Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

20 Januari 2016

Khazanah terajui pelaburan dalam WeLab, salah sebuah platform pinjaman mudah alih dan analisis kredit terbesar di China

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), melalui syarikat tujuan khas miliknya, Bukit Gala Investments Ltd. telah melabur USD160 juta dalam WeLab, antara platform pinjaman mudah alih dan kredit analisis terbesar di China dalam suatu transaksi pengumpulan dana Siri B. Khazanah mengetuai konsortium pelabur yang, antara lain, terdiri daripada ING Bank (“ING”) dan Kumpulan Teknologi Kewangan Guangdong.

Proses pengumpulan dana ini adalah berikutan muktamadnya proses pengumpulan dana Siri A berjumlah USD20 juta pada Januari 2015 yang menyaksikan penyertaan sekumpulan pelabur strategik dan kewangan, termasuk kumpulan TOM daripada CK Hutchison serta Sequoia Capital.

Pelaburan tersebut merupakan pelaburan pertama Khazanah dalam sektor teknologi kewangan (“fintech”) di China dan dijangka membuka peluang baharu bagi Khazanah untuk terlibat dalam pasaran pinjaman pengguna di negara tersebut, yang kian berkembang dan mempunyai permintaan yang tinggi yang tidak dapat dipenuhi oleh perkhidmatan perbankan tradisional.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, “Pelaburan dalam WeLeb akan terus memperkukuhkan kehadiran Khazanah dalam sektor inovasi dan teknologi di peringkat antarabangsa. Model perniagaan WeLab adalah menarik kerana syarikat itu bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menyediakan penyelesaian perbankan berasaskan platform dalam talian dan mudah alih, sambil menyediakan kemudahan kredit pada kadar berpatutan kepada golongan yang tidak mampu untuk mendapatkan pembiayaan melalui saluran tradisional.”

Lanjutan daripada pelaburan tersebut, WeLab juga sedang meneroka peluang kerjasama dengan ING dalam perkhidmatan pinjaman dalam talian dan perbankan secara lansung. ING merupakan peneraju global dalam inovasi kewangan dengan menerusi khidmat perbankan dalam taliannya, ING Direct. Selain itu, pada tahun ini, WeLab juga akan mula bekerjasama dengan Postal Saving Bank of China dan beberapa institusi perbankan komersial yang lain untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kewangan internet.

Antara kekuatan WeLab adalah dalam bidang inovasi dan pengurusan risiko. Ditubuhkan pada tahun 2013 di Hong Kong, khidmat kredit yang ditawarkan oleh WeLab menyediakan pengalaman pinjaman dalam talian dan mudah alih yang baharu di China dan Hong Kong. WeLab mengendalikan Wolaita, salah satu perkhidmatan pinjaman mudah alih terbesar di China dan WeLend.hk, perkhidmatan pinjaman dalam talian yang terkemuka di Hong Kong.

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian Tel +603 2034 000 atau e-mel [email protected].

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk menguruskan aset-aset komersial milik Kerajaan dan melaksanakan pelaburan-pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, riadah & pelancongan, hartanah kreatif & media, pendidikan dan inovasi & teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.



Siaran Akhbar Lain
24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan M...

Selanjutnya  

6 Julai 2022

Pelaburan Khazanah di Türkiye Bukti Hubungan Dua ...

Selanjutnya  

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampana...

Selanjutnya  

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman...

Selanjutnya  

20 Mei 2022

Khazanah jalin hubungan strategik untuk jadikan Ce...

Selanjutnya  

15 April 2022

Khazanah raih RM535.5 juta hasil daripada penempat...

Selanjutnya  

2 Mac 2022

Khazanah terus tingkatkan nilai portfolio, umum st...

Selanjutnya  

20 Disember 2021

Khazanah dan Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta un...

Selanjutnya  

29 Oktober 2021

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 September 2021

Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham ...

Selanjutnya