Timbalan Pengerusi Khazanah meletak jawatan daripada Lembaga Pengarah

19 September 2017

Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pada hari ini telah mengemukakan surat peletakan jawatan beliau daripada Lembaga Pengarah Khazanah berkuatkuasa 30 September 2017. Surat peletakan jawatan tersebut telah dikemukakan beliau pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ke-84 yang diadakan pada hari ini. Tan Sri Nor juga akan mengosongkan jawatan Pengerusi Khazanah Research Institute yang disandang beliau berkuat kuasa tarikh yang sama.

Pengerusi Khazanah, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas sumbangan beliau kepada Khazanah, terutamanya peranan beliau dalam pelaksanaan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) berjangka 10 tahun yang diterajui oleh Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC. Lembaga Pengarah Khazanah menerima keputusan Tan Sri Nor dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.”

Tan Sri Nor, 70 tahun, yang telah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Khazanah selama 15 tahun, merupakan ahli lembaga pengarah yang paling lama berkhidmat dan satu-satunya Timbalan Pengerusi dalam sejarah 23 tahun Khazanah.

Tan Sri Nor telah memainkan peranan penting dalam kejayaan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk rombakan dan transformasi Khazanah dari tahun 2004 hingga sekarang, Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan yang berjangka 10 tahun dari tahun 2004 hingga 2015, pembangunan pelbagai koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia, serta pembentukan Yayasan Hasanah dan Khazanah Research Institute. Semua inisiatif ini telah dilaksanakan semasa beliau memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah serta ketika beliau memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam termasuk Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri (dari tahun 2000 hingga 2003) Menteri Kewangan II (dari tahun 2004 hingga 2009) dan Menteri di Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri (dari tahun 2009 hingga 2013).

Pengurusan dan kakitangan Khazanah ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Nor atas sumbangan dan khidmat beliau kepada Khazanah dan negara.

TAMAT

Siaran Akhbar Lain

Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) Melaksanakan Gaji Ke...

Selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI untuk Menaikkan Siling dan Menaikkan Lantai bagi Meningkatkan Taraf Hidup, Kesejahteraan dan Produktiviti Pekerja...

1 Mei 2025 Selanjutnya

Khazanah dan INCJ Umum Urusniaga Strategik dalam EDOTCO Group

Khazanah dan Innovation Network Corporation of Japan (“INCJ”) mengumumkan bahawa Khazanah akan memperoleh pegangan INCJ dalam Kumpulan EDOTCO, mencerminkan hubungan...

14 Mac 2025 Selanjutnya

Keuntungan rm5.1 bilion daripada operasi pada 2024, prestasi kukuh ...

Khazanah terus mencipta nilai jangka panjang, memangkin inovasi dan menyampaikan hasil sosio-ekonomi Sorotan 2024 Keuntungan RM5.1b daripada operasi Kadar Pulangan...

5 Februari 2025 Selanjutnya