7 November 2023
Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenang Teratas!
Tiga (3) pemenang teratas masing-masing bakal menerima geran sehingga RM500,000 bagi menyampaikan penyelesaian inovatif dan berdaya maju untuk menangani cabaran perubahan iklim demi keterjaminan makanan di Malaysia
Hari Demo bagi Cabaran Impak Inovasi Khazanah (“KIIC”) 2023 telah melabuhkan tirai hari ini, di mana 15 finalis mewakili perniagaan-perniagaan berimpak di Malaysia telah bertanding bagi merebut peluang mendapatkan pelaburan ekuiti dan/atau pembiayaan hutang dari Khazanah dan rakan-rakan kongsi pembiayaannya, dalam usaha untuk menyampaikan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim demi keterjaminan makanan di Malaysia.
Tiga pemenang dengan penyelesaian yang paling inovatif dan unik serta impak yang boleh diukur, beroperasi dengan model perniagaan yang mampan dan menawarkan penyelesaian yang sesuai untuk Malaysia telah dipilih oleh panel hakim KIIC 2023.
Tiga Pemenang Teratas tersebut, Braintree Technologies, Ultimeat dan Kapitani masing-masing menerima geran sehingga RM500,000 bagi merealisasikan rancangan perniagaan mereka. Dua belas peserta akhir yang lain pula masing-masing akan menerima geran antara RM150,000 dan sehingga RM400,000.
Anugerah kepada para pemenang dan finalis disampaikan oleh Pengarah Urusan Khazanah Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Dana Impak Khazanah dan Penjagaan Kesihatan Bryan Lim.
Braintree Technologies
Arif Makhdzir, Ketua Pegawai Eksekutif
“Saya berasa amat berbesar hati kerana terpilih sebagai antara tiga pemenang teratas dan terima kasih diucapkan. Rancangan kami adalah untuk mempercepatkan pelan pengkomersilan robot kami dan meningkatkan pengeluaran kami dengan geran RM500,000 ini. Perubahan iklim telah membawa ketidakpastian terhadap pengeluaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada petani, kerana mereka tidak lagi dapat bergantung kepada pola kitaran tanaman biasa. Ketidakpastian dalam kalendar tanaman juga menyebabkan ketidakpastian terhadap tenaga kerja di ladang. Robot kami mampu menjadi pekerja yang fleksibel dan serba boleh, serta mampu melakukan pelbagai jenis tugas dan membantu petani menangani ketidakpastian ini.”
Ultimeat
Edwin Lee, Ketua Pegawai Eksekutif
“Terpilih sebagai salah satu daripada tiga pemenang teratas dalam cabaran yang dianjurkan oleh Khazanah adalah satu penghormatan dan membuktikan dedikasi dan inovasi pasukan kami di Ultimeat. Pengiktirafan ini bukan sahaja bermakna kepada usaha kami, tetapi juga mendorong kami untuk terus menyumbang kepada industri. Dengan geran RM500,000 ini, kami merancang untuk memperkukuh usaha penglibatan komuniti kami, bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat yang menyeluruh tentang produk kami. Berikutan cabaran perubahan iklim dan implikasinya terhadap keterjaminan makanan, teknologi inovatif Ultimeat menyediakan penyelesaian yang mampan dengan menghasilkan protein dalam tempoh tujuh hari sahaja dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.”
Kapitani
Mohd Nazrul Hazeri, Pengasas Bersama
“Kami berasa amat gembira berada di tiga tempat teratas. Ini menunjukkan betapa gigihnya usaha pasukan dan para petani kami, yang juga merupakan teras misi kami. Anugerah ini mengukuhkan lagi matlamat kami dan kami ingin memanfaatkan peluang ini untuk terus menyokong para petani kami dan melakukan yang lebih baik. Terima kasih atas anugerah ini dan kami berharap dapat terus membantu para petani kami dan sistem makanan kita. Kami akan menggunakan geran RM500,000 ini untuk mempercepatkan projek kami di dua negeri dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Kami juga akan menguji penyelesaian pembiayaan kami untuk para petani, agar mereka dapat menikmati pembayaran dengan lebih cepat dan lebih mudah.”
Selain itu, tiga syarikat pemula berasaskan teknologi, Entomal, Hydroemission dan Kairos, masing-masing menerima “Anugerah Pemilihan Rakan Kongsi” dengan geran RM10,000 yang ditaja oleh program MYStartup Cradle, sebagai motivasi untuk memajukan lagi perniagaan mereka. Menyedari kepentingan dan keperluan mendesak untuk masa hadapan yang lebih mampan, Anugerah Pemilihan Rakan Kongsi mengiktiraf inovator terbaik dalam menangani perubahan iklim demi keterjaminan makanan Malaysia. Anugerah tersebut disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund, Norman Matthieu Vanhaecke.
Dato’ Feisal berkata, “Melalui KIIC 2023, kami berharap untuk menyalurkan sokongan dan modal yang diperlukan bagi pelaksanaan penyelesaian yang inovatif dan mampan untuk menangani isu keterjaminan makanan, dalam masa yang sama memacu daya tahan sosio-ekonomi dan potensi pertumbuhan untuk negara, seiring dengan strategi Memajukan Malaysia kami.”
“Dedikasi dan kebijaksanaan syarikat-syarikat pemula ini bukan sahaja akan menambahbaik landskap agrimakanan tetapi juga berpotensi menyokong keperluan pelbagai isi rumah. Ketika kita mendepani peningkatan kadar inflasi, ketidaktentuan global dan cabaran yang dibawa perubahan iklim, penyelesaian inovatif yang dipelopori hari ini akan menjadi sumber daya tahan bagi pengguna dan negara.”
Dilancarkan pada 25 Julai 2023, KIIC 2023 membuka permohonan daripada perniagaan-perniagaan Malaysia yang telah membangunkan penyelesaian inovatif dan berdaya maju secara komersial untuk menangani cabaran yang dibawa perubahan iklim terhadap keterjaminan makanan di Malaysia.
Khazanah telah menerima lebih daripada 160 permohonan, dengan 15 finalis disenarai pendek oleh jawatankuasa termasuk rakan kongsinya untuk menyertai Hari Demo, yang berlangsung pada 7 November 2023. Pemilihan dibuat berdasarkan rekod prestasi keusahawanan, model perniagaan dan kelebihan kompetitif, penyampaian impak dan strategi pelaksanaan. Para finalis juga menghadiri bengkel dan bimbingan selama empat minggu yang disampaikan pakar-pakar industri bagi menyediakan mereka untuk Hari Demo.
KIIC 2023 dianjurkan oleh Khazanah dengan kerjasama rakan kongsi program, Plug and Play APAC (“PNP”), rakan jangkauan, Impact Circle dan program MYStartup Cradle Fund, dan rakan kongsi pembiayaan Gobi Partners, 500 Global dan Agrobank.
Pada Hari Demo KIIC, para finalis telah membentangkan cadangan perniagaan mereka kepada panel hakim KIIC, yang terdiri daripada pakar-pakar bidang berkaitan serta ahli pengurusan kanan Khazanah. Turut hadir para pelabur bertauliah dan modal teroka dari Malaysia dan luar negara.
Untuk maklumat lanjut tentang finalis KIIC 2023 dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, sila layari https://www.khazanah.com.my/kiic/
TAMAT