Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu

Kekal komited membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang tahun 2050

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia (“WED”), salah satu program alam sekitar terbesar bawah Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (“UNEP”), di Taman Tugu.

WED disambut pada 5 Jun setiap tahun dan merupakan wadah utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memupuk kesedaran dan menggalakkan tindakan untuk melindungi alam sekitar. Tema sambutan tahun ini ialah Hanya Satu Bumi. Sambutan tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-50 Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Alam Sekitar yang membawa kepada pembentukan UNEP.

Taman Tugu, tapak bagi sambutan tahun ini, adalah bukti komitmen Khazanah untuk memelihara alam sekitar serta sumber asli, yang menyokong sasaran Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050. Taman Tugu ialah sebuah taman rimba bandar yang terletak berhampiran Tugu Negara, Kuala Lumpur.

Dilancarkan pada 2018, Taman Tugu, sebuah taman rimba bandar yang terletak berhampiran Tugu Negara, Kuala Lumpur, merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat bukan berasaskan keuntungan yang diterajui oleh Khazanah dengan sokongan pelbagai kementerian dan agensi serta organisasi masyarakat sivil.

Amanah Warisan Negara (“AWAN”), sebuah amanah awam negara yang diasaskan oleh Khazanah, seterusnya ditubuhkan untuk memelihara, memulihara, mengurus dan mengendalikan Taman Tugu.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, telah menyempurnakan pelancaran sambutan WED di Taman Tugu.

Majlis sambutan tersebut telah dihadiri oleh barisan Lembaga Pengarah Khazanah, termasuk Dato’ Seri Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Kewangan.

Turut hadir, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan; Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli; dan Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, serta barisan ahli Lembaga Pemegang Amanah AWAN.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Sri Ismail Sabri, yang juga Pengerusi Khazanah, mengulangi komitmen Malaysia terhadap sasarannya untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

“Semasa ucaptama saya pada Persidangan Nikkei di Jepun baru-baru ini, saya telah memberikan komitmen bahawa kerajaan akan menggubal undang-undang berkaitan perubahan iklim ke arah mencapai neutral karbon menjelang 2050,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara yang mempunyai visi yang sama melalui Komuniti Pelepasan Sifar Asia.

Menurut Dato’ Sri Ismail lagi, antara lain, Malaysia turut komited untuk memastikan kawasan hutan semula jadi meliputi lebih 50 peratus daripada jumlah keluasan negara.

Tambah beliau, Kerajaan juga akan melaksanakan penyelesaian berasaskan semula jadi untuk mengurangkan kesan jangka panjang kepada alam sekitar termasuk penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Ismail memuji Khazanah atas peranannya dalam memelihara kawasan rimba bandar seluas 66 ekar yang terletak berhampiran Tugu Negara sebagai kawasan hijau untuk warga kota dan para pengunjungnya.

“Taman Tugu melambangkan komitmen semua pihak untuk memelihara warisan semula jadi negara,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AWAN berkata: “Taman Tugu adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif berteraskan nilai kemasyarakat yang dilaksanakan oleh Khazanah selama ini dan merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang baharu kami bawah mandat Memajukan Malaysia.”

Beliau menambah, Khazanah akan melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan nilai kemasyarakatan untuk terus membawa kesan positif kepada negara.

“Suka saya sebutkan di sini bahawa melalui Taman Tugu, kita bukan sahaja berjaya memelihara dan memulihara flora dan fauna negara tetapi juga menyediakan ruang rekreasi untuk orang ramai bagi terus memupuk keutuhan, kesejahteraan dan keterangkuman secara lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.”

“Ini selaras dengan matlamat sosial Khazanah untuk Membina Kapasiti dan Komuniti Berdaya,” katanya.

Pada majlis tersebut juga, Dato’ Sri Ismail Sabri telah menyaksikan penyerahan perjanjian tanah Taman Tugu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (“DBKL”) kepada AWAN. Ahli Lembaga Pemegang Amanah AWAN, Tan Sri Zarinah Anwar telah menerima perjanjian tanah tersebut daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj. Mahadi.

Dato’ Amirul Feisal mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyerahkan tanah Taman Tugu kepada AWAN, idea yang telah dicetuskan oleh Khazanah pada 2017, semasa pelancaran projek Taman Tugu.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam melindungi alam sekitar dan merupakan satu langkah penting ke arah memastikan Taman Tugu dipelihara untuk generasi akan datang serta seterusnya menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang lebih mampan, berdaya dan selesa dihuni,” katanya.

AWAN telah berperanan memelihara, memulihara, mengurus Taman Tugu, sekali gus menjadikan taman rimba bandar tersebut setanding dengan kawasan hijau lain di bandar-bandar utama dunia seperti Central Park di New York City dan Hyde Park di London.

Sambutan WED di Taman Tugu pada hari ini dijangka menarik kira-kira 3,000 pengunjung dan akan diteruskan sepanjang bulan Jun dengan pelbagai aktiviti dirancang untuk para pengunjung. Aktiviti yang disusun di Taman Tugu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan, pemeliharaan dan kelestarian kawasan hijau awam, serta mempertingkat dan memperkukuh usaha pembinaan komuniti di sekitar taman yang telah menarik lebih 500,000 pengunjung sejak Ogos 2018 itu.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya