Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

15 Mei 2015

GLC bersedia ditauliahkan bawah program transformasi 10 tahun

  • Hari Terbuka GLC akan berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2015 bagi menandakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) berjaya ditauliahkan bawah Program Transformasi GLC (Program GLCT), program yang berjangka masa 10 tahun yang kini dalam tahun terakhirnya. Semasa Hari Terbuka tersebut, GLC akan mempamerkan kejayaan syarikat masing-masing dalam mencatatkan pertumbuhan ketara, prestasi serta kesan positif atas pembangunan negara dan rakyat Malaysia

  • Permodalan pasaran G201 meningkat 3.2 kali ganda daripada RM133.8 bilion pada 14 Mei 2004 kepada RM431.1 bilion pada 7 April 2015

  • Jumlah Pulangan Pemegang Saham (“TSR”) meningkat 12.6% setiap tahun, 0.4% lebih tinggi berbanding Indeks Komposit Kuala Lumpur Malaysia FTSE Bursa (“FBM KLCI”) 2 dalam tempoh yang sama

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini berkata Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) harus terus memelihara tiga prinsip asas Program Transformasi GLC (“Program GLCT”) selepas tamatnya program 10 tahun tersebut pada tahun ini. Ketiga-tiga prinsip tersebut adalah tumpuan kepada prestasi, pembangunan negara dan tadbir urus yang baik serta memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan. Dato’ Sri Mohd Najib berkata demikian dalam ucapan penggulungan beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (“PCG”) ke-28, pada hari ini.

Sungguhpun prestasi GLIC dan GLC kini rata-ratanya lebih baik berbanding 10 tahun lepas, Dato’ Sri Mohd Najib menegaskan bahawa persekitaran perniagaan pada hari ini turut berubah mengikut zaman dan kian mencabar. Oleh yang demikian, beliau menggesa agar GLIC dan GLC meningkatkan pencapaian masing-masing, dengan menyasarkan untuk menjadi syarikat terbaik dalam kelas masing-masing atau muncul sebagai jaguh di peringkat antarabangsa.

GLC terus mencatatkan prestasi baik

Permodalan pasaran G20 meningkat 3.2 kali ganda (atau RM297.3 bilion) daripada RM133.8 bilion pada 14 Mei 2004 kepada RM431.1 bilion pada 7 April 2015. Dalam tempoh yang sama, Jumlah Pulangan Pemegang Saham (“TSR”) G20 meningkat 12.6% setiap tahun, 0.4% lebih tinggi berbanding FBM KLCI. Sementara itu, G20 mencatatkan keuntungan bersih RM26.2 bilion pada TK2014, hampir mencecah tahap tertinggi yang pernah dicapai iaitu RM26.3 bilion pada TK2013 serta berkembang pada Kadar Pertumbuhan Terkumpul Tahunan (“CAGR”) 10.2% dari TK2004 hingga TK2014.

Menyokong inisiatif pembangunan negara, termasuk meningkatkan keanggotaan wanita dalam lembaga pengarah dan agenda pemerkasaan Bumiputera

GLC telah menyumbang kepada pembangunan negara melalui pelbagai inisiatif seperti menyokong Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi; membangunkan industri dan sektor berasaskan pengetahuan dan berorientasikan perkhidmatan baru; serta pembangunan koridor ekonomi, yang mana kesemuanya adalah pemangkin pertumbuhan yang bertujuan mengangkat kedudukan negara dalam rantaian nilai ekonomi. GLC secara berterusan menyokong ekonomi tempatan dengan G20 melabur RM153.9 bilion dalam pasaran domestik dari TK2004 hingga TK2014 serta menyediakan peluang pekerjaan kepada 225,050 rakyat Malaysia pada tahun 2014.

GLC juga menggalakkan keterangkuman dalam pertumbuhan dengan meningkatkan kepelbagaian tenaga kerja di syarikat masing-masing dari segi jantina, etnik dan umur. GLC juga terus berusaha memperbaiki amalan kerja dan kehidupan warga kerjanya, termasuk menyediakan kemudahan mesra keluarga di tempat kerja dan aturan kerja yang fleksibel. Pada tahun 2014, kira-kira 16.9% warga kerja G20 dan lembaga pengarah anak-anak syarikatnya yang tersenarai adalah golongan wanita, berbanding 10.2% di syarikat tersenarai di Malaysia.

Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi sokongan GLIC dan G20 bagi Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh kerajaan pada tahun 2013, PCG telah memperkenalkan Agenda Pemerkasaan Bumiputera (“BEA”). Di bawah BEA, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh GLIC dan G20 yang memberi manfaat kepada golongan usahawan, pekerja, pelajar dan masyarakat Bumiputera. Prestasi Petunjuk Prestasi Utama (“KPI”) berkaitan BEA bagi GLIC dan G20 untuk 2014 dan sasaran KPI BEA bagi 2015 akan dilaporkan kepada Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) selepas perbincangan lanjut dan penilaian atasnya diadakan sejurus selepas mesyuarat PCG pada hari ini..

Rangkaian Bantuan Bencana GLC sediakan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir Pantai Timur

Rangkaian Bantuan Bencana GLC (“GDRN”) yang telah dilancarkan pada bulan November 2014, telah menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM45.4 juta semasa banjir di Pantai Timur, baru-baru ini. Melalui GDRN, GLIC dan GLC telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk barangan serta mengambil bahagian dalam usaha pemulihan dan pembinaan semula, serta membantu golongan yang terjejas akibat banjir. GDRN akan berfungsi sebagai platform untuk GLIC dan GLC menyampaikan bantuan secara lebih tersusun dan berkesan pada masa hadapan.

Hari Terbuka GLC 2015

Hari Terbuka GLC 2015 akan diadakan pada 7 hingga 9 Ogos 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi menandakan tamatnya Program GLCT. Bertemakan “Menapak ke Persada Keunggulan: Membina Negara, Memupuk Insan”, semasa hari terbuka tersebut, orang ramai akan berpeluang menyelami kisah transformasi dan pertumbuhan GLC sepanjang 10 tahun yang lepas, mempelajari tentang faktor kejayaan utama serta pengajaran daripada CEO GLIC dan GLC, serta dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang pameran 3 hari tersebut, termasuk pesta kerjaya, majlis forum dan ceramah, pelbagai bentuk pertandingan, cabutan bertuah, aktiviti untuk kanak-kanak, serta penampilan khas oleh para pemimpin industri dan personaliti terkenal yang lain.

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian Tel: +603 2034 0000, atau e-mel [email protected]

Tentang Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (“PCG”) [email protected]

Program Transformasi GLC (“Program GLCT”) telah diumumkan pada 14 Mei 2004 dan dilancarkan secara rasminya pada 29 Julai 2005. PCG telah ditubuhkan pada Januari 2005 sebagai jawatankuasa pemandu yang memacu usaha mentransformasi GLC menjadi organisasi berprestasi tinggi. PCG dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh wakil daripada Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pejabat Perdana Menteri serta ketua-ketua Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad. Selaku urus setia PCG, Khazanah menguruskan pelaksanaan Program GLCT. Sekretariat kepada PCG, Pejabat Pengurusan Transformasi (“TMO”) telah diwujudkan di Khazanah dan dipertanggungjawabkan untuk mengurus pelaksanaan Program GLCT.

Berikut adalah senarai anggota G-20:

  1. Affin Holdings Berhad

  2. Axiata Group Berhad

  3. BIMB Holdings Berhad

  4. Boustead Holdings Berhad

  5. Chemical Company of Malaysia Berhad

  6. CIMB Group Berhad

  7. Malayan Banking Berhad

  8. Malaysia Airports Holdings Berhad

  9. Malaysian Airline System Berhad

  10. Malaysian Building Society Berhad

  11. Malaysian Resources Corporation Berhad

  12. Sime Darby Berhad

  13. Telekom Malaysia Berhad

  14. Tenaga Nasional Berhad

  15. TH Plantations Berhad

  16. UEM Group Berhad

  17. UMW Holdings Berhad

1 G20 merupakan himpunan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) utama terpilih yang dikuasai oleh Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang terlibat dalam Program Transformasi GLC dan digunakan sebagai proksi bagi prestasi GLC. Asalnya terdiri daripada 20 GLC, jumlah GLC kini berkurangan kepada 17 buah hasil daripada proses penggabungan, pemisahan, pelupusan dan beberapa inisiatif korporat yang lain.

2 Indeks Komposit FBM Kuala Lumpur (“KLCI”) ialah indeks pasaran saham permodalan berwajaran, yang terdiri daripada 30 syarikat terbesar di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran yang memenuhi syarat-syarat kelayakan Peraturan Asas Indeks FTSE Bursa Malaysia



Siaran Akhbar Lain
24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan M...

Selanjutnya  

6 Julai 2022

Pelaburan Khazanah di Türkiye Bukti Hubungan Dua ...

Selanjutnya  

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampana...

Selanjutnya  

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman...

Selanjutnya  

20 Mei 2022

Khazanah jalin hubungan strategik untuk jadikan Ce...

Selanjutnya  

15 April 2022

Khazanah raih RM535.5 juta hasil daripada penempat...

Selanjutnya  

2 Mac 2022

Khazanah terus tingkatkan nilai portfolio, umum st...

Selanjutnya  

20 Disember 2021

Khazanah dan Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta un...

Selanjutnya  

29 Oktober 2021

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 September 2021

Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham ...

Selanjutnya