Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

21 Mac 2023

Khazanah catat keuntungan lebih tinggi pada 2022 meskipun berdepan tahun yang mencabar

Tumpuan terus diberikan kepada strategi Memajukan Malaysia dalam penciptaan nilai dan penyampaian nilai masyarakat ke arah usaha pembangunan negara

 

Sorotan 2022

  • Mencapai keuntungan operasi RM1.6b berbanding RM670j pada Tahun Kewangan (TK) 2021
  • Membuat RM6.6b pelaburan baharu dan RM2.5b pengewangan aset
  • RM500 juta projek Dana Impak dikenal pasti untuk menyampaikan impak sosioekonomi
  • Melaksanakan rancangan penciptaan nilai untuk aset-aset di Malaysia termasuk Farm Fresh, Cenviro dan Celcom-Digi
  • Mencapai Kadar Pulangan Berwajaran Masa (TWRR) 2.2% bagi tempoh 4 tahun untuk Portfolio Pelaburan

 

KUALA LUMPUR, 21 Mac 2023 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan prestasi kewangan 2022, unjuran 2023 dan perkembangan terkini dalam memenuhi mandatnya dalam menyampaikan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia.

2022 merupakan tahun yang mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dengan tekanan inflasi yang meningkat, pengetatan monetari yang agresif dan krisis tenaga berikutan konflik Rusia-Ukraine.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata “Meskipun keadaan pasaran yang mencabar di peringkat global, kami mencapai prestasi yang baik pada tahun penuh pertama pelaksanaan strategi baharu kami. Mandat pembangunan negara kami untuk menyampaikan nilai kemampanan jangka panjang kekal tidak berubah dan kami akan terus mengharungi ketidaktentuan pasaran jangka pendek serta kekal fokus pada matlamat jangka panjang.”

“Terdapat kebimbangan berterusan bahawa persekitaran inflasi dan keadaan pengetatan monetari akan membawa kepada kemelesetan global, diburukkan lagi dengan risiko geopolitik berterusan. Bagaimanapun, pendekatan pelaburan Khazanah yang berdisiplin, yang dipandu oleh Peruntukan Aset Strategik (SAA) jangka panjang kami dan pengurusan portfolio aktif membantu kami mengharungi ketidaktentuan dalam pasaran, di samping pengekalan disiplin dalam usaha penciptaan nilai dan pengewangan kami.”

 

Prestasi Kewangan dan Portfolio

Khazanah mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM1.6b, disumbangkan aktiviti pengewangan dan kemerosotan nilai yang lebih rendah dalam portfolio. Sedikit peningkatan hutang kepada RM49.1b berbanding RM48.5b tahun sebelumnya, manakala Nilai Aset Boleh Direalisasi (“RAV”) berbanding nisbah hutang kekal sihat pada 2.7x dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jangka panjang 3.0x – 4.0 x. Nilai Aset Bersih (NAV) menyaksikan penurunan sebanyak 5% daripada RM86b pada 2021 kepada RM81b pada 2022 disebabkan oleh aliran menurun pasaran global.

Khazanah memberi tumpuan kepada pembinaan pulangan kewangan jangka panjang dan meneruskan pengimbangan semula portfolio ke arah sasaran Peruntukan Aset Strategik dengan pelaburan ke dalam Ekuiti Awam, Ekuiti Swasta dan Aset Nyata. RM6.6b disalurkan untuk pelaburan baharu dan RM2.5b diperoleh daripada pengewangan aset. Kadar Pulangan Berwajaran Masa (“TWRR”) NAV bagi Portfolio Pelaburan mencatatkan 2.2% untuk kitaran TWRR 4 tahun.

Khazanah mengisytiharkan dividen RM500j bagi 2022 kepada Kerajaan Malaysia, dengan RM17.1b dividen kumulatif diisytiharkan sejak 2004.

 

Memajukan Malaysia

2022 merupakan tahun pertama di mana Khazanah telah melaksanakan strategi dan pendekatan yang diberi nafas baharu, berpaksikan tema Memajukan Malaysia, dengan matlamat untuk menyampaikan nilai mampan kepada rakyat Malaysia.

Ini termasuk menjadi pemain korporat yang aktif dalam memacu prestasi terbaik oleh syarikat-syarikat pelaburannya, ‘crowd-in’ pelaburan swasta yang baharu, mengembangkan nilai portfolio secara global merentas pelbagai kelas aset dan memudahkan aliran pengetahuan, rangkaian dan peluang pelaburan ke Malaysia. Kesemuanya dipandu oleh kemampanan dan tadbir urus yang baik untuk memberikan impak sosial dan penciptaan nilai masyarakat yang berterusan dalam usaha membangunkan negara.

Khazanah terus melangkah ke hadapan dalam penciptaan dan perolehan nilai, memangkin pelaburan terpilih dan berjaya melaksanakan rancangan penciptaan nilai untuk asset-aset di Malaysia seperti tawaran awam permulaan (IPO) Farm Fresh Bhd yang berjaya di Bursa Malaysia dan IPO terbesar pada 2022, perkongsian strategik dengan SK ecoplant Korea Selatan untuk mempercepatkan pertumbuhan Cenviro Sdn Bhd sebagai juara pengurusan sisa serantau, dan penggabungan Celcom-Digi yang akan meningkatkan keupayaan untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan yang inovatif dan meningkatkan ketersambungan digital.

Pelaburan dalam Farm Fresh Bhd (“FFB”) bukan sahaja mencipta kekayaan tetapi menyampaikan nutrisi kepada pengguna Malaysia pada harga yang kompetitif. Melalui rangkaian satelit peladangnya, FFB juga telah meningkatkan pendapatan isi rumah, mewujudkan usahawan mikro dan meningkatkan pendapatan peladang tempatan.

Sementara itu, Khazanah percaya Cenviro memainkan peranan penting dalam ekonomi pekeliling dan perkongsian dengan SK ecoplant akan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan dan keupayaan Cenviro melalui penggunaan teknologi dan inovasi yang berdaya saing di peringkat global.

Bagi Dana Impak pula, projek bernilai RM500j telah dikenal pasti merentasi pelbagai bidang impak, yang bertujuan untuk membina daya tahan negara dan peluang pertumbuhan baharu. Bidang utama termasuk agrimakanan dan peningkatan kemahiran digital modal insan serta komitmen dalam menyokong usahawan dan ekosistem modal teroka (VC).

Dalam memacu usaha ke arah mewujudkan masa depan yang mampan, Khazanah melancarkan rangka kerja Kemampanan dan sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), satu pendekatan yang lebih tersusun untuk menyampaikan peralihan yang saksama dan bertanggungjawab bagi portfolio dan syarikatnya. Selaras dengan ini, Khazanah menerbitkan Jangkaan Pemegang Saham dan Kepengurusan Pelaburan serta mengemas kini garis panduan pengundiannya, menggariskan jangkaan dan pendirian mengenai penerimaan ESG di seluruh syarikat pelaburannya untuk mencapai impak yang positif  terhadap alam sekitar dan dalam komuniti ia beroperasi.

 

Menyampaikan Nilai Masyarakat

Di samping menjana pulangan kewangan, Khazanah terus menyampaikan nilai masyarakat dan impak kepada masyarakat Malaysia melalui entiti gabungannya. Yayasan Hasanah, menyediakan geran berjumlah RM54j, diperuntukkan kepada 164 projek dalam bidang impak utama iaitu pendidikan, alam sekitar, pembangunan komuniti, seni & ruang awam dan pelbagai program lain.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) terus menjalankan penyelidikan mengenai isu-isu penting dan mendesak untuk negara dengan 26 penerbitan dikeluarkan pada 2022, di mana penemuan dan cadangan akan digunakan untuk membantu Kerajaan dan pemegang taruh lain yang berkaitan dalam membangunkan dasar untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia. Beberapa cadangan dasar utama KRI, antara lainnya, adalah berkenaan perlindungan sosial, iklim, makanan, digital dan perumahan.

Taman Tugu, inisiatif Khazanah untuk komuniti dan tidak berasaskan keuntungan, berjaya menarik lebih 700,000 pengunjung setakat ini dengan laluan dan ruang rekreasi baharu untuk menampung lebih banyak program kesejahteraan dan komuniti untuk semua peringkat umur.

Di samping itu, pada tahun 2022, Think City (anak syarikat milik penuh Khazanah) sebuah organisasi impak yang menumpukan usaha menjadikan bandar lebih mesra rakyat, berdaya tahan dan sesuai untuk didiami, memainkan peranan pemangkin dalam pemuliharaan warisan budaya Coronation Avenue dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru. Think City juga melaksanakan Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara di bawah naungan Kementerian Kewangan untuk memelihara aset budaya ketara dan tidak ketara yang unik.

 

Menuju Ke Hadapan

Satu lagi tahun yang mencabar dijangka, menjelang pertumbuhan global yang perlahan berikutan peralihan dasar monetari bagi menangani inflasi, dan ketegangan geopolitik yang berterusan. Khazanah akan terus berwaspada dalam aktiviti pelaburannya dengan matlamat untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian.

Di sebalik ketidaktentuan, Khazanah kekal optimistik dalam mengenal pasti peluang pelaburan dalam arah aliran global memuncul (emerging global trends) – perubahan struktur terhadap sistem global multipolar dan cabaran perubahan iklim yang meningkat, peralihan tenaga dan kemampanan. Khazanah kekal komited dalam peranannya sebagai pengurus aktif dan pemegang saham syarikat portfolio di Malaysia bagi menjana prestasi, penciptaan nilai dan nilai pemegang saham jangka panjang. Khazanah juga akan meneruskan usaha untuk membangunkan bidang pertumbuhan baharu dan ekosistem melalui Dana Impak.

Selaras dengan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani, Khazanah melancarkan Program Future Malaysia, sebuah inisiatif di bawah Dana Impak, untuk menyokong ekosistem tempatan merangkumi usahawan, syarikat pemula, dana teroka, dan inisiatif usaha niaga korporat, sumber penting bagi inovasi, pekerjaan dan pelaburan untuk negara. Program ini melibatkan kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa untuk menyokong syarikat Malaysia yang berpertumbuhan tinggi dan inovatif dengan model perniagaan yang mampan, yang dapat menyampaikan impak dan faedah sosioekonomi untuk negara.

Khazanah percaya bahawa ketersediaan bakat adalah penting untuk pembangunan berterusan semua industri, terutamanya industri digital yang berkembang pesat dan menghadapi permintaan tenaga kerja yang meningkat. Khazanah akan melabur, melalui inisiatif Future Skills Malaysia, bagi inisiatif peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dengan matlamat untuk menjana saluran bakat yang mampan dan menyediakan rakyat Malaysia dengan kemahiran berpermintaan tinggi untuk akses kepada pekerjaan berkualiti tinggi, membawa kepada kehidupan yang lebih baik dan mencetus industri berdaya saing yang memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam memelihara warisan negara Malaysia, Khazanah akan menerajui pembentukan Tabung Warisan Negara, sebuah inisiatif perkongsian awam-swasta yang bertujuan untuk memelihara dan memulihara bangunan warisan bersejarah, termasuk pembangunan semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Sri Negara yang akan dilaksanakan dengan kerjasama ThinkCity. Pemulihan bangunan warisan akan dilakukan secara mampan dan inklusif bagi memastikan akses kepada orang ramai. Memandangkan nilai sejarah bangunan warisan yang tinggi, usaha pemeliharaan akan menambah kemeriahan bandar raya Kuala Lumpur dan menghubungkan orang ramai merentasi pelbagai latar belakang melalui perasaan bangga terhadap negara serta perkongsian identiti dan nilai budaya.

“Khazanah akan terus menunaikan mandat kami dan kekal komited untuk Memajukan Malaysia, memacu kejayaan Malaysia di arena global dan terus menumpukan pada inisiatif penciptaan nilai, di samping memastikan pengekalan daya saing dalam keadaan pasaran yang kian berubah. Inisiatif Dana Impak kami akan memberi tumpuan terhadap peningkatan daya saing ekonomi Malaysia dan membina daya tahan negara, melalui usaha sama inovatif dan bidang pertumbuhan baharu. Segala usaha ini, diiring dengan usaha membina kekuatan kewangan, tumpuan kepada kemampanan dan pembangunan pasukan cemerlang akan melengkapkan matlamat kami untuk negara,” Dato’ Amirul Feisal berkata.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya