Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

5 Mac 2019

Ulasan Tahunan Khazanah 2019

Khazanah melaporkan prestasi 2018 yang lebih rendah, mengumumkan mandat baharu untuk meningkatkan keuntungan masa depan

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan prestasi kewangannya bagi 2018 serta mandat baharu sedang ia menjalani proses penstrukturan semula yang akan meletakkannya pada kedudukan yang lebih kukuh bagi meningkatkan keuntungan dan prestasi pada 2019 dan seterusnya.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata: “Prestasi kami pada 2018 telah dipengaruhi oleh beberapa perkembangan utama pada peringkat global dan domestik dalam bidang ekonomi dan sosial. Pada masa yang sama, Kerajaan telah memulakan penyusunan semula Khazanah, yang melibatkan perubahan ketara termasuk mandat yang diperbaharui. Penstrukturan semula organisasi yang sedang kami jalankan akan membolehkan kami melaksanakan dan menyampaikan peranan kami untuk meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia, bermula dari tahun ini.”

1. Prestasi Kewangan

Nilai portfolio Khazanah yang diukur menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (“NWA”) merosot kepada RM91 bilion pada 31 Disember 2018, penurunan 21.6% daripada RM116 bilion pada 31 Disember 2017. Nilai Aset Boleh Tunai (“RAV”) juga menurun kepada RM136 bilion daripada RM157 bilion dalam tempoh yang sama. Prestasi portfolio jangka panjang kekal pada trajektori menaik, dengan NWA mencapai pulangan 11.0% setiap tahun sepanjang 10 tahun yang lalu.

Portfolio Khazanah terjejas oleh ketidaktentuan ekonomi global pada 2018, yang menyaksikan pasaran yang lembap disebabkan ketegangan geopolitik dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan untuk pasaran baru muncul. Di samping itu, portfolio Khazanah juga dipengaruhi oleh perkembangan domestik, termasuk tinjauan pendapatan yang suram, ketidaktentuan pasaran dan beberapa perubahan dalam pengawalseliaan dalam tempoh yang dikaji.

Khazanah mencatatkan Kerugian Sebelum Cukai sebanyak RM6.271 bilion pada 2018, berbanding Keuntungan Sebelum Cukai sebanyak RM2.896 bilion pada tahun sebelumnya. Keuntungan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, ketika mana Khazanah melalui proses peralihan, yang juga seiring dengan ketidaktentuan pasaran. Khazanah mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.5 bilion untuk 2018.

Pada tahun lepas, Kerajaan Malaysia telah memulakan penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah, melibatkan perubahan kepimpinan dalam Lembaga Pengarah dan Pengurusan, serta pengenalan mandat dan objektif yang baharu. Lanjutan daripada itu, Khazanah telah menjalankan kajian dan penilaian semula semua pelaburannya, yang mencerminkan pencapaiannya bagi 2018.

Antara pencapaian Khazanah pada 2018 termasuk pengambilalihan Prince Court Medical Centre dan pelaburan dalam Ping An Good Doctor serta Ant Financial di China. Di samping itu, pembangunan Marina One dan DUO di Singapura juga telah siap sepenuhnya dan dilancarkan. Tahun 2018 juga menyaksikan kejayaan penerbitan beberapa IPO seperti Phunware dan Farfetch di Amerika Syarikat, serta pelupusan kepentingan dalam IHH Healthcare yang dijangka muktamad pada suku pertama 2019.

2. Mandat dan Objektif Yang Diperbaharui

Peranan utama Khazanah di bawah mandat baharu, seperti yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah, adalah untuk meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia. Untuk mencapai matlamat ini, Khazanah akan berusaha ke arah dua objektif pelaburan, iaitu komersial dan strategik.

Objektif komersial menumpukan kepada pertumbuhan aset kewangan dan mempelbagaikan sumber pendapatan bagi negara, sementara objektif strategik pula adalah untuk memegang aset yang membawa manfaat ekonomi jangka panjang.

Secara keseluruhannya, Khazanah akan berpandukan falsafah pelaburannya untuk memperoleh pulangan kewangan yang dilaraskan dengan risiko yang sesuai, menjana pulangan yang mampan, dan mengintegrasikan pertimbangan yang beretika dan bertanggungjawab ke dalam semua aktiviti pelaburan.

Khazanah akan meneruskan objektif ini melalui struktur pelaburan dwi-dana (dual-fund):

  • Dana Komersial

  • Dana kekayaan jangka panjangdengan sasaran pulangan yang setara dengan Indeks Harga Pengguna Malaysia (“CPI”) ditambah 3% pada asas lima tahun berterusan. Dana ini termasuk aset awam seperti Kumpulan CIMB, Kumpulan Axiata, IHH Healthcare dan Alibaba.com; serta aset persendirian seperti The Holstein Milk Company, Sun Life Malaysia, WeLab dan Palantir.

  • Dana Strategik

  • Dana pembangunan dengan sasaran pulangan bersamaan dengan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (“MGS”) selama 10 tahun pada asas lima tahun berterusan, serta manfaat ekonomi yang boleh diukur. Dana ini termasuk aset strategik seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Malaysia Airlines, Malaysia Airports dan PLUS Malaysia; serta aset pembangunan seperti Silterra, Iskandar Investment Berhad, Themed Attractions Resort & Hotels, Pinewood Iskandar Malaysia Studios dan Medini Iskandar Malaysia.

3. Tinjauan untuk 2019

Khazanah akan menumpukan usahanya untuk melaksanakan strategi pengimbangan semula portfolio dan mengukuhkan kedudukan kewangannya. Khazanah juga akan membangunkan polisi, garis panduan dan proses untuk struktur dwi-dana, serta penstrukturan semula dan meningkatkan keupayaan dalaman untuk menyampaikan mandat yang baharu.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya