Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

16 Mac 2023

Khazanah lancar Future Malaysia Programme di bawah Dana Impak untuk merangsang ekosistem pemula tempatan

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan pelancaran Future Malaysia Programme, satu inisiatif di bawah mandat Dana Impak, yang bertujuan untuk menyokong ekosistem pemula (start-up) tempatan merangkumi usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat melalui usaha sama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

Dana Impak adalah komitmen RM6 bilion untuk tempoh 5 tahun dan tonggak utama di bawah strategi Khazanah untuk Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia), untuk pelaburan dalam enam (6) tema bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi negara, iaitu Masyarakat Digital & Hab Teknologi, Kesihatan Berkualiti & Pendidikan untuk Semua, Pekerjaan Baik & Mobiliti Sosial, Jaminan Makanan & Tenaga, Membina Ketahanan Iklim dan Persaingan di Pasaran Global.

Inisiatif Future Malaysia Programme menandakan pencapaian penting bagi Dana Impak dalam meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan dalam membina daya tahan negara, sambil menyampaikan manfaat dan impak sosioekonomi kepada Rakyat. Selaras dengan Belanjawan Malaysia MADANI 2023, Khazanah komited untuk memainkan peranan penting, bersama-sama dengan GLIC yang lain, dalam penyaluran dana modal kepada syarikat-syarikat pemula berpertumbuhan tinggi di Malaysia, bagi mendorong inovasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Kita bermula dengan ekosistem pemula, yang merupakan sumber utama bidang keusahawanan, pekerjaan, inovasi dan pelaburan untuk negara. Pelbagai potensi penyelesaian bagi menangani cabaran-cabaran yang dikenal pasti di bawah tema-tema Dana Impak telah ditemui dari kalangan syarikat peringkat awal, yang memerlukan suntikan modal berisiko pada peringkat yang berbeza sepanjang usaha sama, untuk memperkembangkan inovasi dan perniagaan. Program ini juga bertujuan untuk memacu kerjasama korporat strategik dalam ekosistem modal teroka Malaysia untuk memupuk perkongsian idea dan meningkatkan nilai perniagaan dengan cara yang lebih holistik.”

Future Malaysia Programme ini menyasarkan pelaburan awal kira-kira RM180 juta melalui kerjasama dengan pengurus modal teroka tempatan dan antarabangsa terkemuka serta program usaha sama korporat yang berpusat di Malaysia.

Melalui penumpuan terhadap dua tema Dana Impak iaitu Masyarakat Digital & Hab Teknologi dan Persaingan di Pasaran Global, Future Malaysia Programme dapat memantapkan usaha Khazanah dalam menemukan dan mengasah potensi para usahawan permulaan dan syarikat-syarikat pemula, melalui penyediaan sokongan strategik yang diperlukan untuk berkembang.

Selaras dengan usaha ini, Khazanah dengan sukacita mengumumkan perkongsian dengan dana modal teroka – Gobi Partners, pengurus modal teroka pan-Asia, dan 500 Global, pengurus modal teroka antarabangsa. Kedua-duanya adalah antara pengurus modal teroka paling aktif dengan rekod prestasi pelaburan yang meluas dan kepakaran untuk penciptaan nilai di Malaysia. Jejak antarabangsa dan rangkaian mereka bertindak sebagai penghubung kepada kumpulan dana teroka serantau untuk melabur dalam syarikat Malaysia, dan bagi syarikat pemula Malaysia untuk berkembang di peringkat antarabangsa, dengan jangkaan untuk menjadi juara serantau.

Thomas G. Tsao, Pengasas Bersama Gobi Partners berkata, “Kami sangat teruja untuk menyokong Khazanah dalam menyampaikan mandat Dana Impak untuk negara. Sebagai firma yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dan telah melabur dalam lebih 350 syarikat di seluruh dunia, kami berharap dapat membantu memperkembangkan ekosistem pemula Malaysia dan mencipta nilai masyarakat jangka panjang melalui kerjasama kami.”

Khailee Ng, Rakan Kongsi Urusan 500 Global berkata, “Impak adalah sebahagian daripada DNA modal teroka. Banyak daripada megatrend yang menerima pelaburan 500 Global pada hari ini – rangkuman kewangan, pendigitalan, akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan serta bandar yang mampan, adalah sejajar dengan tema-tem utama Dana Impak. Iklim ekonomi global semasa menunjukkan dengan sangat jelas bahawa masa depan kita memerlukan pembinaan semula, oleh itu menjadi satu penghormatan untuk bekerjasama dengan Khazanah dalam mendorong inovasi, berkhidmat kepada golongan terpinggir, dan meningkatkan ekonomi dan komuniti Malaysia.”

Dari segi kerjasama korporat pula, Khazanah telah menjadi rakan korporat bagi program pemecut teknologi (technology accelerator program) PETRONAS FutureTech 3.0. Program ini sejajar dengan hala tuju Khazanah untuk memupuk kerjasama korporat dan ekosistem pemula yang dipacu teknologi, dengan memupuk kerjasama erat bagi memanfaatkan kepakaran merentas industri, seraya meningkatkan nilai perniagaan.

Khazanah juga menjalin kerjasama dengan Plug and Play, platform inovasi global terkemuka yang menghubungkan syarikat pemula, badan-badan korporat, firma modal teroka, universiti dan agensi kerajaan. Sasaran perkongsian ini adalah untuk menubuhkan program inovasi dan pemecut (accelerator) korporat yang berpangkalan di Malaysia, dengan penglibatan badan-badan korporat utama Malaysia. CelcomDigi Berhad, sekutu utama Axiata Group Berhad, salah satu syarikat portfolio Khazanah, telah menjadi rakan kongsi utama program itu dan akan memacu inisiatif itu melalui Pusat Inovasi CelcomDigi.

“Perkongsian ini akan membuka akses kepada syarikat pemula terkemuka antarabangsa dan tempatan yang berfokuskan perniagaan, di mana badan-badan korporat Malaysia dapat meneroka dan memadankan teknologi dan idea dengan keperluan inovasi mereka, sambil mengurangkan risiko yang berkaitan dengan usaha niaga korporat,” kata Dato’ Amirul Feisal.

“Kami gembira kerana Malaysia menjadi sebahagian daripada ekosistem inovasi global Plug and Play. Bekerjasama dengan Khazanah adalah permulaan yang baik untuk perjalanan kami di negara ini dan kami berharap dapat menyokong syarikat-syarikat Malaysia dalam perjalanan inovasi mereka,” kata Jupe Tan, Rakan Kongsi Urusan Plug and Play APAC.

Sebagai sebahagian daripada Future Malaysia Programme, Khazanah akan terus mengenal pasti pengurus modal teroka dan pemain ekosistem yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti, kepakaran dan cadangan nilai strategik yang saling melengkapi sebagai rakan kongsi yang berpotensi. Bersama rakan kongsinya, Khazanah menyasarkan untuk meningkatkan idea dan perniagaan Malaysia agar berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan penyaluran modal melalui rakan kongsinya serta secara terus ke dalam syarikat dengan model perniagaan mampan yang dapat memberikan impak dan manfaat sosioekonomi kepada Malaysia.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya