9%. Pertumbuhan ini selaras dengan mandat Khazanah untuk menjana pulangan mampan bagi negara sambil meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia.

Walaupun keputusan ini mencerminkan prestasi keseluruhan yang kukuh, prestasi yang relatif lebih lemah diperhatikan dalam Pasaran Swasta disebabkan oleh kesan ketinggalan daripada kadar faedah yang lebih tinggi, pengeluaran pembiayaan yang mencabar dan persekitaran keluar yang sukar.

Maju ke hadapan, Khazanah akan terus melaksanakan usaha penciptaan nilai dan strategi penyusunan semula portfolio untuk mengukuhkan penyata kewangan dan membina kedudukan kewangan yang kukuh.

Khazanah telah mengumumkan dividen sebanyak RM1b/ untuk 2024 kepada Kerajaan Malaysia, menyumbang kepada jumlah terkumpul sebanyak RM19.1b dividen yang dibayar sejak 2004.

Memangkin Inovasi:
Mengukuhkan dan Mempercepat Sektor Pertumbuhan Utama untuk Malaysia

Pelaksanaan strategi Malaysia Khazanah yang diperhalusi sedang berjalan, dengan kawasan tumpuan yang telah dikenalpasti pada 2024:

1. Mentransformasi Syarikat melalui Dana Impak
Matlamat Dana Impak adalah memperkasakan perniagaan Malaysia merangkumi semua saiz dan pelbagai kitaran hayat, termasuk syarikat permulaan, syarikat kecil hingga sederhana serta syarikat besar, dengan objektif untuk meningkatkan potensi ekonomi Malaysia.

Pada Oktober 2024, Khazanah menubuhkan Jelawang Capital sebagai sebuah National Fund-of-Funds. Jelawang Capital seterusnya melancarkan Emerging Fund Managers Programme dan Regional Fund Managers Initiative bagi menarik rakan kongsi antarabangsa dan meningkatkan ekosistem modal teroka.

Selain itu, Dana Impak berusaha untuk meningkatkan daya saing Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC) di Malaysia, termasuk meningkatkan kesedaran, pembangunan kapasiti dan pengetahuan mengenai pasaran modal melalu Kerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti. Berkaitan dengan ini juga, Dana Impak telah memperuntukkan RM1 bilion untuk menyediakan pelbagai penyelesaian pembiayaan kepada MTC yang berpotensi tinggi, termasuk kredit swasta dan pelaburan ekuiti swasta.

Selanjutnya, Dana Impak bercita-cita untuk memacu dan meningkatkan industri semikonduktor Malaysia, yang merupakan tonggak utama perindustrian Malaysia. Khazanah memperuntukkan RM1 bilion sebagai permulaan untuk pelaburan bagi meningkatkan daya saing Malaysia dalam ruang semikonduktor dan pembuatan termaju pada tahun-tahun mendatang. Inisiatif ini dimulakan dengan pelaburan pertama ke dalam Cambrian Fund, dengan kerjasama pengasas ViTrox Corp, untuk menyokong PKS dalam teknologi IR4.0, dan dalam Syntiant Corp. untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Malaysia.

2. Peralihan Tenaga
Dalam memacu peralihan tenaga Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus melabur untuk memodenkan dan meningkatkan kestabilan serta ketahanan grid, membolehkan integrasi yang lebih besar bagi sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) pelbagai sumber, termasuk pembangunan projek bateri berskala grid 100MW/400MWh. Melalui UEM Lestra Berhad – sebuah platform pelaburan hijau di bawah Kumpulan UEM Khazanah – sehingga RM1.5b telah diperuntukkan untuk memajukan usaha peralihan tenaga, termasuk pengurangan karbon di taman-taman industri di Malaysia.

Inisiatif utama termasuk pembangunan solar berskala besar, seperti projek solar hibrid 1GW di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan ladang solar 500MW di Baram. Selain itu, TNB telah bekerjasama dengan Bridge Data Centres untuk meneroka bekalan tenaga boleh diperbaharui melalui Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).

Pelaburan ini adalah tepat pada masanya dan penting kerana syarikat-syarikat menunjukkan pengurangan kandungan karbon dan penurunan emisi semasa pengeluaran secara meluas, mencetuskan peningkatan permintaan bagi sumber tenaga boleh diperbaharui untuk pusat data, kemudahan pembuatan dan taman industri, di mana semuanya berusaha untuk mengamalkan amalan lestari dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.

3. Kesalinghubungan
Khazanah, melalui anak syarikatnya UEM Group, bersama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”), Global Infrastructure Partners (“GIP”) dan Abu Dhabi Investment Authority (“ADIA”), telah menubuhkan Gateway Development Alliance (“GDA”) dan telah memulakan proses pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”). Langkah komersial ini bertujuan untuk menaik taraf infrastruktur lapangan terbang, memperbaiki perkhidmatan penumpang, meningkatkan kesalinghubungan syarikat penerbangan untuk meningkatkan trafik penumpang dan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Ini akan menyediakan peluang besar untuk perdagangan, pelancongan dan pelaburan ke Malaysia, sebagai pintu gerbang strategik ke rantau ini. Perjanjian ini hampir selesai, meletakkan MAHB pada nilai RM18.4b melalui harga tawaran RM11 setiap saham, yang tertinggi sejak penawaran awam awal (“IPO”) MAHB.

Selain itu, Khazanah menyokong pemeliharaan dan penghayatan warisan budaya dan sejarah yang kaya di negara ini, sekaligus menambah daya tarikan destinasi di Kuala Lumpur. Usaha utama termasuk revitalisasi Pusat Bandar Kuala Lumpur di bawah Pelan Induk Strategik Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur (“KLCCD”), dengan RM600j diperuntukkan oleh Khazanah untuk pemulihan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara, dua mercu tanda negara yang penting.

Dalam bidang penerbangan, Malaysia Airlines telah meningkatkan kebolehpercayaan prestasi operasi, mencapai 77% prestasi tepat masa pada Disember 2024 dan telah memperluas rangkaian ke sembilan destinasi baharu, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan global negara.

Menyampaikan Hasil Sosio-Ekonomi:
Pembangunan Kapasiti dan Membina Negara yang Berdaya Tahan

Selain pulangan kewangan, Khazanah komited kepada inisiatif strategik yang menjana nilai masyarakat yang bermakna dan membina kapasiti melalui pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran dan pembangunan komuniti.

Program K-Youth, yang disokong oleh peruntukan RM200j, Khazanah telah melatih 8,222 belia pada 2024 dengan 76% daripada komuniti B40. Untuk kumpulan pada tahun 2024, Khazanah berhasrat untuk membantu 75% peserta memperoleh pekerjaan selepas tamat program, dengan tumpuan kepada sektor utama seperti semikonduktor, digital dan teknologi serta penerbangan.

Pembangunan komuniti kekal sebagai asas sumbangan Khazanah. Sejak 2006, RM2.5 bilion telah diperuntukkan untuk inisiatif yang memupuk komuniti yang berdaya. Pada tahun 2024, program jangkauan masyarakat Berbudi Bersama oleh Khazanah menyampaikan impak positif terhadap lebih 12,000 peserta, dengan pelbagai perusahaan sosial disokong melalui tawaran peluang perniagaan sepanjang tempoh program berlangsung. Sementara itu, Taman Tugu, sebuah inisiatif bukan berasaskan keuntungan, telah menerima kedatangan lebih 1.3j pengunjung sebagai pusat penglibatan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar.

Bahagian filantropi Khazanah, Yayasan Hasanah, telah memperuntukkan RM86j untuk 207 projek berasaskan impak, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.2b sejak 2006. Institut Penyelidikan Khazanah (“KRI”) pula telah menerbitkan 15 kertas dasar pada tahun 2024 mengenai isu-isu penting seperti perubahan iklim dan ketidaksamaan.

2025: Melangkah Ke Hadapan

Melangkah ke hadapan, Khazanah akan terus teguh dalam menangani saling pengaruh megatrend global jangka sederhana hingga jangka panjang dan dinamik makroekonomi yang segera. Dengan tenaga kerja global yang semakin menua, kemajuan teknologi yang sentiasa berkembang terutama dalam kecerdasan buatan, ketegangan geopolitik yang berterusan, peningkatan fahaman perlindungan (protectionism) dan keperluan mendesak untuk memerangi perubahan iklim, tumpuan Khazanah adalah untuk memanfaatkan kekuatan transformatif ini bagi membina masa depan yang mampan dan berdaya tahan.

“Kami yakin bahawa Malaysia akan terus mengekalkan daya tahan, dibantu oleh kestabilan politik dan arah dasar yang jelas. Aliran masuk pelaburan yang signifikan dari sumber asing dan domestik mencerminkan keyakinan terhadap potensi negara untuk pertumbuhan yang berterusan. Sesungguhnya, kami ingin terus bekerjasama dengan semua pihak – kerajaan, syarikat, NGO, pelabur dan rakyat – dalam meneruskan misi kami untuk Memajukan Malaysia,” tambah Amirul Feisal.

***TAMAT***

Siaran Akhbar Lain

Khazanah dan INCJ Umum Urusniaga Strategik dalam EDOTCO Group

Khazanah dan Innovation Network Corporation of Japan (“INCJ”) mengumumkan bahawa Khazanah akan memperoleh pegangan INCJ dalam Kumpulan EDOTCO, mencerminkan hubungan...

14 Mac 2025 Selanjutnya

Keuntungan rm5.1 bilion daripada operasi pada 2024, prestasi kukuh ...

Khazanah terus mencipta nilai jangka panjang, memangkin inovasi dan menyampaikan hasil sosio-ekonomi Sorotan 2024 Keuntungan RM5.1b daripada operasi Kadar Pulangan...

5 Februari 2025 Selanjutnya

Strategi Khazanah Untuk Memajukan Malaysia: Membangunkan belia Mala...

Khazanah Nasional (“Khazanah”) berpegang teguh pada keyakinan bahawa, selari dengan pelaburan strategik, pembangunan modal insan adalah penting untuk pertumbuhan dan...

10 Januari 2025 Selanjutnya