Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan Malaysia oleh Khazanah dan akses kepada seni untuk semua

Galeri seni maya Khazanah menerapkan nilai patriotik yang mendalam melalui pemeliharaan seni, sejarah, budaya dan warisan

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini secara rasmi melancarkan galeri seni maya, Galeri Khazanah, bagi mempersembahkan koleksi seninya dan berkongsi akses kepada karya seni buat pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Bagi pelancaran galeri maya bertema: Sejenak Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah, Galeri Khazanah akan mempersembahkan 57 karya seni daripada koleksinya, dihasilkan oleh 29 penggiat seni.

Bersempena bulan Merdeka, tema itu dipilih dengan tujuan meraikan Malaysia, merakamkan kisah-kisah Malaysia melalui perjalanan masa – dari Malaya pada 1960an sehingga ke Malaysia pada masa kini – representasi bermakna karya seni yang dipilih kepada perjalanan hidup artis tersebut sendiri.

Antara karya seni yang ditampilkan dalam galeri maya ini termasuk yang dihasilkan oleh Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Ibrahim Hussein, Khalil Ibrahim, Latiff Mohidin, Dato’ Sharifah Fatimah, Yusof Ghani, Ahmad Zakii Anwar, Jalaini Abu Hassan, Anurendra Jegadeva, Kow Leong Kiang, Yee I-Lann, Fauzul Yusri, Liew Kung Yu dan Haffendi Anuar.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah merasmikan pelancaran tersebut. Mengiringi baginda adalah Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir.

Acara itu turut dihadiri para penggiat seni yang karya mereka ditampilkan di pameran itu, serta wakil daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat sektor swasta, galeri-galeri seni dan fraterniti seni tempatan.

Sempena acara pelancaran itu, Khazanah turut menganjurkan pameran seni mini selama 11 hari bermula esok, menampilkan 28 karya seni oleh 27 penggiat seni di Slate @ The Row, Kuala Lumpur. Kesemua 28 karya seni itu dipilih khas bagi memperingati ulang tahun ke-28 Khazanah yang disambut tahun ini.

Memetik ucapan baginda di acara pelancaran itu, Sultan Nazrin memuji usaha ‘mendemokrasikan seni’ oleh Khazanah, mewujudkan inklusiviti dan kebolehcapaian awam melalui platform maya Galeri Khazanah.

Merujuk kepada seni sebagai “jendela ke dalam jiwa”, Sultan Nazrin bertitah bahawa karya seni, yang diperoleh secara beransur-ansur dari seluruh Malaysia, yang dipamerkan di Galeri Khazanah dan di pameran mini itu, adalah jendela ke dalam ‘jiwa negara.’

“Secara tradisi, kebanyakan karya seni ditonton secara fizikal. Ia disimpan di muzium, galeri, pejabat korporat dan di kediaman persendirian atau oleh pengumpul seni.”

“Inisiatif seperti pameran maya karya-karya seni ini yang dianjurkan oleh Khazanah membolehkan seni diakses dengan jauh lebih efektif berbanding sebelum ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin, dalam penghormatan baginda kepada para penggiat seni Malaysia yang masyhur dan kian meningkat naik dan telah menyumbang kepada perkembangan negara, bertitah bahawa karya seni yang mereka hasilkan menceritakan kisah sejarah Malaysia dan evolusi jiwa negara.

“Seni menghubungkan masa silam, masa kini dan masa hadapan kita melalui konteks sejarah. Mempelajari sejarah seni mengajar kita tentang identiti kita, asal-usul kita,” titah baginda.

Sejak penubuhannya pada tahun 1994, Khazanah telah memperoleh karya-karya seni secara beransur-ansur, dalam pelbagai media dan gaya, yang dihasilkan oleh artis tempatan dalam usaha untuk memelihara dan mempromosikan seni dan bakat karyawan tempatan. Sehingga kini, Khazanah memiliki lebih 600 karya seni dalam koleksinya, termasuk karya seni minyak, akrilik dan batik, artifak, arca, lukisan dan foto.

Banyak karya seni yang dimiliki Khazanah dipamerkan di pejabat korporatnya di Kuala Lumpur, serta di pejabat-pejabat serantau di Shanghai, Mumbai, Istanbul dan San Francisco.

Khazanah juga pernah meminjamkan beberapa karya seni yang dimiliki kepada galeri seni untuk dipamerkan. Dato’ Amirul Feisal, pada pelancaran itu berkata, peranan Khazanah dalam memelihara dan mempromosikan karya seni oleh para penggiat seni tempatan adalah selaras dengan peranannya dalam menyampaikan nilai sosial untuk negara.

Beliau berkata, “Melangkau tanggungjawab kewangan, Khazanah juga mempunyai kewajipan untuk melindungi, memelihara dan membangunkan aset-aset negara sebagai sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia oleh dana kekayaan berdaulat negara.”

“Tepat masanya bagi kami memperkenalkan Galeri Khazanah kepada rakyat Malaysia dan dunia, sebagai sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia kami untuk membina kapasiti dan memacu komuniti yang berdaya untuk manfaat rakyat Malaysia,” kata Dato’ Amirul Feisal.

“Hari ini penuh bermakna bagi usaha kami dalam memupuk penghargaan warisan melalui pendigitalan karya seni kami melalui platform digital ini,” tambah beliau.

Selain memperoleh karya-karya seni hasil penggiat seni tempatan, Dato’ Amirul Feisal turut menegaskan bahawa Khazanah juga telah menyumbang secara aktif ke arah pemupukan kapasiti para penggiat seni tempatan melalui Residensi Seni Khazanah sejak tahun 2017.
Setakat ini, Khazanah telah menaja lapan penggiat seni untuk menyertai program residensi seni untuk tempoh 12 minggu, dianjurkan oleh ACME Studios di London.

Dikurasi oleh perunding seni tempatan Sarah Abu Bakar dan direka oleh firma seni bina Malaysia Fei Architect, serta rakaman gambar oleh Wesley Wong daripada Giclee Art Sdn Bhd, Galeri Khazanah terdiri daripada lima ruang realiti maya bertema – Lobi; Rumah Tradisional; Peranakan; Pavilion dan Bilik Kaca.

Iringan muzik adalah sebuah karya orkestra oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) berjudul Lenggang Mak Limah, gubahan Abu Kassim; dan susunan Ahmad Muriz Che Rose.

Pameran mini Sejenak Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah akan dibuka kepada umum dari 25 Ogos sehingga 4 September, bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari. Masuk adalah percuma.

Selain karya seni yang dipamerkan, pengunjung juga berpeluang mendengar ceramah anjuran beberapa penggiat seni masyhur dan kian meningkat naik, menyertai bengkel kreatif dan menyertai aktiviti interaktif, sepanjang pameran mini itu.

Layari Galeri Khazanah di https://galeri.khazanah.com.my/

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
7 Oktober 2022

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

24 Ogos 2022

Galeri Khazanah menyumbang kepada misi Memajukan M...

Selanjutnya  

6 Julai 2022

Pelaburan Khazanah di Türkiye Bukti Hubungan Dua ...

Selanjutnya  

10 Jun 2022

Khazanah lancar rangka kerja dan sasaran kemampana...

Selanjutnya  

5 Jun 2022

Khazanah sambut Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman...

Selanjutnya  

20 Mei 2022

Khazanah jalin hubungan strategik untuk jadikan Ce...

Selanjutnya  

15 April 2022

Khazanah raih RM535.5 juta hasil daripada penempat...

Selanjutnya  

2 Mac 2022

Khazanah terus tingkatkan nilai portfolio, umum st...

Selanjutnya  

20 Disember 2021

Khazanah dan Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta un...

Selanjutnya  

29 Oktober 2021

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya