Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

4 Jun 2015

Khazanah menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab berdenominasi ringgit pertama di dunia

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini berjaya menawarkan dan menetapkan harga bagi Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (“Sukuk”) sebanyak RM100 juta berjangka masa tujuh tahun yang bakal diterbitkan oleh Ihsan Sukuk Bhd. (“Ihsan”), sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Malaysia.

Penerbitan sukuk berkenaan adalah lanjutan daripada pelaksanaan Program Sukuk Ihsan berjumlah RM1.0 bilion, program pertama seumpamanya yang diluluskan bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sukuk tersebut ditetapkan panduan harga 4.30% setahun dan telah dilanggan sepenuhnya lanjutan daripada proses binaan bida. Pelbagai kumpulan pelabur termasuk yayasan, perbadanan, institusi perbankan, dana persaraan dan syarikat pengurusan aset telah melanggani sukuk tersebut.

Hasil daripada terbitan awal ini akan digunakan untuk usaha transformasi sekolah bawah Program Sekolah Amanah kendalian Yayasan AMIR (“YA”) yang telah dikenal pasti untuk tahun 2015. YA adalah sebuah yayasan tidak berasaskan keuntungan yang diperbadankan oleh Khazanah bagi membantu meningkatan akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah-sekolah kerajaan menerusi Perkongsian Awam-Swasta dengan Kementerian Pelajaran.

Sukuk berkenaan telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 18 Mei 2015.

”Alhamdulillah, kami amat gembira dengan penerbitan sukuk ini yang berjaya menyatukan sektor pendidikan dan kewangan Islam bersama-sama pelaburan tanggungjawab sosial melalui struktur yang inovatif, yang sekali gus menyerlahkan contoh terbaik pelaburan berimpak sambil dilaksanakan pada kadar yang amat kompetitif,” kata Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Dato’ Azman Hj. Mokhtar.

“Sukuk berimpak sosial ini merupakan suatu konsep baharu dan berimpak tinggi, lantas kesedaran serta sokongan di kalangan para pelabur dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa,” ujar beliau.

“Penerbitan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab yang pertama oleh Ihsan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam inovasi produk dari Malaysia dalam pasaran modal Islam. Pencapaian ini juga memperkukuhkan lagi kesejagatan kewangan Islam,” kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Ranjit Ajit Singh.

Impak sosial bagi struktur sukuk “Bayar-untuk-Kejayaan” ini diukur menggunakan Indeks Prestasi Utama (“KPI”) yang telah ditetapkan terdahulu dan akan dinilai dalam tempoh masa pemerhatian lima tahun. Sekiranya, KPI tersebut berjaya dicapai pada tempoh matang, pelabur sukuk akan melepaskan 6.22% daripada nilai nominal sukuk berkenaan sekali gus mengurangkan hasil pulangan kepada 3.5% setahun. Pelarasan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial pemegang sukuk dalam mengiktiraf kesan sosial positif yang dihasilkan oleh Program Sekolah Amanah. Sebaliknya, jika sasaran KPI yang ditetapkan gagal dicapai, pelabur sukuk layak menerima jumlah nominal dibayar bawah sukuk ini sepenuhnya. Satu lagi ciri unik sukuk ini adalah ia memberi peluang kepada pelabur sukuk untuk menukar pelaburan mereka dalam sukuk tersebut kepada derma pada bila-bila masa sepanjang tempoh sukuk tersebut.

Sukuk yang distrukturkan bawah prinsip Wakalah Bi Al-Istithmar ini sekali gus membuktikan usaha berterusan Khazanah dalam memperkenalkan instrument kewangan Islam yang inovatif dan berdaya maju.

CIMB Investment Bank Berhad (“CIMB”) bertindak sebagai pengatur tunggal sementara Amanie Advisors Sdn Bhd dan CIMB Islamic Bank Berhad merupakan penasihat syariah bersama untuk Program Sukuk RM1.0bn ini.

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian Tel +603 2034 0000 atau menerusi e-mel di [email protected]

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk menguruskan aset-aset komersial milik Kerajaan dan melaksanakan pelaburan-pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, riadah & pelancongan, hartanah kreatif & media, pendidikan dan inovasi & teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd. Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila lawati www.khazanah.com.my



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya