Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

30 April 2014

GLCs bersedia menyokong pertumbuhan negara dengan inisiatif berteraskan keterangkuman

Di bawah inisiatif Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, peluang perniagaan baru bernilai kira-kira RM5.0bn untuk masyarakat Bumiputera pada 2014 berpotensi diwujudkan melalui pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (“KPI”) berkaitan Bumiputera dan beberapa inisiatif utama (game-changing initiatives atau “GCI” )

Nilai pasaran G201 meningkat tiga kali ganda kepada RM421b antara 14 Mei 2004 dan 25 April 2014 sementara Jumlah Pulangan Pemegang Saham (“TSR”) mencatatkan pertumbuhan 13.4% setahun, mengatasi KLCI sebanyak 0.2%

G20 telah membayar dividen berjumlah RM94bn dan cukai berjumlah RM57bn antara TK2004 dan TK2013, sekali gus memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat Malaysia

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada mesyuarat ke-26 Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (“PCG26”) hari ini menggesa semua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) untuk menyokong agenda pembangunan berteraskan keterangkuman menerusi pelaksanaan Agenda Bumiputera (“BA”) secara profesional serta pelbagai inisiatif lain secara teratur.

Dato’ Sri Mohd Najib berkata BA merupakan agenda nasional dan harus disokong oleh semua pihak termasuk GLC. Beliau menegaskan sekiranya semangat BA dipupuk di kalangan majoriti rakyat negara ini, ia akan melahirkan anggota masyarakat serta tenaga kerja yang lebih dinamik yang sekali gus akan membantu memacu pertumbuhan negara.

Menyentuh tentang tempoh dan matlamat Program Transformasi GLC (Program GLCT), Perdana Menteri menggesa GLIC dan GLC untuk meneruskan usaha dalam menyampaikan matlamat program berkenaan secara terangkum. Beliau menambah, GLIC dan GLC harus meneruskan budaya prestasi tinggi meskipun selepas tamatnya program berkenaan bagi memastikan syarikat -syarikat ini memainkan peranan dalam memacu pembangunan di Malaysia dalam mencapai Wawasan 2020.

GLC kekal dalam landasan pertumbuhan

Antara 14 Mei 2004 dan 25 April 2014, Pulangan Pemegang Saham (“TSR”) G20 telah berkembang pada kadar 13.4% setahun mengatasi KLCI sebanyak 0.2%. Permodalan pasaran G20 pula meningkat sebanyak 3.0 kali daripada RM140bn kepada RM421bn dalam tempoh yang sama. Pendapatan Bersih G20 susut sedikit kepada RM25.6bn pada TK2013 daripada RM26.1bn pada TK2012, paras paling tinggi yang pernah dicatat, tetapi dijangka akan mencecah tahap tertinggi baru RM27.4bn pada TK2014. Hasil daripada prestasi kewangan yang kukuh ini, G20 telah berjaya memberi pulangan dari segi dividen dan cukai, masing-masing berjumlah RM94bn dan RM57bn antara TK2004 dan TK2013. Dividen dan cukai ini secara langsung dan tidak langsung telah memberi faedah kepada rakyat Malaysia.

Pertumbuhan secara terangkum

KPI berkaitan BA setiap GLIC dan G20 telah dibentang dan dibincangkan dengan Perdana Menteri di mesyuarat PCG26. GLIC dan G20 mensasarkan untuk melaksanakan BA secara profesional melalui kaedah mesra-pasaran, berdasarkan merit dan telus, sambil menggalakkan keterangkuman dan kesaksamaan.

KPI berkaitan BA serta GCI dijangka akan menyediakan pelbagai peluang perniagaan yang dianggarkan berjumlah RM5.0bn pada 2014. Inisiatif-inisiatif ini adalah tambahan kepada pelbagai inisiatif BA sedia ada serta program-program yang sediakala dijalankan oleh GLC. Inisiatif baru yang bakal diperkenalkan pada 2014, antara lainnya, termasuk pengambilan 25 vendor baru di bawah program pembangunan vendor, lima syarikat konsortium/ tunjang berpotensi, kontrak bernilai RM2.3b daripada beberapa projek, 1,300 biasiswa baru, 1,800 unit aset bukan kewangan, RM1.2bn hartanah tambahan termasuk perumahan mampu milik serta peruntukan dana keusahawanan berjumlah RM500 juta. Dari segi pemilikan dalam sektor korporat, Permodalan Nasional Berhad

(“PNB”) telah melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 bernilai RM10bn pada April tahun ini. Selepas ini, GLIC dan G20 akan memperhalusi KPI berkaitan BA dan GCI dan syarikat-syarikat ini akan seterusnya membuat pengumuman tentang KPI berkaitan BA dan GCI masing-masing dalam masa terdekat. Kemajuan pelaksanaan KPI berkaitan BA dan GCI oleh G20 akan diawasi dan dilaporkan kepada YAB Pedana Menteri dari semasa ke semasa melalui sekretariat PCG.

Pada mesyuarat yang sama, GLC turut disaran untuk menggalakkan kepelbagaian di tempat kerja dari segi jantina, kaum dan umur. Kepelbagaian adalah sumber kekuatan dan ia memastikan, dalam pada negara mengejar status negara berpendapatan tinggi, ia juga mencapai aspirasi dari segi keterangkuman dan kemampanan.

Mesyuarat PCG yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri turut dihadiri oleh ahli-ahli PCG termasuk Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; serta Pengerusi-pengerusi dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC dan G20.

TAMAT


1 G20 terdiri daripada GLC utama terpilih yang dikuasai oleh GLIC bawah Program GLCT dan digunakan sebagai proksi bagi prestasi GLC. Pada permulaan Program, terdapat sejumlah 20 buah GLC. Jumlah GLC kini adalah 17 buah hasil daripada beberapa penggabungan, pemisahan, serta inisiatif korporat yang lain.

Tentang Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (“PCG”)

Program Transformasi GLC (“Program GLCT”) telah diumumkan pada 14 Mei 2004 dan dilancarkan secara rasminya pada 29 Julai 2005. PCG telah ditubuhkan pada Januari 2005 sebagai jawatankuasa pemandu yang memacu usaha mentransformasi GLC menjadi organisasi berprestasi tinggi. PCG dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh wakil daripada Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pejabat Perdana Menteri serta ketua-ketua Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad. Selaku urus setia PCG, Khazanah menguruskan pelaksanaan Program GLCT. Sekretariat kepada PCG, Pejabat Pengurusan Transformasi (“TMO”) telah diwujudkan di Khazanah dan dipertanggungjawabkan untuk mengurus pelaksanaan Program GLCT.

Senarai terkini anggota G20

  1. Affin Holdings Berhad

  2. Axiata Group Berhad

  3. BIMB Holdings Berhad

  4. Boustead Holdings Berhad

  5. Chemical Company of Malaysia Berhad

  6. CIMB Group Berhad

  7. Malayan Banking Berhad

  8. Malaysia Airports Holdings Berhad

  9. Malaysian Airline System Berhad

  10. Malaysian Building Society Berhad

  11. Malaysian Resources Corporation Berhad

  12. Sime Darby Berhad

  13. Telekom Malaysia Berhad

  14. Tenaga Nasional Berhad

  15. TH Plantations Berhad

  16. UEM Group Berhad

  17. UMW Holdings Berhad



Siaran Akhbar Lain
24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan M...

Selanjutnya  

6 Julai 2022

Pelaburan Khazanah di Türkiye Bukti Hubungan Dua ...

Selanjutnya  

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampana...

Selanjutnya  

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman...

Selanjutnya  

20 Mei 2022

Khazanah jalin hubungan strategik untuk jadikan Ce...

Selanjutnya  

15 April 2022

Khazanah raih RM535.5 juta hasil daripada penempat...

Selanjutnya  

2 Mac 2022

Khazanah terus tingkatkan nilai portfolio, umum st...

Selanjutnya  

20 Disember 2021

Khazanah dan Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta un...

Selanjutnya  

29 Oktober 2021

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 September 2021

Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham ...

Selanjutnya