Khazanah tingkat pegangan saham dalam EDOTCO bagi menyokong pertumbuhan infrastruktur…

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

Pengarah

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah berkuat kuasa pada 12 Januari 2024. Beliau kini merupakan Menteri Kewangan II, jawatan yang disandangnya sejak 11 Disember 2023. Sebelum memegang jawatan tersebut, beliau menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Mac 2021. 

Amir Hamzah mempunyai pengalaman korporat selama lebih daripada 27 tahun. Beliau memulakan kerjayanya dengan berkhidmat selama sedekad di Kumpulan Syarikat Shell. Sepanjang tempoh tersebut, beliau memegang pelbagai jawatan di Malaysia, Singapura dan United Kingdom. Beliau kemudiannya menyertai MISC Berhad pada tahun 2000 dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada Januari 2009. 

Selepas berkhidmat di MISC Berhad, Amir Hamzah menyandang jawatan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad pada Jun 2010. Pada Ogos 2012, beliau menyertai PETRONAS Lubricants International sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif. Pada masa yang sama, beliau turut menyandang jawatan Naib Presiden Pemasaran Hiliran dan kemudiannya Naib Presiden Pelincir bagi Kumpulan PETRONAS. 

Pada Mac 2016, Amir Hamzah menyertai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) untuk menerajui syarikat penerima pelaburannya, Icon Offshore Berhad, sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau kemudiannya menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Themed Attractions Resorts and Hotel Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Khazanah Nasional Berhad. Pada April 2019, beliau sekali lagi memperlihatkan keupayaan merentas pelbagai industri apabila menyandang jawatan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Amir Hamzah turut menyumbang kepada pelbagai organisasi melalui peranan bukan eksekutif. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) serta Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation Berhad dan Sime Darby Oils International Limited. 

Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Pengurusan dengan pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi dari Universiti Syracuse, New York. Beliau turut mengikuti Program Eksekutif Stanford di Universiti Stanford serta Program Petang Kewangan Korporat di London Business School. 

What are you looking for