Cabaran Impak Inovasi Khazanah berjaya menemui penyelesaian inovatif untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bagi golongan warga emas di Malaysia

Enam finalis menerima geran manakala lima yang lain bakal mengikuti Program Pemacu Cabaran Impak Sosial anjuran MRANTI

Cabaran Impak Inovasi Khazanah (“KIIC”) melabuhkan tirainya dengan selesainya KIIC Pitch Day yang menyaksikan 30 finalis mempersembahkan cadangan perniagaan masing-masing yang tertumpu kepada meningkatkan mutu perkhidmatan bagi golongan warga emas di Malaysia.

Penganjuran KIIC Pitch Day merupakan kemuncak cabaran sengit selama 10 minggu yang melalui pelbagai fasa, yang mana para peserta diberi peluang untuk berinteraksi dengan pakar industri dan menjalani temuduga untuk persediaan ke peringkat akhir. Cabaran ini juga telah memberi para peserta maklumat mendalam serta idea bagi memperkukuhkan lagi asas perniagaan serta memperkemaskan lagi plan strategi masing-masing.
Enam finalis telah dipilih untuk menerima geran bernilai RM300,000 setiap satu. Para penerima geran juga berpeluang untuk terus meningkatkan kemampuan masing-masing menerusi Program ScaleUp anjuran Endeavour. Selain itu, lima lagi finalis lain akan menerima RM20,000 serta mendapat akses eksklusif ke Program Pemacu Cabaran Impak Sosial (“SICA”) anjuran MAGIC, sebuah program pemacu yang berteraskan impak dan menumpukan pada Matlamat Pembangunan Mampan (“SDG”) yang direka dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (“UNDP”), bagi terus mempertingkatkan penerimaan pasaran bagi penyelesaian masing-masing.

Tahniah kepada pemenang geran dan finalis bagi program pacuan kami!

Pemenang Geran KIIC

Hire.Seniors menyediakan platform pencarian pekerjaan dalam talian yang menghubungkan golongan professional yang berpengalaman, warga emas dan pesara dengan syarikat yang memerlukan pekerja yang berpengalaman dan berkemahiran.

Ia bertujuan memberi peluang kepada warga emas untuk mendapatkan pekerjaan dan seterusnya membolehkan mereka berdikari pada usia lanjut mereka.

Managedcare terlibat dalam penyelarasan pelbagai khidmat kesihatan dan penjagaan jangka panjang serta pentadbirannya dengan menekankan aspek kualiti dan kemampuan.

Ia bertujuan menyediakan ekosistem rawatan bersepadu dengan pelantar kesihatan digital yang menyediakan pakej penjagaan rumah pada harga yang berpatutan dan pengurusan penjagaan yang dibangunkan untuk mereka yang mengalami strok, demensia dan uzur.

Fokus utama Meaningfull Life adalah untuk membangunkan produk dan perkhidmatan serta membina ekosistem bagi membantu warga emas di rantau Asia untuk menjalani usia tua mereka dengan penuh bermakna.

Ia bertujuan menyediakan perkhidmatan pemulihan dan jagaan harian untuk warga emas bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga masing-masing dan seterusnya menjadi pusat jagaan warga emas yang berkonsepkan kaedah Montessori (“Montessori of Eldercare”).

Misi MISZ Home Physiotherapy adalah untuk memastikan golongan warga emas mampu memperoleh perkhidmatan penjagaan di rumah selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan belia.

Ia menyasarkan untuk mempertingkatkan perkhidmatan penjagaan di rumah yang patuh Syariah dan pada harga yang berpatutan, termasuk rawatan fisioterapi dan kejururawatan bagi warga emas , khususnya untuk memenuhi keperluan golongan M40 dan B40 di luar bandar.

CARE Concierge menyediakan perkhidmatan khusus dalam pemulihan selepas rawatan di hospital dan penjagaan warga emas melalui platform kesihatan digital serta rangkaian Jururawat, Terapi & Pengasuh yang disediakan.

Ia menyediakan perkhidmatan bersepadu (iaitu penjagaan di rumah, kemudahan bantuan hidup, jagaan harian, latihan dan teknologi) untuk warga emas menjalani usia tua mereka di tempat pilihan masing masing, serta meningkatkan kemampuan platform CARE Guardian untuk menyokong warga emas dalam pelbagai aspek perkhidmatan penjagaan.

SmartPeep adalah syarikat teknologi kesihatan berasaskan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau AI) yang membangunkan sistem pemantauan automatik untuk mencegah kemalangan serta membantu golongan penjaga kesihatan profesional untuk bertindak dengan lebih baik bagi membantu para pesakit dan warga emas.

Ia menyasarkan untuk merevolusikan khidmat rawatan bagi warga emas dengan memanfaatkan teknologi AI untuk menyumbang kepada kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan yang lebih baik untuk golongan tersebut menerusi sistem pemantauan AI yang disediakan bagi memantau, mengesan anomali melalui teknologi canggih, bagi mengelak/ mengesan kejadian jatuh; dan menyediakan laporan dalam waktu sebenar.

Pemenang Program Pacuan

Firegent menggunakan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau AI) untuk memperoleh data daripada pelbagai sumber bagi membolehkan ia diguna dan dikongsi dengan pelbagai pihak.

Ia menyasarkan untuk membangunkan saluran bagi menghubungkan data pesakit demensia daripada pelbagai platform ke satu sumber; serta meningkatkan penggunaan terapi muzik untuk penilaian demensia.

IMM Carehub adalah Pusat Gaya Hidup swasta untuk warga emas berasaskan penyelidikan khusus dalam khidmat penjagaan pencegahan, penuaan dan pemulihan geriatrik.

Sasaran platform ini adalah untuk memberikan khidmat rawatan menyeluruh untuk warga tua bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang sihat, berdikari dan dengan penuh bermakna pada usia lanjut di pusat yang dilengkapi dengan teknologi terkini dalam penyelesaian pencegahan dan pemulihan.

Nova Engineering Services menyediakan perkhidmatan yang tertumpu pada penyelidikan dan pembangunan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup.

Ia bertujuan menyokong perkhidmatan untuk warga emas melalui Smart Medicine Dispenser System (SMDS), dispenser ubat-ubatan yang dikendalikan secara kendiri mengikut sukatan yang ditetapkan dan membolehkan pengambilan ubat direkod dan dinilai untuk analisis kepatuhan, penetapan waktu pengambilan serta maklumat lain.

Robopreneur adalah syarikat perkhidmatan robotik yang kian berkembang pesat. Ia menyediakan produk dan perkhidmatan robotik untuk kegunaan profesional dan di tempat kediaman, memperkasakan transformasi digital melalui penyesuaian robotik, automasi dan penyelesaian Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau AI) dalam perniagaan.

Ia bertujuan memperkenalkan Sistem Lengan Kerusi Roda Robotik untuk meningkatkan kualiti hidup serta memberikan kebebasan serta membolehkan warga emas lebih berdikari.

Teman Malaysia adalah sebuah perusahaan sosial yang menyediakan perkhidmatan teman penjagaan untuk warga emas dan kepada yang golongan yang memerlukan penjagaan bagi membantu dalam aktiviti harian dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Ia menyasarkan untuk memperluas sokongan jangka pendek dan bantuan penjagaan untuk warga emas dengan memadankan golongan tersebut dengan pengasuh terlatih bagi membantu mereka dalam aktiviti harian, daripada janji temu kesihatan hingga ke tugasan harian yang dijalankan.


“Permintaan untuk perkhidmatan warga emas akan terus meningkat apabila kita menjadi negara yang kian meningkat usia. Saya gembira melihat kualiti cadangan yang telah dikemukakan oleh para finalis, dan saya amat menantikan penyelesaian berinovasi yang dapat membantu warga emas untuk meniti usia lanjut mereka secara terhormat dan di tempat tetap pilihan masing-masing, serta membantu meningkatkan keupayaan golongan pengasuh, termasuk menyokong pengasuh yang tidak formal. Saya ingin memuji usaha Khazanah untuk meneroka penyelesaian yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan bagi warga emas di Malaysia.”

Profesor Madya Dr Rahimah Ibrahim
Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia


Tentang KIIC

Menjelang tahun 2045, Malaysia diunjurkan menjadi sebuah negara tua yang mana kira-kira 15% penduduk
(5.7 juta orang) berumur 65 tahun ke atas (1).

Dengan pertukaran gaya hidup antara generasi muda dan tua, struktur keluarga yang berubah serta pelbagai faktor sosio-ekonomi lain, kira-kira 10% warga emas di Malaysia dijangka menjalani hidup bersendirian (2) sementara sebahagian daripada mereka mungkin tidak mampu mendapatkan perkhidmatan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka menempuh hari tua dengan harga diri terpelihara.

Selaras dengan peranan Khazanah dalam menghasilkan pulangan ekonomi serta nilai mampan bagi rakyat Malaysia; kami merasakan bahawa perkhidmatan yang disediakan untuk membantu golongan tersebut menempuh hari tua di tempat pilihan masing-masing perlu dipertingkatkan dan diperbaiki. Mereka juga harus mendapat akses rawatan yang berpatutan serta sokongan di mana juga mereka berada.
Sumber:
1. UN Population Division, World Bank.
2. 2000 Census Report, Department of Statistics Malaysia.

Apakah KIIC?
Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) adalah platform bagi Khazanah meneroka dan menyokong model perniagaan baharu yang dijangka dapat membantunya mencipta nilai strategik berdasarkan tema yang telah ditetapkan dalam pertandingan ini.

Dengan tema “Meningkatkan Mutu Perkhidmatan Bagi Warga Emas di Malaysia", pertandingan ini bertujuan untuk menyokong pertumbuhan serta kemajuan perkhidmatan khusus bagi warga emas pada kadar yang berpatutan, bagi meningkatkan kualiti hidup serta membolehkan golongan tersebut melalui usia tua di tempat tetap pilihan mereka.
Hadiah
Para pemenang KIIC akan berpeluang menerima sehingga RM300,000 dalam bentuk geran pembangunan projek dan seterusnya berpeluang menerima pelaburan susulan daripada Khazanah.

Peserta yang berkelayakan mungkin dipilih untuk menyertai Social Impact Challenge Accelerator Programme (SICA) anjuran MaGIC bagi meningkatkan keupayaan masing-masing serta peluang menerima pembiayaan lanjut.
KIIC adalah sebuah inisiatif Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), dengan kerjasama MRANTI (sebelum ini dikenali sebagai MaGIC) dan disokong oleh Endeavor.

Penyelesaian Yang Kami Cari

KIIC mencari penyertaan daripada entiti perniagaan yang berpusat di Malaysia yang dapat memberikan penyelesaian yang inovatif dan unik:

Kesan ketara yang boleh diukur
untuk rakyat Malaysia;

Model perniagaan
yang mampan;

Penyelesaian yang boleh
diguna pakai di seluruh
Malaysia

Penyelesaian yang dicadangkan boleh merangkumi:

  1. Model peningkatan usia setempat yang membolehkan rakyat Malaysia melalui usia tua mereka di rumah masing-masing atau dalam komuniti mereka sekarang sambil terus menerima akses kepada perkhidmatan sosial, kesihatan dan penjagaan;
  2. Penyelesaian yang menangani keperluan golongan pertengahan dengan harga berpatutan serta liputan sokongan yang meluas di seluruh negara;
  3. Penyelesaian inovatif bukan berasaskan teknologi atau berasaskan teknologi; dan
  4. Sebarang perkhidmatan lain yang menangani masalah (cth. perkhidmatan sampingan lain, perkhidmatan pembiayaan, perkhidmatan yang mengurangkan kos penjagaan kesihatan untuk golongan tua, dan lain-lain).