Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

29 Ogos 2014

Khazanah umum Pelan Pemulihan MAS 12-perkara

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan pelan perlu dilaksana dengan 12 perkara bagi mengembalikan Malaysian Airline System Berhad (“MAS”) ke landasan keberuntungan yang mampan dan seterusnya memulihkan kembali syarikat penerbangan negara. Sebuah laporan ringkas mengenai pelan bertajuk “Membina Kembali Ikon Negara: Pelan Pemulihan MAS,” itu turut diterbitkan pada hari ini.

Penerbitan laporan tersebut adalah lanjutan daripada kajian yang dilaksanakan ke atas semua aspek yang berkaitan dengan operasi dan persekitaran operasi MAS, yang bermula Februari lalu. Penerbitan dokumen tersebut menandakan masuknya peringkat kedua Pelan Pemulihan MAS sejak pengumuman pertama Khazanah pada 8 Ogos 2014. Khazanah ketika itu menyatakan bahawa ia bakal melaksanakan langkah pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih (“SCR”) pada harga tawaran RM0.27 bagi setiap saham biasa MAS yang mewakili premium 29.2% untuk jumlah wajaran harga pasaran purata 3-bulan pada masa pengumuman. Dalam pengumumkan yang sama, Khazanah memaklumkan akan mengumumkan pelan pemulihan terperinci menjelang akhir Ogos.

Pelan tersebut melibatkan rombakan menyeluruh syarikat penerbangan tersebut, termasuk 12 perkara utama yang dijangka akan mampu membantu MAS mencapai tahap keberuntungan yang mampan dalam tempoh tiga tahun selepas penyahsenaraiannya, iaitu menjelang penghujung 2017. Intipati pelan tersebut akan menyaksikan pembentukan sebuah syarikat baru (“NewCo”), yang akan menempatkan “MAS Baru,” serta penghijrahan kakitangan yang telah dikenalpasti akan dikekalkan, amalan kerja dan kontrak ke NewCo. Ia turut mengandungi butiran syarat-syarat ketat berkaitan penyusunan semula MAS semasa dan pelaburan tambahan Khazanah ke dalam NewCo, yang bernilai sehingga RM6.0 bilion dan akan disalurkan secara beransur-ansur serta bersyarat dalam tempoh tiga tahun.

Tan Sri Azman Hj. Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah, berkata: “Gabungan langkah yang diumumkan pada hari ini akan membolehkan syarikat penerbangan negara dipulihkan semula. Sungguhpun dana telah tersedia, penyalurannya bergantung kepada syarat yang ketat bagi memastikan MAS memperkenalkan model perniagaan dan struktur kos yang baru, agar ia benar-benar mampan. Kejayaan pelan tersebut tidak dapat dijamin – sungguhpun MAS sebagai pemudah yang kritikal dalam pembangunan nasional perlu dipulihkan semula, akauntabiliti awam bagi penggunaan dana bermakna ia tidak wajar dipulihkan dengan kos yang tidak terhad. Pelan tersebut juga memerlukan semua pihak untuk merapatkan saf dan bekerjasama bagi membolehkan pembinaan semula ikon nasional ini.”

Kejayaan pelan penyusunan semula yang diterbitkan pada hari ini akan memerlukan “pemuafakatan nasional” baru untuk MAS, antara kumpulan dalaman dan luaran syarikat berkenaan, masing-masing dengan peranan yang khusus dan penting – termasuk barisan kepimpinan, kakitangan, kesatuan sekerja, rakan niaga serta pembekal MAS, Khazanah dan juga Kerajaan.

Elemen-elemen utama Pelan Pemulihan MAS boleh dihimpun dalam empat kategori utama seperti berikut:

  1. Tadbir urus dan rangka kerja kewangan

    1. Penubuhan NewCo bagi menempatkan “MAS Baru”, menyahsenarai dan penyenaraian semula

      1. Menyahsenaraikan MAS (“OldCo”) pada akhir 2014. Proses ini sudah bermula dengan pengumuman yang dilakukan pada 8 Ogos 2014

      2. Memindahkan operasi yang berkenaan, aset dan liabiliti OldCo kepada NewCo menjelang 1 Julai 2015

      3. NewCo akan melibatkan pembetulan ketara bagi kos, struktur operasi dan tenaga kerja yang akan ditanda aras dengan amalan dan norma-norma industri yang berdaya saing

      4. NewCo disasarkan untuk kembali mencatatkan keuntungan dalam masa 3 tahun selepas penyahsenaraiannya dan seterusnya untuk disenaraikan kembali dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang, iaitu antara penghujung 2017 dan penghujung 2019

      5. Jika kedudukan kewangan yang disasarkan dapat dicapai, pelupusan (sell-down) atau pelupusan separa pegangan Khazanah kepada pembeli strategik yang bersesuaian daripada sektor swasta akan dipertimbangkan

    2. Pendanaan sehingga RM6.0 bilion dengan syarat yang ketat dan pengurangan nisbah bersih hutang berbanding modal (gearing) kepada kira-kira 120%

      1. Jumlah pendanaan bagi penyusunan semula dan pelaburan berjumlah sehingga RM6.0 bilion yang akan dikeluarkan secara berperingkat tertakluk kepada penunaian syarat-syarat penyusunan semula yang ketat, seperti berikut:

        1. Menyahsenaraikan MAS OldCo dengan kos sebanyak RM1.4 bilion

        2. Kos penyusunan semula dan pengurangan pekerja di MAS OldCo, yang tertakluk kepada syarat-syarat ketat, berjumlah sehingga RM1.6 bilion

        3. Menyuntik modal secara berperingkat berjumlah sehingga RM3.0 bilion ke dalam MAS Baru, tertakluk kepada kelonggaran syarat ketat, secara berperingkat-peringkat dan berdasarkan pencapaian, sepanjang tempoh tiga tahun daripada 2014 hingga 2016

      2. Mengurangkan gearan bersih daripada 290% kini kepada sasaran antara 100% hingga 125% melalui, antara lain, pertukaran hutang kepada ekuiti

      3. Dalam hal ini kami gembira untuk mengumumkan bahawa Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (“KWAP”) telah, pada hari ini, bersetuju untuk menukar Sukuk Tanpa Tempoh Matang sedia ada berjumlah RM750 juta kepada ekuiti biasa, tertakluk kepada perjanjian antara pihak-pihak yang berkaitan

  2. Model Operasi Perniagaan

    1. Menetapkan semula (reset) model perniagaan melalui rangkaian yang memberi tumpuan serantau, struktur kos yang lebih rendah dan penekanan yang lebih kepada pengurusan hasil pendapatan

      1. MAS – OldCo dan seterusnya NewCo sebagai entiti syarikat penerbangan yang beroperasi – akan terus menyusun semula rangkaian untuk menumpukan kepada pasaran serantau, dengan capaian global yang kukuh melalui perikatan OneWorld dan rakan perkongsian kod lain

      2. Penghijrahan kepada NewCo, dengan penetapan pendanaan secara bersyarat, dijangka akan menghasilkan struktur kos yang lebih rendah berdasarkan tanda aras industri dan amalan kerja, dengan penjimatan yang datang daripada kontrak bekalan dan amalan buruh yang bertambah baik

      3. Fokus baru terhadap pengurusan hasil pendapatan

    2. Menyatukan ibu pejabat dan operasi dari Subang ke KLIA

      1. MAS kini merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang mana ibu pejabat dan operasinya terletak jauh dari lapangan terbang utama

      2. Salah satu daripada syarat Pelan Pemulihan MAS adalah untuk memindahkan operasi ibu pejabat dan perasi utamanya dari Subang ke KLIA

      3. Ini akan membolehkan MAS mengukuhkan operasinya, memperbaiki keadaan kerja dan menandakan satu permulaan baru di bawah MAS Baru

    3. Pengukuhan jaminan, integriti dan keselamatan fungsi

      1. Satu lagi keadaan Pelan Pemulihan MAS adalah pengukuhan sistem operasi dan kawalan utama

      2. Ini termasuk, antara lain, pengenalan Jawatankuasa Lembaga bagi Tadbir Urus dan Etika serta Audit Keselamatan Operasi IATA yang dipertingkatkan

    4. Mengkaji dan, jika berkenaan, merundingkan semula kontrak bekalan

      1. Adalah menjadi hasrat utama untuk MAS Baru menghormati semua kontrak yang mengikut tanda aras yang betul di bawah OldCo

      2. Penghijrahan kepada NewCo bagaimapun akan memberi peluang kepada MAS Baru untuk menetapkan semula dan memperbaiki bekalan serta kontrak lain, berdasarkan norma-norma pasaran dan penanda aras

  3. Kepimpinan dan Modal Insan

    1. Kepimpinan

      1. Tempoh peralihan antara OldCo dan NewCo dalam tempoh 10 bulan akan datang sehingga 1 Julai 2015, akan menyaksikan perubahan yang besar kepada kepimpinan, yang akan dilaksanakan dalam cara yang teratur

      2. Ahmad Jauhari Yahya akan terus menerajui OldCo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan daripada tempoh ini hingga 1 Julai 2015, apabila NewCo dijangka mula berkuatkuasa.

      3. Lembaga OldCo juga akan diteruskan dalam tempoh yang sama, sehingga notis selanjutnya

      4. Khazanah telah memulakan proses carian bagi CEO NewCo dan kami menjangkakan pencarian ini dapat diumumkan dalam masa terdekat, iaitu sebelum akhir 2014

      5. Proses carian melibatkan bakat kepimpinan tempatan dan juga eksekutif industri penerbangan global. Keputusan muktamad mengenai CEO NewCo akan dibuat melalui rundingan dengan Pemegang Saham Istimewa, Menteri Kewangan Diperbadankan.

    2. Menyesuaikan saiz tenaga kerja kepada anggaran 14,000 kakitangan di NewCo

      1. Adalah amat penting bagi NewCo bermula pada asas yang betul dari segi saiz tenaga kerja dan amalan kerja

      2. Dianggarkan NewCo akan memerlukan tenaga kerja seramai kira-kira 14,000 orang kakitangan

      3. Ini merupakan pengurangan bersih sebanyak 6,000 orang atau 30% daripada kira-kira 20,000 orang kakitangan semasa OldCo

      4. Khazanah tetap komited untuk memastikan proses pemindahan, penghijrahan dan pengasingan dijalankan dengan penuh teliti, kesaksamaan dan melalui proses yang wajar

    3. Mengukuhkan perhubungan industri dan penjajaran dalaman

      1. Satu komponen penting dalam Pelan Pemulihan MAS melibatkan perhubungan industri dengan lebih baik

      2. Langkah serta amalan baru, termasuk memperkenalkan Panel Perundingan Pekerja untuk menyelaraskan kakitangan dengan lebih baik, kesatuan dan pengurusan pekerja, merupakan syarat kritikal kepada kejayaan Pelan Pemulihan MAS

    4. Latihan Semula, pewujudan pekerjaan dan penempatan semula

      1. Khazanah akan melabur dalam Pusat Latihan Semula Korporat, yang akan ditempatkan di kawasan Subang, secara khususnya untuk menangani isu latihan semula kepada kakitangan MAS yang memilih untuk tidak mahu berhijrah ke NewCo

      2. Kami menjangkakan ini akan melibatkan program latihan semula dan penempatan semula serta penciptaan pekerjaan baru secara aktif

      3. MAS dan Khazanah komited untuk membantu setiap pekerja yang keluar – meminimumkan kesan negatif kepada taraf kehidupan dan kualiti hidup mereka. Selain memperuntukkan pampasan kewangan, MOU telah ditandatangani dengan:

        1. Scicom (MSC) Berhad (“Scicom”), sebuah syarikat tersenarai di Malaysia yang akan menyediakan penyelesaian berstruktur terhadap peluang pekerjaan sehingga 2,000 orang kakitangan peralihan MAS. Ini akan dilakukan dengan menyediakan program latihan khusus dan latihan semula bertauliah, ditambah pula dengan penempatan pekerjaan di Scicom, syarikat-syarikat di Malaysia dan syarikat multinasional

        2. Sutherland Global Services, sebuah syarikat perkhidmatan proses perniagaan dan pengurusan teknologi global dengan operasi di Malaysia, bakal melatih dan menggaji sehingga 1,500 orang kakitangan MAS dalam bidang pemprosesan operasi yang akan meninggalkan syarikat berkenaan.

  4. Pengawalseliaan dan persekitaran pemudah

    1. Sokongan Kerajaan yang sesuai terhadap inisiatif utama termasuk:

      1. Tertakluk kepada kelulusan Parlimen, penggubalan enakmen perundangan yang bersesuaian, termasuk Akta khusus untuk MAS, dengan tempoh masa yang terhad, untuk memudahkan penyusunan semula dengan cara yang komprehensif dan tepat pada masanya

      2. Penubuhan sebuah Suruhanjaya Penerbangan

    2. Komunikasi berterusan dan perhubungan dengan pihak berkepentingan

      1. Komunikasi yang kerap dan perbincangan dengan pihak berkepentingan utama

      2. Taklimat akauntabiliti awam secara berkala

Diambil bersama, langkah-langkah ini akan menyokong garis masa tertentu bagi pemulangan keuntungan mampan kepada MAS, seperti yang terkandung dalam pelan pemulihan yang berikut:

  1. Menjelang akhir tahun 2014: untuk melengkapkan penyahsenaraian MAS dan mengumumkan kepimpinan NewCo

  2. Menjelang 1 Julai 2015: Peralihan rasmi kepada NewCo

  3. Menjelang akhir tahun 2017: 3 tahun daripada penyenaraian, untuk NewCo mencapai keuntungan

  4. Antara 2018 dan 2020: antara 3 hingga 5 tahun daripada penyahsenaraian untuk NewCo akan disenaraikan semula

TAMAT

Salinan penuh bagi “Pembinaan Kembali Ikon Negara: Sebuah Pelan Pemulihan MAS” boleh dimuat turun di www.khazanah.com.my
Untuk maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila layari www.khazanah.com.my atau hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian +603 2034 0000 atau melalui e-mel di [email protected]



Siaran Akhbar Lain
24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan M...

Selanjutnya  

6 Julai 2022

Pelaburan Khazanah di Türkiye Bukti Hubungan Dua ...

Selanjutnya  

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampana...

Selanjutnya  

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman...

Selanjutnya  

20 Mei 2022

Khazanah jalin hubungan strategik untuk jadikan Ce...

Selanjutnya  

15 April 2022

Khazanah raih RM535.5 juta hasil daripada penempat...

Selanjutnya  

2 Mac 2022

Khazanah terus tingkatkan nilai portfolio, umum st...

Selanjutnya  

20 Disember 2021

Khazanah dan Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta un...

Selanjutnya  

29 Oktober 2021

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 September 2021

Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham ...

Selanjutnya