Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

19 April 2023

Khazanah terajui usaha bersepadu bagi mempertingkatkan komuniti PPR di Malaysia

Penggabungan inisiatif oleh Khazanah Research Institute, Yayasan Hasanah dan Think City bagi menyampaikan impak kepada komuniti PPR

Konsep perumahan sosial yang dibawakan Program Perumahan Rakyat (“PPR”) telah berkembang daripada idea perumahan awam yang diperkenalkan pada tahun 1970an oleh kerajaan, bertujuan untuk menyelesaikan isu penempatan setinggan berikutan peningkatan penghijrahan dari luar bandar ke bandar.

Walau bagaimanapun, dari tahun ke tahun, PPR telah dianggap sebagai ‘perumahan usang serta tidak berkualiti untuk golongan miskin’ dengan keadaan hidup yang tidak sesuai. Bagi mewujudkan komuniti PPR yang boleh didiami dan peningkatan kesejahteraan menyeluruh, Khazanah Nasional (“Khazanah”) menerajui usaha bersepadu bersama badan-badan gabungannya iaitu Khazanah Research Institute (“KRI”), Yayasan Hasanah (“Hasanah”) dan Think City untuk menangani jurang yang lazim dalam perumahan sosial di Malaysia melalui pencadangan dasar, pemerkasaan komuniti dan inisiatif ‘placemaking’.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Objektif kami di Khazanah ialah penciptaan nilai masyarakat yang berterusan untuk negara, yang memainkan peranan penting dalam strategi Memajukan Malaysia sambil kami mengorak langkah ke hadapan bagi menyampaikan masa depan yang mampan. Bagi mencapai matlamat ini, peminggiran sosial mesti ditangani untuk kita menikmati masa depan yang positif, dan antara yang memerlukan perhatian segera ialah komuniti PPR. Bersama badan-badan gabungan kami, kami komited dalam menyampaikan inisiatif berimpak untuk manfaat rakyat Malaysia dalam komuniti ini.”

“Kami memuji pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim berkenaan peruntukan tambahan RM35 juta untuk program pemerkasaan komuniti untuk komuniti perumahan awam di Selangor dan Kuala Lumpur. Peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 50,000 penduduk melalui program Kita-Untuk-Kita (K2K) yang diterajui oleh Think City.” Kerjasama antara entiti Khazanah yang berkaitan akan mengukuhkan lagi peranannya sebagai dana kekayaan berdaulat yang berupaya menangani isu-isu utama yang memberi kesan kepada rakyat.

Khazanah Research Institute: Kajian Dasar Awam ke atas Program Perumahan Rakyat

KRI menjalankan tinjauan dari 2016 hingga 2017 untuk laporannya, Kesejahteraan Kediaman Golongan Miskin Bandar: Kajian Program Perumahan Rakyat (PPR), diterbitkan pada Mac 2023, dengan penyertaan 3,878 isi rumah daripada lima PPR di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Kajian tersebut mendapati, walaupun kompleks PPR telah berjaya menyediakan tempat perlindungan kepada golongan miskin bandar, kompleks ini pantas menjadi kawasan setinggan bandar. Tambahan pula, sebilangan besar isi rumah, bukan hanya golongan miskin, akan memerlukan perumahan sosial jika kemampuan pemilikan pasaran perumahan diabaikan tanpa pengawasan.

Kajian itu juga menetapkan rangka kerja dasar bagi menjadikan perumahan sosial satu tanggungjawab pengurusan oleh kerajaan, dengan objektif penambahbaikan sosial yang merangkumi penentuan isi rumah melalui kaedah penapisan yang betul dan penyelenggaraan unit perumahan sosial. Laporan itu menyediakan pilihan dasar untuk membolehkan isi rumah beralih daripada penyewaan sosial kepada penyewaan persendirian dan seterusnya memiliki rumah sendiri. Mengikut rangka kerja ini, perumahan sosial diklasifikasikan sebagai perumahan transit dengan laluan formal dan jelas bagi isi rumah yang berkemampuan untuk menyertai sektor pasaran. Laporan penuh boleh didapati dalam talian di www.krinstitute.org.

Pengerusi Khazanah Research Institute, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, “Meskipun penyediaan perumahan sosial PPR oleh kerajaan dianggap sebagai penyelesaian untuk menempatkan golongan miskin dengan keadaan hidup yang lebih baik berbanding penempatan setinggan, tanpa kita sedari inisiatif ini telah menimbulkan masalah baharu iaitu ‘perumahan usang serta tidak berkualiti untuk golongan miskin’ terutama di bangunan berstrata. Ini menimbulkan kesan negatif terhadap kesejahteraan penduduk. Oleh itu, cadangan dasar termasuk tumpuan kepada kualiti perumahan sosial, peranan kerajaan dalam mengekalkan skim perumahan sosial yang mencukupi serta kesan penyediaan perumahan sosial ke atas pasaran perumahan swasta.”

Laporan itu juga menggariskan pelan tindakan yang perlu diambil dalam menangani kelemahan yang menjejaskan program PPR, termasuk kajian semula dasar perumahan sosial dan menangani kekurangan pasaran swasta yang berpanjangan di mana rumah menjadi sangat tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat Malaysia.

Yayasan Hasanah: Pendekatan berasaskan komuniti

Dalam menangani isu kemiskinan dalam kalangan komuniti PPR, pendekatan berasaskan komuniti (“CBA”) Yayasan Hasanah berusaha untuk menangani isu multidimensi dalam komuniti berpendapatan rendah melalui penglibatan pelbagai organisasi untuk mewujudkan impak yang selaras, holistik dan mampan.

Salah satu inisiatif yang memberi impak adalah kerjasama antara Hasanah dan 7 rakan impak sosial di PPR Lembah Subang yang telah menghasilkan peningkatan pendapatan untuk 241 penduduk, latihan dan bimbingan yang memanfaatkan 381 individu, sokongan pemakanan dan kesihatan mental untuk 700 individu, serta pembangunan 17 pemimpin masyarakat.

Pemegang Amanah & Pengarah Urusan di Yayasan Hasanah, Dato’ Shahira Ahmed Bazari berkata, “Teras kepada model CBA Yayasan Hasanah ialah pemahaman bahawa terdapat pelbagai jenis kemiskinan dan puncanya adalah lebih daripada kekurangan pendapatan dan sumber. Ia merangkumi ekonomi, sosial, budaya, peminggiran dan semua ini secara amnya berhubung kait dengan pemahaman yang lemah tentang hak asasi manusia. Usaha berterusan ke arah pembangunan komuniti mengiktiraf bahawa kemiskinan dialami secara berbeza oleh masyarakat dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, usaha kami untuk memperkasakan komuniti dan peningkatan kesejahteraan adalah melalui intervensi pelbagai dimensi yang disasarkan kepada individu, isi rumah serta masyarakat secara menyeluruh.”

Hasanah, melalui rakan kongsi terasnya, Women of Will’s (WoW), bekerjasama dengan pemimpin masyarakat untuk mengenal pasti keperluan semasa dan bekerjasama dengan rakan kongsi lain untuk memenuhinya. Salah satu rakan kongsi tersebut ialah Me.reka, sebuah perusahaan sosial yang menyediakan latihan kemahiran digital dan pekerjaan untuk belia.

Think City: Inisiatif K2K

K2K ialah program menyeluruh yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan komuniti perumahan awam, di mana Think City memanfaatkan kepakaran kolektif rangkaian dan perkongsiannya untuk merekabentuk dan melaksanakan program komprehensif dalam menyelesaikan cabaran sosial, ekonomi dan fizikal.

Think City telah memperluaskan program K2K di seluruh Lembah Klang, dengan matlamat untuk meningkatkan sokongan kepada komuniti perumahan awam dan pengurusan bangunan merangkumi empat bidang kritikal iaitu pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama perumahan awam, penjanaan pendapatan yang lebih baik dan pembaharuan dasar.

Sepanjang dekad yang lalu, Think City telah berusaha untuk menambah baik bandar-bandar di Malaysia merentasi pelbagai kawasan untuk semua penduduk bandar, terutamanya masyarakat yang paling terdedah. Think City telah menjalankan program penyelidikan dan intervensi di sekitar perumahan awam dan komuniti kediaman di Malaysia, bermula dengan perumahan komuniti di George Town, Pulau Pinang dan sejak itu telah mengorak langkah kemajuan dan memperkembangkannya kepada projek perumahan awam di Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, “Selaras dengan Malaysia Madani, K2K menggalakkan tindakan kolektif untuk komuniti perumahan awam yang lebih inklusif, berdaya tahan dan makmur, serta tanggungjawab bersama untuk mencapai hasil yang lebih saksama yang memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat. Di samping usaha untuk melaksanakan inisiatif daya tahan sosial ini, kami berharap dapat membentuk pendekatan yang demokratik dan mampan atas dasar saling percaya bersama komuniti perumahan awam, rangkaian kami dan melalui perkongsian untuk bersama-sama melaksanakan program komprehensif di mana ia diperlukan.”

Inisiatif itu juga akan diperkukuh oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan yang akan melibatkan pelbagai pemegang taruh awam dan swasta bagi mempercepatkan penyelarasan dan pelaksanaan, untuk memanfaatkan komuniti perumahan awam.

Dalam usaha kerjasama lain, Khazanah, Hasanah dan Think City telah memulakan program perolehan produk yang dihasilkan oleh komuniti PPR terpilih, membolehkan komuniti ini memperoleh pendapatan tambahan untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang. Produk tersebut akan diedarkan kepada pemegang taruh dan komuniti yang berkaitan dengan tiga entiti tersebut.

Inisiatif oleh Khazanah dan badan-badan gabungannya dapat memberi momentum dan sokongan selanjutnya terhadap usaha Kerajaan dalam meningkatkan kehidupan komuniti PPR, melalui dasar-dasar yang berkaitan dan program yang dianjurkan bersama bagi menyampaikan faedah sosioekonomi, kebolehhidupan yang lebih baik, keterangkuman, pemerkasaan komuniti dan kesejahteraan komuniti yang dipertingkatkan untuk rakyat.

 

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
1 November 2024

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham Fashion...

Selanjutnya  

28 Oktober 2024

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah �...

Selanjutnya  

19 Oktober 2024

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir...

Selanjutnya  

17 Oktober 2024

SC dan Khazanah Jalin MoU untuk Memangkin Akses MT...

Selanjutnya  

15 Oktober 2024

Khazanah Nasional, melalui Dana Impak, bakal lanca...

Selanjutnya  

30 Julai 2024

Khazanah Nasional selesaikan pengambilalihan MAVCA...

Selanjutnya  

15 Mei 2024

Konsortium diterajui Khazanah dan KWSP umum tawara...

Selanjutnya  

11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya