Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

6 Jun 2023

Khazanah melabur dalam syarikat teknologi insurans tindanan penuh tempatan, PolicyStreet, untuk meningkatkan perlindungan di pasaran kurang tumpuan di Malaysia

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), di bawah mandat Dana Impak, baru-baru ini menerajui pusingan pengumpulan dana Siri B syarikat teknologi insurans (“InsurTech”) tempatan Malaysia, PolicyStreet, di mana AS$15.3 juta (RM67 juta) telah dikumpul.

Dana Impak adalah peruntukan RM6 bilion bagi tempoh lima tahun dan merupakan tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia) Khazanah, dengan matlamat untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, membina daya tahan negara, serta memberikan impak sosioekonomi kepada rakyat Malaysia.

PolicyStreet adalah syarikat InsurTech tindanan penuh (full-stack) yang menawarkan penyelesaian insurans digital dan tersuai kepada para pengguna dan perniagaan. Dalam menawarkan penyelesaian insurans yang mudah, berpatutan dan bermatlamat, PolicyStreet berusaha untuk mengecilkan jurang perlindungan di Malaysia dan meningkatkan kadar penembusan insurans negara, yang pada 5.3%, kini ketinggalan berbanding negara lain seperti Singapura (9.3%) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) (9.4%).

Pelaburan Khazanah dalam PolicyStreet melengkapi Future Malaysia Programme yang bermatlamat untuk menyokong ekosistem permulaan (start-up) tempatan yang merangkumi para usahawan, syarikat permulaan, modal teroka dan program usaha sama korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa. Future Malaysia Programme menyokong pelaburan ke dalam syarikat dengan model perniagaan mampan yang memberikan impak sosioekonomi kepada Malaysia, seperti PolicyStreet, yang memerlukan suntikan modal berisiko.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Dana Impak  adalah komitmen kami terhadap pelaburan strategik bagi meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan membina daya tahan negara, serta penyampaian faedah dan impak sosioekonomi kepada rakyat Malaysia. Pelaburan kami dalam PolicyStreet menyasarkan peningkatan penembusan insurans dalam segmen yang tidak mendapat tumpuan dan kurang mendapat tumpuan bagi menyokong keterangkuman, menyediakan perlindungan kewangan yang lebih baik, meningkatkan daya tahan isi rumah dan kesejahteraan kewangan.”

“Kami akan terus melabur dalam penyedia penyelesaian yang inovatif dan berkesan yang memanfaatkan teknologi dan inovasi produk untuk menyumbang kepada negara. Ini sejajar dengan komitmen kami untuk memacu ekosistem permulaan tempatan melalui Future Malaysia Programme, sebagai sebahagian daripada imperatif strategik kami.”

Dana Impak berusaha untuk mencipta impak sosioekonomi dalam semua pelaburannya. Oleh itu, Khazanah telah menggunakan rangka kerja penilaian impaknya, Inisiatif SEMARAK, dalam proses penilaian pelaburan. Tesis impak Khazanah adalah berdasarkan bagaimana penyelesaian insurans inovatif yang disediakan oleh InsurTech seperti PolicyStreet, menawarkan liputan mudah akses dan bermakna kepada mereka yang tidak mendapat tumpuan dan kurang mendapat tumpuan dan seterusnya, meningkatkan perlindungan kewangan, daya tahan isi rumah dan menggalakkan kesejahteraan kewangan untuk rakyat Malaysia.

Pelaburan dalam PolicyStreet juga melengkapkan tonggak perlindungan sosial Belanjawan Malaysia MADANI 2023 dengan menambah baik jaringan keselamatan untuk pekerja ekonomi gig yang terdedah kepada nahas jalan raya.

Melalui kerjasama berterusannya dengan rakan kongsi digital seperti CARSOME, foodpanda Malaysia dan Shopee Malaysia, PolicyStreet berada pada kedudukan yang baik untuk memacu impak sosial yang bermakna di Malaysia dan rantau ini, terutamanya untuk segmen yang belum diterokai seperti pekerja gig dan ekonomi digital. Dengan keupayaan teknologi dalaman dan pengunderaitan (underwriting) PolicyStreet, syarikat InsurTech itu bakal menjadikan perlindungan mudah diakses dan disesuaikan dengan lebih baik untuk kumpulan terpinggir.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PolicyStreet, Yen Ming Lee berkata, “PolicyStreet komited untuk memperkasakan perniagaan dan pengguna dengan insurans dibawah nilai pasaran dengan menyediakan penyelesaian insurans yang mudah diakses. Dengan lebih setengah juta pekerja gig B40 dan 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) sudah mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini, kami menyasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada 2.5 juta pekerja gig dan 300,000 PKS dalam tempoh lima tahun akan datang, mewujudkan masa depan yang lebih inklusif dari segi kewangan untuk komuniti di Malaysia dan rantau ini.”

Pusingan pengumpulan dana PolicyStreet baru-baru ini juga mendapat sokongan padu daripada pelabur tempatan dan antarabangsa yang lain, termasuk Altara Ventures, Gobi Partners dan Spiral Ventures. PolicyStreet bercadang untuk menggunakan dana untuk mengukuhkan teknologi dan keupayaan pengunderaitannya. Melalui pengkhususan dalam penyelesaian insurans tersuai untuk perniagaan dan pengguna, PolicyStreet menyasarkan untuk meningkatkan polisi pengunderaitan atas permintaannya untuk menjadikan perlindungan lebih mudah diakses dan memanfaatkan segmen pelanggan yang kurang diberi tumpuan dan berinsurans di bawah nilai pasaran di rantau ini.

Pengasas Bersama dan Pengerusi Gobi Partners, Thomas Tsao berkata, “PolicyStreet telah mengatasi jangkaan pasaran dan mencapai pencapaian yang mengagumkan, menunjukkan komitmen mereka untuk memacu impak sosial yang bermakna di Malaysia. Pencapaian cemerlang mereka dalam pelesenan dan pertumbuhan, serta pengiktirafan industri, membuktikan cadangan nilai mereka yang luar biasa. Gobi Partners gembira kerana Khazanah turut mengiktiraf keupayaan mereka dan nilai tambah yang dibawa kepada ekonomi Malaysia.”

Dave Ng, Rakan Kongsi Am Altara Ventures pula menekankan, “Sebagai pelabur utama Siri A mereka, kami berbangga dengan pencapaian PolicyStreet setakat ini. Mereka mengembangkan perniagaan mereka sebanyak lima kali pada tahun 2022 dan mencapai jumlah diinsuranskan lebih AS$6 bilion, menyediakan perkhidmatan kepada lebih 5 juta pelanggan. Dalam pusingan pengumpulan dana ini, kami menggandakan sokongan kami untuk pasukan yang menakjubkan ini. Kami teruja dan melihat ke arah membantu usaha syarikat dalam pengembangan serantau.”

Sejak penubuhannya pada 2017 oleh bekas profesional perbankan dan insurans Yen Ming Lee, Wilson Beh dan Winnie Chua, PolicyStreet telah mencapai pelbagai kejayaan, termasuk menjadi InsurTech tempatan pertama yang dianugerahkan lesen Penasihat Kewangan dan Penasihat Kewangan Islam oleh Bank Negara Malaysia (“BNM)”) pada tahun 2019 yang membolehkannya bekerjasama dengan lebih 40 penyedia insurans dan takaful untuk menyediakan nasihat kewangan, pendidikan dan sokongan tuntutan kepada pelanggannya.

PolicyStreet juga telah memperoleh lesen Penanggung Insurans Semula dan Penanggung Insurans Am daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (“LFSA”) pada tahun 2021, membolehkannya menyesuaikan dan menaja jamin polisi insurans untuk segmen  yang tidak diberi tumpuan dan kurang diberi tumpuan. Baru-baru ini, ia menerima anugerah Syarikat Pelabur Cemerlang daripada Persatuan Modal Teroka Dan Ekuiti Persendirian Malaysia (“MVCA”).

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
15 Mei 2024

Konsortium diterajui Khazanah dan KWSP umum tawara...

Selanjutnya  

11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya