Kami merujuk kepada laporan The Edge Financial Daily hari ini yang bertajuk “Khazanah sold 3.45% CIMB stake worth an estimated RM1.7b” serta pengumuman yang telah dibuat kepada Bursa Malaysia semalam mengenai perkara yang sama.
Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) ingin menjelaskan bahawa ia tidak melupuskan saham CIMB Group Holdings Bhd (“CIMB”) seperti yang dilaporkan. Saham-saham tersebut telah dipindah milik menurut perjanjian pemberian pinjaman sekuriti yang dimeterai oleh Khazanah dengan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, Credit Suisse Securities (Europe) Limited dan J.P. Morgan Securities PLC berhubung bon boleh tukar yang diterbitkan baru-baru ini. Bon boleh ditukar tersebut tidak membawa sebarang kesan dilutif ke atas pendapatan sesaham CIMB.
Penerbitan bon boleh tukar merupakan sebahagian daripada aktiviti pembiayaan biasa yang dibuat oleh Khazanah. Sejak tahun 2004, Khazanah telah menerbitkan sejumlah 10 bon boleh tukar.
TAMAT