Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

Khazanah Mencatat Prestasi Berdaya Tahan Pada Tahun 2025 Di Sebalik Ketidaktentuan Global

Share this on

Pulangan kitaran tujuh tahun sebanyak 6.1% mencerminkan pengurusan jangka panjang yang berdisiplin serta penyampaian keutamaan ekonomi nasional 

 Sorotan utama: 

  • Prestasi kewangan berdaya tahan Pulangan kitaran tujuh (7) tahun sebanyak 6.1% dengan pulangan 5.2% bagi Tahun Kewangan 2025, terus mengukuhkan pertumbuhan nilai apabila aset bersih dan jumlah aset masing-masing meningkat kepada RM105 bilion dan RM156 bilion, dengan keuntungan daripada operasi sebanyak RM5.6 bilion. 
  • Pelaksanaan berdisiplin Strategi Pelaburan Malaysia Memperkukuh Kesalinghubungan (“Connectivity”) melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB) dan Dana Warisan; Mentransformasi Firma melalui inisiatif Dana Impak. 
  • Penyampaian berterusan pembangunan kapasiti dan inisiatif komuniti RM330 juta disalurkan pada 2025 bagi pembangunan kapasiti dan komuniti (RM2.7 bilion secara kumulatif sejak 2006); Program K-Youth Khazanah melatih 9,934 belia pada 2025 (lebih 34,000 sejak 2023). 

KUALA LUMPUR, 10 Februari 2026 — Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) pada hari ini telah menerbitkan Khazanah Annual Review 2026 (“KAR 2026”), melaporkan prestasi berdaya tahan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi global yang berterusan. Khazanah menutup tahun dengan aset bersih berjumlah RM105 bilion dan mencatat pulangan 5.2% bagi Tahun Kewangan 2025, disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin serta pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai jangka panjang. Selaras dengan peranannya sebagai pemegang amanah jangka panjang dengan selera risiko strategik yang jelas, Khazanah turut mencatat pulangan kitaran tujuh (7) tahun sebanyak 6.1%. 

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, berkata, “Kami berbesar hati kerana prestasi ini mencerminkan disiplin pelaburan serta pendekatan jangka panjang konsisten dalam mengurus portfolio kami. Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, Khazanah kekal komited untuk menumbuhkan kekayaan jangka panjang negara melalui pulangan terlaras risiko, di samping menjana nilai melangkaui pulangan kewangan menerusi pembangunan kapasiti dan komuniti. Selaras dengan strategi Memajukan Malaysia (“Advancing Malaysia”), kami akan terus menyokong agenda Ekonomi MADANI dalam menaikkan lantai dan siling ekonomi negara.” 

Pertumbuhan berdaya tahan di tengah ketidaktentuan global 

Walaupun pasaran global terus dipengaruhi perang tarif dan risiko geopolitik, Khazanah menggambarkan momentum pertumbuhan Malaysia yang kekal mampan, disokong oleh dasar progresif serta pendirian geopolitik berkecuali negara. Pada tahun 2025, jumlah aset meningkat sebanyak RM5 bilion kepada RM156 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio yang stabil dalam jangka panjang. 

Prestasi kewangan Khazanah didorong terutamanya oleh Portfolio Pelaburan yang kekal menjadi tunjang pulangan. Portfolio Pelaburan berkembang daripada RM81 bilion pada 2018 kepada RM95 bilion setakat akhir 2025, disokong oleh prestasi kukuh ekuiti domestik dan global, pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai serta kepelbagaian merentas portfolio. 

Selain itu, Khazanah merekodkan keuntungan daripada operasi sebanyak RM5.6 bilion dan membayar dividen berjumlah RM2 bilion kepada Kerajaan Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sejak 2004, Khazanah telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM21.1 bilion kepada Kerajaan dengan pulangan pemegang saham terkumpul berjumlah RM93.1 bilion. 

“Sebagai dana kekayaan berdaulat, kami menilai prestasi berdasarkan pandangan jangka panjang dengan pendekatan portfolio, dan bukan berasaskan keuntungan jangka pendek. Pendekatan ini selaras dengan amalan dana kekayaan berdaulat terkemuka di peringkat global yang menekankan pulangan terlaras risiko serta daya tahan merentas kitaran ekonomi,” tambah Amirul Feisal. 

Memajukan Malaysia melalui Pelaksanaan Strategik 

Di bawah tonggak Ketersambungan (“Connectivity”) dalam Strategi Pelaburan Malaysia, Khazanah telah memajukan dua inisiatif strategik utama. Pertama, penyempurnaan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”), dengan usaha transformasi sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kesalinghubungan global dan daya saing negara. Usaha penambahbaikan ini telah menunjukkan hasil yang ketara apabila pergerakan penumpang meningkat 11.2% tahun ke tahun kepada 104.4 juta, disokong oleh 15 syarikat penerbangan baharu yang memulakan perkhidmatan dan operasi ke Malaysia. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut dinamakan sebagai lapangan terbang teratas Asia Pasifik dalam laporan OAG Megahubs 2025, menduduki tempat keempat bersama di peringkat global seta mengekalkan kedudukannya sebagai Megahub syarikat penerbangan tambang rendah (“LCC”) terkemuka dunia. 

Kedua, Dana Warisan, iaitu inisiatif di bawah Warisan Kuala Lumpur (“Warisan KL”), telah mencapai pencapaian pemuliharaan utama termasuk pembukaan semula Seri Negara dan pemuliharaan Blok 1 Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Sejak pembukaan semula pada Disember 2025, kedua-dua tapak tersebut telah menerima lebih 14,500 pengunjung, mencerminkan penglibatan awam yang gigih serta minat yang diperbaharui terhadap sejarah dan warisan negara. Bangunan-bangunan ikonik yang telah di pulih dan diremajakan ini akan terus memperkukuh Kuala Lumpur sebagai hab ekonomi dan budaya yang dinamik, menjana kesan pengganda kepada industri tempatan, memperhebat semangat patriotisme serta memangkin pertumbuhan dalam sektor pelancongan, kesalinghubungan, rekreasi dan industri kreatif. 

Di bawah tonggak Mentransformasikan Firma, Dana Impak terus membuka ruang pertumbuhan baharu dan memperkukuh kompleksiti ekonomi Malaysia. Melalui Jelawang Capital, Dana Nasional “Funds-of-Funds” Malaysia, lima pengurus dana pertamanya telah menyokong lebih 10 syarikat pemula dan memangkinkan lebih RM30 juta modal tambahan. Di bawah Dana Impak, inisiatif transformasi merentas syarikat peringkat pertengahan telah menyokong lebih 40 syarikat bagi mengukuhkan operasi, meningkatkan kesiapsiagaan pelabur serta menambah baik produktiviti. Sejak 2024, Khazanah turut memperkasa tiga syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju Malaysia melalui perkongsian dana strategik, sekali gus membuka laluan pertumbuhan kepada pemain tempatan. Pada masa yang sama, pelaburan Dana Impak dalam Syntiant telah menyaksikan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mengembangkan operasinya ke Pulau Pinang, menggandakan kapasiti pengeluaran serta mewujudkan sekitar 800 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. 

Membina Kapasiti dan Komuniti Mampan 

Selain pulangan kewangan, Khazanah terus menjana nilai sosial melalui pembangunan kapasiti dan inisiatif komuniti. Pada 2025, Khazanah menyalurkan RM330 juta bagi tujuan tersebut, menjadikan jumlah kumulatif melebihi RM2.7 bilion sejak 2006 untuk pembangunan komuniti di seluruh negara. Usaha ini dilaksanakan melalui entiti filantropi khusus termasuk Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute, Taman Tugu dan Think City. 

Program K-Youth Khazanah melatih 9,934 belia (termasuk 76% daripada keluarga B40 dan 79% Bumiputera) dengan kerjasama 18 rakan program. Sejak penubuhannya pada 2023, lebih 34,000 belia telah dilatih dalam bidang pertumbuhan utama seperti inovasi digital dan teknologi, semikonduktor serta penerbangan

2026: Melangkah Ke Hadapan 

Menjelang 2026, prospek Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pelaburan swasta dan pelaburan langsung asing yang giat meskipun pertumbuhan global dijangka sederhana. Sehubungan dengan itu, Khazanah akan terus mempelbagai dan memperkukuh daya tahan portfolio melalui pengurusan kecairan dan risiko yang berhemat, selaras dengan mandat dan selera risiko strategiknya. 

“Dalam menghadapi cabaran global yang berterusan, Khazanah akan mempercepat pelaksanaan inisiatif strategik untuk Memajukan Malaysia dengan mengoptimumkan portfolio jangka panjang serta menyampaikan impak sosioekonomi. Kami akan terus memberi tumpuan kepada keutamaan negara, menjana pulangan mampan, memperkukuh daya tahan portfolio merentas dimensi kecairan dan risiko serta mempelbagaikan pendedahan pelaburan antarabangsa,” tambah Amirul Feisal. 

Recent News

Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

Khazanah Terajui Perintis Sukuk yang Ditokenkan Pertama di Malaysia dengan…

Penipu Menyalahgunakan Nama Khazanah untuk Memperdaya Orang Ramai Sertai Skim…

What are you looking for