Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampanan

Komited terhadap peralihan yang mampan menerusi penerapan ESG bagi menghasilkan nilai mampan untuk rakyat Malaysia

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini melancarkan rangka kerja dan sasaran jangkasederhana berkaitan kemampanan yang akan menjadi panduan baginya serta syarikat-syarikat pelaburan utama miliknnya untuk menghasilkan nilai mampan dengan menerapkan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (“ESG”) dalam perniagaan teras masing-masing. Pada majlis pelancaran tersebut, Khazanah turut mengutarakan pandangannya tentang perlunya bagi perniagaan untuk menitikberatkan perihal peralihan secara adil dan bertanggungjawab.

Rangka Kerja Kemampanan Khazanah digubal secara holistik dan mengambil kira tiga pertimbangan utama ESG serta menumpukan kepada isu yang memberi kesan paling ketara kepada perniagaan daripada perspektif organisasi dan portfolio.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, pada majlis pelancaran Rangka Kerja & Sasaran Kemampanan Khazanah: Melabur dalam Peralihan yang Mampan 2022, berkata: “Untuk melaksanakan suatu tindakan yang koheren berkaitan kemampanan, kami akan mengguna pakai pendekatan yang menyeluruh merangkumi segala aspek berkaitan tindakan yang kami ambil sebagai pelabur yang bertanggungjawab, organisasi yang mampan serta warga korporat yang baik.”

“Ini bermakna kemampanan akan diterapkan dalam setiap tidakan kami – daripada cara kami menguruskan pelaburan, kepada kaedah beroperasi sebagai sebuah firma, sehinggalah kepada pendekatan kami dalam menyokong dan menyumbang kepada objektif pembangunan masyarakat di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, kemampanan juga merupakan sebahagian daripada strategi teras Memajukan Malaysia yang diperkenalkan oleh Khazanah pada awal tahun ini, bawah tunggak Mewujudkan Masa Depan Mampan.

“Khazanah berhasrat untuk memainkan peranan utama dalam membentuk peralihan yang saksama dan bertanggungjawab ke arah masa depan yang mampan untuk Malaysia,” ujar beliau.

Menurut Dato’ Amirul Feisal, sebagai sebuah Dana Kekayaan Berdaulat (“SWF”), Khazanah perlu memastikan tindakannya menyokong dan menggalakkan peralihan yang bertanggungjawab ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan terangkum.

Dato’ Amirul Feisal turut menjelaskan bahawa memandangkan operasi syarikat bawah portfolionya adalah kompleks dan pelbagai, Khazanah akan mengambil pendekatan kolaboratif dan akanbekerjasama dengan syarikat-syarikat pelaburannya untuk beralih kepada model perniagaan yang lebih mampan serta memastikan syarikat-syarikat ini kekal berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu berhadapan dengan cabaran yang mendatang, sekali gus membolehkannya memanfaatkan sektor dan tema yang menerima manfaat daripada penerapan ESG.

“Bagi memastikan kami berpegang teguh kepada sasaran aspirasi yang ditetapkan, kami telah membangunkan rangka kerja yang akan menjadi panduan kepada kami dalam proses pembuatan keputusan selari dengan pelaksanaan inisiatif kemampanan kami. Kami berusaha untuk membawa keseimbangan dalam mematuhi prinsip ini, menyediakan fleksibiliti dalam pelaksanaan pendekatan Kelestarian kami berdasarkan kelas dan sektor aset pelaburan kami yang pelbagai. Pada dasarnya, kami berhasrat untuk memperoleh hasil yang positif dan lebih baik yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada ekonomi tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya,” kata Dato’ Amirul Feisal.

Majlis pelancaran pada hari ini dihadiri oleh kira-kira 150 jemputan yang terdiri daripada Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli pengurusan kanan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC) terpilih bawah Khazanah. Terdahulu, dua sesi pembentangan dan panel perbincangan telah diadakan yang mana para penceramah daripada Khazanah dan GLC membincangkan tentang topik Ekonomi Peralihan dan Cabaran & Peluang dalam Ekonomi Peralihan.

Menteri Kewangan, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah merasmikan pelancaran Rangka Kerja dan Sasaran Kemampanan Khazanah.

Dalam ucapan beliau, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul berkata kerajaan telah menggariskan beberapa keutamaan utama dalam Kenyataan Pra-Belanjawan Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini, termasuk peralihan strategik Malaysia daripada fasa pemulihan semasa kepada pembaharuan jangka panjang.

Ini termasuk mewujudkan peluang pendapatan yang lebih baik serta kesejahteraan holistik yang dipertingkatkan bagi mencapai visi Keluarga Malaysia untuk pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.

“Sungguhpun ini adalah asas yang baik, ia tidak boleh dilakukan secara berasingan. Pembaharuan yang berkekalan dan mampan hanya boleh dicapai dengan memastikan sokongan padu untuk visi kemampanan bersama, dengan melibatkan penyertaan semua pihak, termasuk sektor swasta,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kewangan yakin sektor awam dan swasta akan memainkan peranan masing-masing dan menyumbang kepada kejayaan usaha dan matlamat kemampanan Malaysia.

“Oleh itu, usaha Khazanah serta GLC lain seperti KWSP, TNB, CIMB, dan PETRONAS, untuk menerajui agenda kemampanan dengan memasukkan ESG ke dalam strategi teras dan seterusnya menerapkannya dalam operasi dan inisiatif CSR masing-masing adalah suatu perkembangan yang amat menggalakan,” katanya.

Menurut beliau, semua GLC ini menyumbang kepada pengarusperdanaan ESG dengan menjadi model ikutan, memangkin perubahan dalam ekosistem masing-masing serta menggalakkan seluruh Korporat Malaysia untuk sedar akan tindakan mereka serta bagaimana ia mempengaruhi komuniti dan persekitaran di mana mereka beroperasi.

Tengku Datuk Seri Utama Zafrul seterusnya mengucapkan tahniah kepada Khazanah kerana berjaya mewujudkan rangka kerja kelestariannya dan menzahirkan sokongannya terhadap aspirasi Khazanah untuk “membentuk peralihan yang saksama dan bertanggungjawab untuk Korporat Malaysia,” mengiktiraf peranan unik dan penting yang dimainkan oleh Khazanah dan syarikat-syarikat bawahnya.

“Sebagai pemilik kepada beberapa syarikat terbesar negara yang menggaji ribuan pekerja serta memberi manfaat kepada jutaan rakyat, proses peralihan yang betul diperlukan untuk memastikan semua kepentingan semua pihak dipelihara dan sebarang akibat yang tidak diingini dapat dikurangkan,” katanya.

“Saya juga teruja melihat sasaran yang ditetapkan oleh Khazanah yang selaras dengan objektif negara serta piawaian yang ditetapkan oleh pengamal ESG utama yang lain. Adalah menjadi harapan saya agar Khazanah akan terus memperjuangkan kelestarian dan bertindak sebagai rakan kongsi kepada syarikat portfolionya ketika negara beralih ke arah Sifar Bersih menjelang 2050,” tambahnya.

Rangka Kerja dan Sasaran Kemampanan Khazanah

Sebagai sebahagian daripada Rangka Kerjanya, Khazanah telah mengenal pasti Pelaburan Mampan dan Kemampanan Perusahaan sebagai dua bidang tindakan utama untuk membantu mencapai sasarannya.

Melalui Pelaburan Mampan, Khazanah akan menerapkan pertimbangan ESG dalam proses pembuatan keputusan pelaburannya dan pengawasan semua syarikat pelaburannya. Selain itu, melalui Dana Impak, Khazanah akan melabur secara aktif dalam sektor pemangkin yang akan membantu membina daya tahan negara dan menghasilkan manfaat sosio-ekonomi kepada negara. Ini termasuk tema sekitar membina daya tahan iklim dan menyediakan peluang pekerjaan yang baik dan bermaruah, serta mobiliti sosial untuk rakyat.

Pada masa yang sama, melalui pendekatan Kemampanan Perusahaan, Khazanah akan menerapkan kemampanan dalam operasi hariannya melalui pengurusan penggunaan tenaga, corak penggunaan bahan serta amalan perjalanan yang lebih baik.

Khazanah juga menyasarkan untuk mencipta impak yang lebih besar melalui sumbangan kepada masyarakat dan komuniti. Ini termasuk meneruskan usahanya ke arah memperkasakan komuniti, melindungi alam sekitar, mempromosikan seni dan memelihara warisan. Inisiatif ini dilaksanakan menerusi yayasan miliknya, iaitu Yayasan Hasanah dan Yayasan Khazanah, serta entiti lain bawahnya seperti Taman Tugu, Think City dan Khazanah Research Institute.

Bawah pertimbangan Alam Sekitar, Khazanah berhasrat untuk melindungi aset semula jadi negara serta melindungi alam sekitar untuk generasi hari ini dan akan datang. Bawah pertimbangan Sosial pula, Khazanah menyasarkan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi semua kumpulan berkepentingan dengan mengambil kira bagaimana keputusan perniagaan mempengaruhi pelanggan, pekerja, pembekal, kontraktor dan komuniti. Sementara bawah pertimbangan Tadbir Urus, Khazanah akan memastikan tindakan dan polisinya sebagai pengurus perniagaan dijalankan dengan cara yang bertanggungjawab.

Dari sudut Alam Sekitar, Khazanah telah menetapkan sasaran untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan akan berusaha mencapai operasi neutral karbon menjelang 2023, secara aktif menilai cara ia boleh menghapuskan pelepasannya melalui amalan kerja yang lebih baik serta inisiatif pembiayaan dan projek yang menyediakan pengimbangan karbon.

Dari sudut Sosial, Khazanah menyasarkan untuk meningkatkan polisi dan program menjurus kepada kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman. Khazanah juga akan berusaha untuk memastikan 30% daripada Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan terdiri daripada golongan wanita menjelang 2025. Selain itu, Khazanah akan memperkenalkan sasaran kesan sosio-ekonomi yang boleh diukur untuk semua inisiatif yang berkaitan, termasuk bawah Dana Impak dan Yayasan Hasanah menjelang 2023.

Dari sudut Tadbir Urus, Khazanah akan meningkatkan kecekapan Lembaga Pengarah dalam bidang kemampanan di syarikat portfolionya menjelang 2024, mendedahkan prinsip pengundiannya pada mesyuarat agung syarikat menjelang 2022 serta menyenaraikan KPI berkaitan ESG untuk jawatan kepimpinan utama di syarikat portfolionya menjelang 2023.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sherliza Zaharudin di Tel: +603 2034 0000 atau e-mel di [email protected].

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) ialah dana kekayaan negara Malaysia yang diamanahkan untuk menyampaikan nilai mampan untuk rakyat Malaysia. Selaras dengan strategi jangka panjang Memajukan Malaysia, Khazanah menyasarkan untuk mencapai tujuannya dengan melabur dalam sektor pemangkin, mencipta nilai melalui pengawasan aktif, meningkatkan kehadiran globalnya, serta membina kapasiti dan komuniti yang bertenaga untuk manfaat rakyat Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai Khazanah, layari www.khazanah.com.my.



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya