Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

20 Mei 2022

Khazanah jalin hubungan strategik untuk jadikan Cenviro jaguh serantau dalam pengurusan sumber

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) telah menjalinkan perkongsian strategik dengan SK ecoplant Co. Ltd. (“SK ecoplant”), sebuah syarikat daripada Korea Selatan, bagi terus memacu pertumbuhan Cenviro Sdn Bhd (“Cenviro”) untuk menjadi peneraju pengurusan sisa serantau.

Lanjutan daripada proses bidaan pelbagai hala yang dijalankan, SK ecoplant telah dipilih sebagai rakan kongsi pegangan saham minoriti paling tepat bagi membantu Cenviro untuk terus maju ke tahap pertumbuhan strategik seterusnya, sejajar dengan aspirasi pembangunan perindustrian sektor pengurusan sisa negara.

Perkongsian strategik ini juga adalah selaras dengan strategi jangka panjang baharu Khazanah ke arah Memajukan Malaysia yang telah diumumkan semasa Ulasan Tahunan Khazanah pada Mac 2022. Antara lain, Khazanah akan melaksanakan beberapa inisiatif utama untuk menyampaikan hasil yang memberi kesan kepada negara, termasuk mewakili Malaysia di peringkat global untuk menggalakkan aliran pengetahuan, rangkaian serta peluang pelaburan.

Ia juga selaras dengan strategi Khazanah untuk mencipta masa depan yang mampan yang mana ia berharap dapat memainkan peranan utama dalam membentuk peralihan yang saksama dan bertanggungjawab dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (“ESG”) untuk Korporat Malaysia.

Cenviro yang kini merupakan penyedia penyelesaian pengurusan sisa pekeliling unggul di Malaysia menyediakan perkhidmatan rawatan & pelupusan, kitar semula & pemulihan sisa terjadual, serta menekankan aspek amalan terbaik ESG.

Perkongsian yang dijalinkan ini merupakan langkah penting dalam pelan hala tuju strategik Cenviro untuk rantau ini, menggabungkan keupayaan operasi dan teknologi SK ecoplant dengan penguasaan dalam negara yang dimiliki oleh Cenviro. Khazanah dan SK ecoplant percaya bahawa perkongsian ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Cenviro sebagai platform pengurusan sisa terjadual yang unggul, membantu dalam pertumbuhannya serta mencipta nilai untuk semua pihak berkepentingan

Kemasukan pelaburan baharu ke Malaysia oleh pelabur asing yang berwibawa juga merupakan suatu lagi petanda baik atas keyakinan negara luar terhadap Malaysia.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Selama lebih 30 tahun, Cenviro telah menjadi peneraju dalam sektor pengurusan sisa bersepadu di Malaysia. Perkongsian yang dijalinkan antara Khazanah dengan SK ecoplant ini akan membantu memajukan lagi perniagaan Cenviro untuk mencapai tahap global dan meletakkannya di barisan hadapan dalam bidang pengurusan dan pemulihan sisa mampan di rantau ini.”

“Pelan pertumbuhan Cenviro selari dengan mandat Khazanah untuk membangunkan syarikat yang berdaya saing di peringkat global yang berpaksikan kemampanan dalam portfolio kami,” ujar beliau.

Sementara itu, menurut seorang wakil SK ecoplant: “Kami, SK ecoplant, sebagai platform perniagaan mesra alam No. 1 di Korea Selatan, telah berjaya menemui landasan terbaik untuk terus berkembang di rantau Asia. Perkongsian ini sejajar dengan rancangan jangka panjang SK ecoplant untuk mengembangkan perniagaannya berbekalkan pelbagai teknologi dan penyelesaian yang dimilikinya.”

Menurut Pengarah Urusan Cenviro, Dr. Johari Jalil, sebagai peneraju platform pengurusan sisa bersepadu, Cenviro sentiasa meneroka peluang untuk mengembangkan ekosistem pengurusan sisa di rantau ini.

Tambah beliau, “perkongsian ini akan mengukuhkan keupayaan operasi dan teknologi kami, meningkatkan penyelesaian pengurusan sisa menyeluruh kami serta membawa nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami.”

Setelah muktamad kelak, perkongsian strategik itu akan menyaksikan SK ecoplant memegang 30% kepentingan dalam Cenviro manakala Khazanah terus kekal sebagai pemegang saham majoriti syarikat pengurusan sisa tersebut. Kelulusan daripada pihak pengawal selia akan didapatkan sebagai sebahagian daripada keperluan transaksi ini. Sementara menantikan kelulusan tersebut, Cenviro akan beroperasi seperti biasa.

Khazanah telah mendapatkan khidmat BNP Paribas sebagai penasihat kewangan serta Zaid Ibrahim & Co sebagai penasihat undang-undang untuk transaksi ini.

SK ecoplant memiliki pengalaman luas kira-kira 44 tahun dalam bidang berteraskan mesra alam termasuk pengurusan sisa bersepadu, tenaga, kejuruteraan dan pembinaan berteraskan teknologi unggul serta keupayaan pembinaan di 15 buah negara.

Pengalaman SK ecoplant dalam pengurusan sisa di peringkat global serta hasratnya untuk terus memacu pencapaiannya dalam bidang ESG merupakan faktor utama yang akan membantu menyokong Cenviro untuk mencapai aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam industri pengurusan sisa.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
21 Mac 2023

Khazanah catat keuntungan lebih tinggi pada 2022 m...

Selanjutnya  

17 Mac 2023

Khazanah dan Sunway Education Group bekerjasama ba...

Selanjutnya  

16 Mac 2023

Khazanah lancar Future Malaysia Programme di bawah...

Selanjutnya  

25 Februari 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

14 Disember 2022

Pengkarya seni muda terpilih ikuti residensi seni ...

Selanjutnya  

7 Oktober 2022

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan M...

Selanjutnya  

6 Julai 2022

Pelaburan Khazanah di Türkiye Bukti Hubungan Dua ...

Selanjutnya  

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampana...

Selanjutnya  

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman...

Selanjutnya