KUALA LUMPUR, 21 April 2026 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan pemilihan empat wartawan Malaysia sebagai penerima Khazanah Wolfson Press Fellowship 2026 (“KNWPF”), sebuah inisiatif di bawah Program Residensi Khazanah (“KRP”), di mana sebahagian daripada usahanya adalah untuk meningkatkan kemahiran profesional media Malaysia menerusi pendedahan kepada dunia global, penyelidikan dan perkongsian ilmu.
Penerima KNWPF 2026 yang terpilih ialah 1) Iylia Marsya binti Iskandar, Wartawan di New Straits Times 2) James Wong, Wartawan Perniagaan di Borneo Post 3) Muhammed Ahmad Hamdan, Editor di New Straits Times dan 4) Zufazlin Baharuddin, Wartawan Berita Ekonomi, BERNAMA. Setiap peserta akan menjalankan program berdasarkan topik penyelidikan masing-masing.
Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad berkata, “Dalam persekitaran maklumat masa kini, para wartawan merupakan barisan hadapan dalam menangani maklumat yang tidak sahih dan sekali gus meningkatkan standard kewartawanan. Kami mengucapkan tahniah kepada kohort 2026 dan berharap pengalaman ini dapat memperkukuh peranan mereka dalam memupuk wacana awam yang lebih berinformasi.”
“Komuniti alumni Khazanah Wolfson Press Fellowship yang semakin berkembang kini menjadi satu rangkaian aktif yang terus menyumbang kepada profesion melalui perkongsian ilmu dan bimbingan. Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bersama komuniti media di Malaysia.”
KNWPF berlangsung selama sepuluh minggu di Wolfson College, University of Cambridge, United Kingdom, dari 4 Mei 2026 hingga 10 Julai 2026. Program ini menyediakan pembelajaran berstruktur luar dari bilik berita dengan memberi penekanan kepada penyelidikan bebas, penyertaan dalam seminar dan sesi perbincangan, serta melalui pengalaman akademik. Di samping itu, para peserta berpeluang membina hubungan profesional bersama komuniti media dan akademik antarabangsa, sekaligus memperkukuh kemahiran kewartawanan masing-masing.
Dipilih menerusi proses saringan yang ketat, termasuklah penilaian cadangan penyelidikan dan sesi temu duga panel, para peserta sesi 2026 menghimpunkan wartawan yang sedang meningkat naik serta yang berpengalaman. Pemilihan ini mencerminkan gabungan yang dirangka secara teliti bagi menyokong kemunculan suara-suara baharu, di samping memperkukuh ekosistem media secara keseluruhan. Tahun ini juga menandakan kali pertama program ini menghantar empat wartawan dalam satu sesi.
Progam KNWPF dibina untuk menyokong para media yang aktif dalam membangunkan penyelidikan berteraskan cabaran dunia sebenar, selari dengan tuntutan kewartawanan yang sentiasa berkembang. Program ini turut menekankan sumbangan berterusan oleh para peserta dalam berkongsi ilmu, memberi bimbingan, kerjasama industri, dan penglibatan awam seperti KRP Tea Talks serta sesi libat urus universiti bagi memastikan impak program yang memberi manfaat kepada ekosistem media secara keseluruhannya.
Tahun ini, para peserta akan menjalankan penyelidikan relevan dan seiring dengan perubahan landskap, merangkumi bidang seperti pelaporan perniagaan beranalisis, pengetahuan kewangan, penceritaan kemanusiaan dan pemeliharaan budaya.
Khazanah telah bekerjasama dengan Wolfson College, University of Cambridge bagi program ini sejak tahun 2013, dan sehingga kini telah menyokong 33 rakyat Malaysia, terdiri daripada 23 wartawan dan 10 ahli profesional komunikasi korporat. Graduan KRP yang terpilih telah banyak menyumbang kepada kualiti pelaporan media dan komunikasi organisasi di Malaysia.
Sebagai salah satu komponen KRP di bawah strategi “Memajukan Malaysia”, KNWPF terus memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti serta pembinaan komuniti yang dinamik demi manfaat rakyat Malaysia secara amnya.