Kuala Lumpur, 9 Oktober 2026 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) mengalu-alukan Belanjawan Malaysia MADANI 2027 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini, bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.
Belanjawan ini dibentangkan pada saat penting bagi Malaysia, ketika negara terus mengharungi persekitaran global yang tidak menentu, dipengaruhi ketidakpastian geopolitik, tekanan rantaian bekalan dan harga bahan api yang tinggi susulan konflik berterusan di Asia Barat. Dalam keadaan ini, Belanjawan 2027 terus memperkukuh daya saing jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan meletakkan rakyat sebagai tumpuan utama melalui usaha meringankan beban kos sara hidup, meningkatkan gaji dan memperluas peluang.
Belanjawan ini memberikan penekanan bukan sahaja kepada pertumbuhan, malah pertumbuhan yang berkualiti. Tumpuannya terhadap sektor dan bidang strategik seperti semikonduktor, peralihan tenaga, infrastruktur, pembangunan perusahaan dan bakat mencerminkan komitmen Kerajaan untuk membina ekonomi yang lebih kukuh, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan. Keutamaan ini amat penting untuk memperkukuh asas perindustrian Malaysia, meningkatkan kompleksiti ekonomi dan mewujudkan peluang bernilai lebih tinggi untuk perniagaan dan pekerja.
Pada masa yang sama, Belanjawan ini terus mengekalkan pendekatan yang inklusif. Langkah-langkah yang digariskan mengiktiraf bahawa pembangunan negara mesti memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat, termasuk pekerja, belia, usahawan, syarikat Bumiputera, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta komuniti yang perlu diperkukuh daya tahannya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan iklim. Khazanah mengalu-alukan usaha berterusan Kerajaan untuk meningkatkan bahagian pendapatan buruh dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia serta menyokong penuh peningkatan penanda aras gaji kehidupan wajar bagi pekerja syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada RM3,400 sebulan.
Pelaburan Dana Warisan Khazanah di bawah inisiatif Warisan KL yang lebih luas kekal menjadi keutamaan penting bagi Khazanah, dan kami akan meneruskan inisiatif pemuliharaan yang sedang dilaksanakan di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa.
Kami mengalu-alukan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor dalam usaha bersama untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju Malaysia serta menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia yang berpotensi tinggi. Melalui kerjasama ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Selangor dan Khazanah masing-masing akan memperuntukkan RM50 juta dalam Dana Pelaburan Strategik, menjadikan saiz awal dana ini sebanyak RM150 juta. Penekanan Belanjawan terhadap pembangunan vendor, inovasi dan penerokaan pasaran baharu memperluas peluang pengembangan perniagaan Bumiputera. Bagi menyokong usaha ini, saiz Dana Ciptawan akan ditingkatkan kepada RM250 juta menerusi kerjasama dengan TERAJU untuk menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan Bumiputera dan Malaysia.
Kami turut mengalu-alukan aspirasi Kerajaan dalam peralihan tenaga dan daya tahan iklim menerusi pelaburan TNB dalam grid nasional serta pelaburan UEM Lestra sebanyak RM1 bilion dalam tenaga boleh baharu, yang menyokong usaha mempercepat pelaksanaan agenda keterjaminan bekalan tenaga, kemampuan menanggung kos tenaga dan kemampanan tenaga negara.
Khazanah bersedia menyokong inisiatif Kerajaan dengan terus menggembleng modal dan keupayaan dalam bidang yang memacu keutamaan ekonomi dan pembangunan Malaysia melalui Dana Impak, Jelawang Capital, Dana Ciptawan, Dana Warisan, K-Youth, Bakat MADANI, Yayasan Hasanah serta platform lain yang menyokong pembangunan perusahaan, bakat, inovasi, daya tahan komuniti dan daya saing negara dalam jangka panjang. Kami akan terus bekerjasama dengan GLIC yang lain di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan untuk menggembleng modal dengan lebih berkesan melalui pelaburan berdisiplin, kerjasama pemangkin dan program berpaksikan impak yang membantu membina Malaysia yang lebih berdaya tahan untuk generasi masa kini dan akan datang.
TAMAT
