Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

30 Julai 2021

Cabaran Impak Inovasi Khazanah berjaya menemui penyelesaian inovatif untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bagi golongan warga emas di Malaysia

Cabaran Impak Inovasi Khazanah (“KIIC”) melabuhkan tirainya dengan selesainya KIIC Pitch Day yang menyaksikan 30 finalis mempersembahkan cadangan perniagaan masing-masing yang tertumpu kepada meningkatkan mutu perkhidmatan bagi golongan warga emas di Malaysia.

KIIC adalah inisiatif Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dengan kerjasama Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (“MaGIC”) serta disokong oleh komuniti usahawan global, Endeavor. Bertemakan ‘Meningkatkan Mutu Perkhidmatan Bagi Warga Emas di Malaysia’, cabaran perniagaan ini menyasarkan untuk memperkenalkan cadangan perniagaan daripada orang ramai untuk meningkatkan bilangan perkhidmatan yang membantu golongan warga emas tempatan untuk melalui usia tua mereka di tempat pilihan masing-masing, pada kadar yang berpatutan. Sebagai sebuah negara, Malaysia sedang menuju ke arah status negara yang kian meningkat usia menjelang tahun 2045, apabila 15% penduduk Malaysia akan berumur 65 tahun dan ke atas.

Penganjuran KIIC Pitch Day merupakan kemuncak cabaran sengit selama 10 minggu yang melalui pelbagai fasa, yang mana para peserta diberi peluang untuk berinteraksi dengan pakar industri dan menjalani temuduga untuk persediaan ke peringkat akhir. Cabaran ini juga telah memberi para peserta maklumat mendalam serta idea bagi memperkukuhkan lagi asas perniagaan serta memperkemaskan lagi plan strategi masing-masing. Semasa KIIC Pitch Day yang telah berlangsung pada 13 dan 16 Julai 2021, para finalis telah membentangkan cadangan perniagaan mereka kepada panel hakim KIIC yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing dan juga anggota pengurusan kanan Khazanah.

Dengan selesainya KIIC Pitch Day, enam finalis telah dipilih untuk menerima geran bernilai RM300,000 setiap satu. Para penerima geran juga berpeluang untuk terus meningkatkan kemampuan masing-masing menerusi Program ScaleUp anjuran Endeavor. Selain itu, lima lagi finalis lain akan menerima RM20,000 serta mendapat akses eksklusif ke Program Pemacu Cabaran Impak Sosial (“SICA”) anjuran MAGIC, sebuah program pemacu yang berteraskan impak dan menumpukan pada Matlamat Pembangunan Mampan (“SDG”) yang direka dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (“UNDP”), bagi terus mempertingkatkan penerimaan pasaran bagi penyelesaian masing-masing.

Berikut adalah senarai pemenang geran dan finalis bagi program pacuan:

KIIC Grant Winners Accelerator Finalists
  • Hire.Seniors
  • Managedcare
  • Meaningfull Life
  • MISZ Home Physiotherapy
  • MY CARE Concierge
  • SmartPeep
  • Firegent iASP
  • IMM Healthcare
  • Nova Engineering Services
  • Robopreneur
  • Teman My Ventures (Teman Malaysia)

Dilancarkan pada 4 Mei 2021, KIIC telah mempelawa perniagaan yang berpusat di Malaysia untuk mengemukakan penyelesaian inovatif dan unik yang dapat memberi impak kepada rakyat Malaysia, serta model perniagaan yang mampan dan penyelesaian yang dapat digunakan di seluruh Malaysia. Daripada penyertaan yang telah diterima dari seluruh negara, 30 finalis disenarai pendek untuk Pitch Day berdasarkan rekod prestasi keusahawanan, model perniagaan dan daya saing, ukuran impak serta strategi pelaksanaan masing-masing.

Profesor Madya Dr Rahimah Ibrahim, Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, merangkap panel hakim untuk KIIC Pitch Day berkata: “Permintaan untuk perkhidmatan warga emas akan terus meningkat apabila kita menjadi negara yang kian meningkat usia. Saya gembira melihat kualiti cadangan yang telah dikemukakan oleh para finalis, dan saya amat menantikan penyelesaian berinovasi yang dapat membantu warga emas untuk meniti usia lanjut mereka secara terhormat dan di tempat tetap pilihan masing-masing, serta membantu meningkatkan keupayaan golongan pengasuh, termasuk menyokong pengasuh yang tidak formal. Saya ingin memuji usaha Khazanah untuk meneroka penyelesaian yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan bagi warga emas di Malaysia.”

Adlin Yusman, Pengarah Urusan, Endeavor Malaysia berkata: “Kami mengalu-alukan para pemenang KIIC yang bakal menyertai Program ScaleUp hyper-adaptive yang dibentuk untuk membimbing golongan usahawan dalam usaha meningkatkan kemampuan perniagaan masing-masing. Menerusi sokongan rangkaian Endeavor yang bakal mereka terima sepanjang tempoh 24 bulan program tersebut, kami akan membantu untuk menggandakan pendapatan syarikat-syarikat ini dan memastikan agar pendekatan strategi pertumbuhan yang jelas akan dapat dicapai, dan seterusnya berpotensi menjadi syarikat-syarikat yang mampu menarik pelaburan.”

Shahin Farouque Jammal Ahmad, Pengarah Eksekutif, Khazanah, merangkap ketua panel hakim KIIC Pitch Day berkata: “Kami dapat saksikan kepelbagaian idea yang sangat baik, serta semangat dan komitmen untuk memberi impak kepada warga emas di Malaysia sepanjang program KIIC. Para peserta yang terlibat membuktikan rakyat Malaysia memiliki semangat keusahawanan dan bakat inovatif. Akhirnya, kami berharap para pemenang KIIC secara kolektif akan terus menyumbang ke arah mempersiapkan warga emas tempatan untuk menghadapi hari tua dengan menyokong pertumbuhan perkhidmatan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan ini pada harga yang berpatutan.”

Untuk maklumat lanjut mengenai KIIC, sila layari www.khazanah.com.my/kiic.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya