Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

13 Januari 2016

ULASAN TAHUNAN KHAZANAH KEDUABELAS (“KAR 2016”)

Soroton:

  • Prestasi kewangan kekal berdaya tahan dalam tahun 2015 yang serba mencabar dan tidak menentu:

    • Nilai Portfolio Aset Boleh Direalisasi (“RAV”) meningkat 3.2% kepada RM150.2 bilion pada 2015 daripada RM145.5 bilion pada 2014, dengan lindungan RAV (Aset/ Liabiliti) berada pada tahap 3.1 kali ganda.

    • Sungguhpun Nilai Portfolio Bersih Dilaraskan (“NWA”) susut sedikit sebanyak 1.6% kepada RM109.0 bilion pada 2015 (RM110.7 bilion pada 2014), ia selari dengan penurunan 1.0% yang dicatatkan oleh FBM KLCI (dalam Jumlah Pulangan kepada Pemegang Saham), namun mengatasi prestasi enam daripada tujuh indeks pasaran yang menjadi rujukan. Aliran meningkat jangka panjang kekal kukuh dengan NWA terus berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan berganda (“CAGR”) 10.7% bagi tempoh dari Mei 2004 hingga 31 Dis 2015

    • Keuntungan Sebelum Cukai (belum diaudit) sebanyak RM1.18 bilion dicatatkan (2014: RM3.22 bilion)

    • Sejumlah 23 pelaburan bernilai RM8.7 bilion dan 10 pelupusan bernilai RM5.3 bilion telah dilaksanakan, yang menghasilkan keuntungan berjumlah RM2.9 bilion

  • Prestasi strategik terus dipertingkat dengan beberapa pencapaian ketara dicatatkan pada 2015:

    • Pentauliahan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) yang berlangsung selama 10 tahun, pada Ogos 2015; yang menyaksikan CAGR meningkat 10.5% atau kira-kira tiga kali ganda pemodalan pasaran.

    • Khazanah terus berperanan sebagai pemangkin dalam pembangunan Iskandar Malaysia, yang mana pada November 2015, telah memasuki tahun kesepuluh sejak pelancarannya. Iskandar Malaysia telah mencatatkan pelaburan terkumpul yang telah diikrarkan berjumlah RM187 bilion dan mewujudkan lebih 600,000 peluang pekerjaan.

    • Pelaksanaan Pelan Pemulihan MAS telah berjaya dijalankan mengikut jadual dalam tempoh 16 bulan pertama sehingga Disember 2015,

    • Memangkin pertumbuhan dan perkembangan ekonomi dalam negeri melalui syarikat-syarikat teras milik Khazanah dalam sektor-sektor utama seperti telekomunikasi, tenaga, infrastruktur, lapangan terbang dan perbankan, serta juga menerusi pelaburan dalam industri baharu termasuk penjagaan kesihatan, sains hayat, teknologi maklumat, riadah & pelancongan, industri kreatif, kesejahteraan, pembangunan mampan dan makanan & pertanian.

    • Bagi menyokong langkah-langkah proaktif ekonomi yang diumumkan oleh Kerajaan pada bulan September 2015, Khazanah telah meningkatkan dan mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek pelaburan dalam pelbagai sektor yang berjumlah RM9.27 bilion. Ini adalah tambahan kepada pelaksanaan beberapa projek besar oleh syarikat-syarikat utama milik Khazanah termasuk Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad dan IHH Healthcare Berhad yang berjumlah kira-kira RM25 bilion.

    • Pelaksanaan strategi pengantarabangsaan Khazanah diteruskan dengan pembukaan pejabat luar negaranya yang kelima, Khazanah Europe Investment Limited di London pada bulan Ogos 2015. Tumpuan lebih diberikan kepada peningkatan komponen inovasi dan teknologi dalam portfolionya terutamanya menerusi pejabat-pejabatnya di San Francisco, London, Beijing dan Mumbai.

  • Kemajuan berterusan dalam inisiatif Penginstitusian dan Pembangunan Negara

    • Komitmen berterusan bagi pengagihan nilai menerusi inisiatif Tanggungjawab Korporat (“CR”), khususnya melalui Yayasan Hasanah yang menerima endowmen berjumlah RM3 bilion yang menumpukan kepada bidang pendidikan; alam sekitar; kesenian, warisan dan budaya; dan pembangunan ilmu pengetahuan

    • Pembangunan ilmu pengetahuan serta sokongan dasar menerusi Khazanah Research Institute serta pelbagai majlis ilmu pengetahuan dan penerbitan

    • Peningkatan berterusan dalam tadbir urus korporat, pengurusan risiko, pembangunan bakat dan integriti institusi.

    • Sokongan berterusan bagi memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dan inovasi kewangan yang beretika. Pada bulan Jun 2015, Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (“SRI”) berdenominasi Ringgit yang pertama di dunia telah dilancarkan bagi membiayai pengembangan Program Sekolah Amanah ke sekolah-sekolah lain.

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah ke-12 (“KAR 2016”), yang menyaksikannya mencatatkan kemajuan yang berdaya tahan dan berterusan dari segi prestasi kewangan dan strategik, aktiviti sosial dan pengagihan, serta pembinaan kapasiti berterusan dan usaha penginstitusian.

Tan Sri Azman Hj. Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah, berkata: “Sungguhpun dalam persekitaran yang mencabar dan tidak menentu, Khazanah tetap berjaya mencatatkan prestasi kewangan dan strategik yang berdaya tahan dan menguntungkan pada 2015. Khazanah juga telah berjaya merakamkan pelbagai pencapaian penting termasuk pentauliahan Program Transformasi GLC yang berlangsung selama 10 tahun, pelaksanaan projek-projek pemangkin di Iskandar Malaysia, serta meningkatkan pelaburan domestik bagi menyokong langkah-langkah proaktif ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan.”

“Selain itu, Khazanah juga telah berjaya melengkapkan rangkaian pejabat pelaburan antarabangsanya selain berperanan yang penting dalam institusi dan pembangunan negara melalui pelbagai program termasuk Yayasan Hasanah, pembangunan ilmu pengetahuan dan sokongan dasar, pembangunan bakat dan memperkukuhkan tadbir urus korporat dan integriti institusi,” kata Tan Sri Azman.

1. Prestasi Kewangan

Khazanah telah mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dan berdaya tahan dalam persekitaran yang mencabar dan tidak menentu pada 2015. Nilai portfolio Khazanah yang diukur berdasarkan Nilai Aset Boleh Direalisasi1 (“RAV”) meningkat RM4.7 bilion atau 3.2% kepada RM150.2 bilion pada 31 Disember 2015, daripada RM145.5 bilion pada 31 Disember 2014. Lindungan RAV (aset/ liabiliti) berada pada kedudukan 3.1 kali ganda, sekali gus meletakkan Khazanah dalam kedudukan yang agak kukuh dalam tahun 2016, yang dijangka akan terus mencabar.

Nilai Bersih Dilaraskan2 (“NWA”) portfolio Khazanah berada pada kedudukan RM 109.0 bilion pada 31 Disember 2015, menurun sebanyak RM1.8 bilion atau 1.6% daripada RM110.7 bilion pada 31 Disember 2014. Berbanding pasaran saham di sekitar rantau Asia (dari segi Jumlah Pulangan Pemegang Saham (“TSR”) dalam mata wang tempatan), prestasi NWA Khazanah menyusut sedikit berbanding FBM KLCI (2015 TSR: -1.0%) tetapi lebih baik berbanding beberapa indeks tanda aras utama, termasuk Indeks Straits Times (-11.4%), Indeks Komposit Jakarta (-10.5%) , Indeks Hang Seng (-4.0%), Indeks SENSEX (-3.7%) dan Indeks Bursa Istanbul (-14.1%).

Sungguhpun tahun 2015 merupakan tahun yang mencabar, aliran meningkat portfolio keseluruhan Khazanah sejak Mei 2004 masih tidak terjejas. RAV meningkat RM99.3 bilion daripada RM50.9 bilion pada Mei 2004 kepada RM150.2 bilion pada 31 Disember 2015, manakala NWA meningkat RM75.7 bilion daripada RM33.3 bilion kepada RM 109.0 bilion dalam tempoh yang sama. Ini diterjemahkan kepada kadar pertumbuhan tahunan berganda (“CAGR”) NWA sebanyak 10.7% setiap tahun.

Bagi tahun 2015, Khazanah mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) yang belum diaudit sebanyak RM1.18 bilion berbanding keuntungan RM3.22bn yang dicatatkan pada tahun 2014. PBT terkumpul Khazanah sejak Mei 2004 berjumlah RM23.52 bilion. Khazanah telah mengisytiharkan dividen RM1.05 bilion bagi tahun 2015, yang menjadikan jumlah dividen terkumpul sejak Mei 2004 berjumlah RM8.46 bilion. Selain itu, Khazanah membayar RM136 juta dalam bentuk cukai pada tahun 2015, yang menjadikan jumlah cukai yang dibayar adalah RM1.44 bilion sejak tahun 2004.

Pada tahun 2015, Khazanah telah melaksanakan 23 pelaburan berjumlah RM8.7 bilion dan 10 pelupusan yang yang bejumlah RM5.3 bilion yang menghasilkan keuntungan berjumlah RM2.9 bilion. Dari tahun 2004 hingga 2015, Khazanah telah melaksanakan 144 pelaburan bernilai RM74.7 bilion dan 77 pelupusan berjumlah RM48.1 bilion yang menghasilkan keuntungan berjumlah RM22.3 bilion.

2. Prestasi Strategik dan Operasi

Prestasi portfolio yang berdaya tahan membolehkan Khazanah meneruskan pelaksanaan mandat strategiknya untuk memangkinkan lagi pertumbuhan, serta mencipta dan mengagih nilai. Ini termasuk terus memacu prestasi yang lebih baik dalam syarikat pelaburan miliknya dan memangkinkan lagi pertumbuhan domestik, diseimbangkan dengan perkembangan selanjutnya dalam pengantarabangsaan Khazanah serta syarikat pelaburan milik Khazanah.

Tahun 2015 turut menyaksikan “pentauliahan&rdquo3 Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) daripada Program Transformasi GLC sepanjang 10 tahun. selepas mencapai kemajuan transformasi yang memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi kewangan, menginstitusikan tadbir urus yang baik, dan melaksanakan sumbangan lebih luas dan berkesan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara. GLC telah mencapai keputusan kewangan yang lebih kukuh dan kini menjadi syarikat yang lebih dinamik, didorong oleh prestasi dan ditadbir dengan lebih baik. Sejak Mei 2004, permodalan pasaran G204 telah meningkat sebanyak tiga kali ganda, dengan GLC menghasilkan TSR CAGR sebanyak 10.5% setiap tahun.

Terdapat juga kemajuan berterusan dalam pembangunan Iskandar Malaysia, yang keseluruhannya telah menerima pelaburan komited terkumpul berjumlah RM187 bilion5 dan mewujudkan lebih 600,000 pekerjaan sejak 2006. Pinewood Iskandar Malaysia Studios (“PIMS”) telah menerbitkan beberapa produksi antarabangsa, termasuk “Asia’s Got Talent” dan “Lost in the Pacific”. Lebih daripada 2,100 pekerjaan telah diwujudkan melalui operasi PIMS sejak 2014. Selain itu, pembangunan sektor kesejahteraan, Afiniti Medini dan penstrukturan semula modal Iskandar Investment Berhad juga berjaya dilengkapkan.

Sementara itu, terdapat juga kemajuan yang berterusan dan stabil dalam pelaksanaan 12-bidang utama Pelan Pemulihan MAS selama lima tahun, yang selepas 16 bulan pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan mengikut jadual. Pencapaian utama pada tahun 2015 termasuk pelantikan Christoph Mueller untuk menerajui Malaysia Airlines Berhad (“MAB”), peralihan daripada Malaysian Airline System Berhad (“MAS”) kepada MAB, serta kelulusan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia di Parlimen.

Selanjutnya, dalam menyokong langkah-langkah proaktif Kerajaan untuk mengukuhkan dasar ekonomi negara dan menangani kesan pergolakan kewangan, Khazanah telah mengumumkan pelaburan dan inisiatif berjumlah RM9.27 bilion pada tahun 2015. Ini termasuk pelaburan domestik tambahan dan dipercepatkan berjumlah RM6.67 bilion6 dalam beberapa sektor utama yang akan dilaksanakan oleh Khazanah melalui syarikat-syarikat pelaburan miliknya yang berkaitan serta rakan pembangunannya dalam jangka masa terdekat dan sederhana. Sektor-sektor tersebut adalah riadah dan pelancongan, penjagaan kesihatan dan pelancongan kesihatan, industri kreatif yang berorientasikan eksport, inovasi dan teknologi serta sektor Penyumberan Luar Proses Perniagaan (“BPO”). Selain itu, Khazanah akan menyediakan sebuah Dana Teroka Pelaburan Ekonomi Baharu berjumlah RM500 juta untuk usahawan tempatan; bersama dengan Permodalan Nasional Berhad (“PNB””) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (“KWAP”), menyediakan dana tambahan untuk ValueCAP Sdn Bhd untuk melabur dalam pasaran ekuiti, seperti yang diumumkan oleh Kerajaan pada tahun lepas.

Syarikat-syarikat portfolio teras Khazanah turut melaksanakan beberapa urus niaga dan projek utama pada tahun 2015, Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”) memuktamadkan pengambilalihan 100% kepentingan dalam lapangan terbang Istanbul Sabiha Gokcen (MAHB juga mengambilalih pembangunan Aeropolis KLIA seperti yang telah diumumkan pada 2015); IHH Healthcare Berhad mengambilalih 51% kepentingan dalam Hospital Continental dan 73.4% kepentingan dalam Hospital Global, kedua-duanya di India; Tenaga Nasional Berhad mengambil alih 70% kepentingan dalam Jimah East Power dan 30% kepentingan dalam syarikat tenaga Turki, Gama Enerji AS; Axiata Group Berhad mengambilalih 75% kepentingan dalam Digicel Myanmar Tower Company dan 80% kepentingan dalam NCell, syarikat pengendali mudah alih terkemuka Nepal; PLUS Expressways International, sebuah anak syarikat UEM Group Berhad telah melengkapkan pembinaan jalan bertol Cikopo-Palimanan di Indonesia; serta Telekom Malaysia Berhad melaksanakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (“HSBB2”) dan Jalur Lebar Sub-Urban (“SUBB”) .

Khazanah terus melancarkan strategi pengantarabangsaan pada 2015, dengan penubuhan sebuah pejabat di London oleh anak syarikat milik penuh Khazanah, Khazanah Europe Investment Ltd. Pejabat London Khazanah merupakan pejabat serantau kelima selepas Beijing, Mumbai, San Francisco dan Istanbul. Di samping itu, terdapat tumpuan kepada usaha memperdalam komponen inovasi dan teknologi bagi portfolio Khazanah, melalui beberapa pelaburan dalam pelbagai geografi termasuk India, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Malaysia.

Secara keseluruhan, Malaysia menyumbang kira-kira 55.1% kepada RAV Khazanah mengikut pendedahan geografi7 pada 2015, manakala pelaburan di luar negara menyumbang kepada baki selebihnya.

3. Inisiatif Institusi dan Pembangunan Negara

Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah yang diberikan endowmen sebanyak RM3 bilion, menerajui usaha tanggungjawab korporat (“CR”) dengan memberi tumpuan kepada penyokongan inisiatif jangka panjang yang menekankan kesan sosial yang boleh diukur dan diambil tindakan, melalui organisasi rakan kerjasama dalam lima bidang utama: Pendidikan; Pembangunan Masyarakat; Alam Sekitar; Seni, Budaya dan Warisan; serta Perkembangan Ilmu Pengetahuan. Antara hasil inisiatif Yayasan Hasanah pada tahun ini termasuklah peningkatan penyertaan dalam Program Sekolah Angkat Yayasan PINTAR; membantu meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah di kawasan bandar dan luar bandar; pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar pada peringkat komuniti dan inisiatif kitar semula pada peringkat sekolah; di samping sokongan berterusan untuk usaha bantuan kemasyarakatan pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Di samping itu, Laporan Hasanah 2014, laporan pertama yang merangkumi seluruh operasi dan aktiviti Yayasan Hasanah telah dilancarkan tahun lepas. Yayasan Hasanah telah membelanjakan sebanyak RM96 juta untuk pelbagai inisiatif CR pada tahun 2015. Secara keseluruhan, Khazanah telah membelanjakan sebanyak RM575 juta untuk inisiatif CR, termasuk inisiatif di bawah Yayasan Hasanah, semenjak 2006.

Di samping itu, Khazanah terus memberi sokongan untuk pembentukan dasar kerajaan dan memperdalam hubungan merentasi rangkaian pengetahuan global. Pencapaian utama pada tahun 2015 adalah penerbitan buku “Making Housing Affordable” oleh Khazanah Research Institute (“KRI”), sebuah laporan yang menganalisis masalah penyediaan rumah mampu milik kepada orang awam daripada perspektif institusi dan firma. KRI turut menerbitkan “Why Trade Matters”, yang mengkaji bagaimana perdagangan antarabangsa dan dasar perdagangan mengintegrasikan kesan globalisasi ke dalam ekonomi tempatan dan kehidupan rakyat seharian. Selain itu, Khazanah Megatrends Forum 2015, yang kesebelas dalam siri tahunan, turut juga diadakan, dengan memberi tumpuan kepada penerokaan kaedah untuk menggunakan kuasa gangguan kreatif secara optimum dan beretika dan inovasi terangkum bagi pertumbuhan berterusan. Bersempena dengan forum tersebut, buku peringatan perjalanan 10 tahun “Khazanah Megatrends Forum – Reflections on a Decade” juga dilancarkan. Khazanah juga menyediakan sokongan lanjutan untuk pembentukan dasar kerajaan melalui pelbagai saluran termasuk lembaga pengarah organisasi perkhidmatan awam dalam bidang seperti pengurusan ekonomi, pendidikan, teknologi dan inovasi, dan promosi perdagangan dan eksport.

Khazanah terus meningkatkan usaha mengukuhkan lagi tadbir urus korporat, pengurusan risiko, pembangunan bakat, dan integriti institusi dalaman serta seluruh syarikat pelaburan Khazanah. Sungguhpun usaha-usaha ini merupakan komponen penting yang diperlukan daripada mana-mana organisasi, ia menjadi lebih penting terutamanya dalam persekitaran dan tempoh masa yang dilanda ketidakstabilan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan.

Dalam bidang kewangan Islam, Khazanah terus memberikan sokongan kepada Malaysia sebagai pusat Kewangan Islam dan inovasi kewangan beretika. Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (“SRI”) berjumlah RM100 juta selama tujuh tahun, yang juga Sukuk SRI dalam dominasi-Ringgit yang pertama di dunia, telah berjaya diterbitkan, dengan hasilnya bakal digunakan bagi membiayai Program Sekolah Amanah bawah Yayasan AMIR (“YA”) untuk tahun 2015. YA adalah yayasan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan oleh Khazanah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti di sekolah-sekolah melalui Perkongsian Awam-Swasta dengan Kementerian Pendidikan. Dilancarkan pada 2010, Program Sekolah Amanah telah dilaksanakan di 62 buah sekolah setakat ini, 32 daripadanya adalah pada tahun 2015.

5. Tinjauan bagi 2016

Tahun 2015 merupakan tahun yang mencabar dengan ketidakstabilan dalam negara dan juga negara-negara di dunia, dan keadaan ini dijangka berterusan pada 2016.

Dengan daya tahan keseluruhan, Khazanah berada dalam kedudukan yang baik untuk terus malaksanakan mandat kewangan dan strategik, meneruskan usaha dengan memberi tumpuan kepada penyampaian prestasi kewangan dan strategik jangka panjang, inisiatif pembangunan negara termasuk pengagihan nilai, memperluaskan kesan antarabangsa, serta memperkukuhkan integrasi institusi.

TAMAT


Untuk maklumat lanjut, sila layari www.khazanah.com.my atau hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian +603 2034 0000, atau melalui e-mel di [email protected].

  1. Nilai pasaran bagi semua ekuiti, sekuriti dan wang tunai yang dimiliki. Dalam situasi tiada harga pasaran, suatu anggaran nilai konservatif akan diguna pakai

  2. RAV ditolak Jumlah Liabiliti, dan dilaraskan bagi mengukur nilai yang dicipta

  3. Istilah “pentauliahan” digunakan untuk menandakan bahawa GLIC dan GLC akan terus melaksanakan Tiga Prinsip Dasar Program Transformasi GLC – tumpuan terhadap prestasi, pembinaan negara, dan tadbir urus serta memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.

  4. G20 adalah GLC utama yang terpilih, dikuasai oleh GLIC di bawah Program GLCT dan digunakan sebagai proksi untuk prestasi GLC. Ia kini terdiri daripada 17 GLC (daripada 20 GLC asal) kerana pelbagai penggabungan, pemisahan, pelupusan dan beberapa inisiatif korporat yang lain sepanjang program dilaksanakan.

  5. Sumber: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar

  6. Rujuk siaran media Khazanah, “Khazanah mengumumkan pelaburan domestik tambahan RM 6.77 bilion untuk menyokong langkah ekonomi proaktif Kerajaan”, 14 September 2015.

  7. Satu anggaran nilai diagihkan mengikut negara yang mana syarikat pelaburan mempunyai operasi



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya