Dana Impak oleh Khazanah Membina Momentum dengan Pelaburan RM2.6 Bilion…

Dana Impak oleh Khazanah Membina Momentum dengan Pelaburan RM2.6 Bilion Digerakkan untuk Memperkukuh Syarikat Malaysia dan Memangkin Ekosistem Strategik

Share this on

Laporan Dana Impak menyorot sokongan kepada kira-kira 130 syarikat dan lebih 4,200 bakat di Malaysia

Kuala Lumpur, 6 Oktober 2026 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) terus membina momentum menerusi Dana Impak, dengan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion digerakkan untuk menyokong kira-kira 130 syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia serta lebih 4,200 bakat, yang mana 64% daripadanya dalam pekerjaan berkemahiran [1].

Laporan Dana Impak (“Laporan”) yang dilancarkan hari ini turut menggariskan peranan Dana Impak sebagai pemangkin dalam menarik penyertaan modal dan rakan strategik bersama Khazanah, mencerminkan pendekatan seluruh Malaysiadalam menyokong pertumbuhan syarikat dan usahawan Malaysia. Setakat 31 Disember 2025, pelaburan berjumlah RM905 juta yang disalurkan kepada syarikat-syarikat ini telah secara langsung menarik masuk modal luaran berjumlah RM433 juta, bersamaan 48 sen bagi setiap RM1 yang dilaburkan Khazanah.

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah, berkata: “Sebagai pelabur jangka panjang yang bermatlamat jelas, kami menyedari bahawa daya tahan Malaysia semakin bergantung pada kekuatan syarikat tempatan, terutamanya dalam keadaan modal yang semakin selektif dan pasaran global yang semakin kompleks. Kemajuan Dana Impak mencerminkan usaha bersama Kerajaan, pelabur, pengurus dana, rakan industri dan institusi dalam memperkukuh syarikat Malaysia sepanjang kitaran pertumbuhan, meningkatkan daya tarikan pelaburan serta memperluas akses kepada sumber modal yang lebih besar dalam jangka panjang.

“Melangkah ke hadapan, Dana Impak akan terus memperkukuh keupayaan dan membangunkan bakat dalam ekosistem strategik, dan menerusi inisiatif GEAR-uP di bawah Kementerian Kewangan, kami akan terus mengerakkan modal dan menjalin kerjasama bagi menyokong lebih banyak syarikat dan usahawan Malaysia untuk mengembangkan perniagaan, bersaing di peringkat global dan meraih lebih banyak manfaat daripada nilai yang dihasilkan,” tambah Dato’ Feisal.

Dana Impak menggabungkan modal pemangkin dengan pembangunan keupayaan, kerjasama dan rangkaian untuk memperkukuh syarikat Malaysia serta membangunkan ekosistem strategik sebagai pemacu pertumbuhan baharu. Sejak 2024, Dana Impak telah memperincikan tumpuannya kepadai pendekatan programatik  yang merangkumi  tiga bidang tumpuan: ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan (MTC) serta semikonduktor dan pembuatan termaju.

Menerusi Jelawang Capital, Dana Impak memperkukuh ekosistem modal teroka dan syarikat pemula Malaysia dengan peruntukan sehingga RM1 bilion, di samping memperluas akses kepada pembiayaan peringkat awal, memperkukuh kumpulan pengurus dana tempatan serta pengurus dana serantau yang berpengalaman. Jelawang Capital telah menyokong lima pengurus dana Malaysia di bawah Emerging Fund Managers’ Programme (“EMP”) dan memberikan komitmen pelaburan kepada dua pengurus dana di bawah Regional Fund Managers’ Initiative (“RMI”). Secara keseluruhan, inisiatif ini memperluas akses kepada modal, bakat dan peluang antarabangsa, di samping menggalakkan aliran urus niaga rentas sempadan, rangkaian global serta pengetahuan dan kepakaran institusi ke pasaran domestik.

Bagi syarikat peringkat pertengahan, pembangunan keupayaan digandingkan dengan ekuiti persendirian, pembiayaan swasta dan pelaburan langsung untuk memperkukuh keupayaan serta memperluas akses kepada modal pertumbuhan. Program pembangunan keupayaan Dana Impak seperti MTC Growth Innovation Programme (“MGIP”) dan Program ELEVATE terus menyokong syarikat peringkat pertengahan untuk berkembang, berinovasi dan menembusi pasaran baharu. Setakat akhir 2025, Khazanah telah menyokong 48 syarikat peringkat pertengahan Malaysia menerusi program MGIP dan ELEVATE.

Dalam sektor semikonduktor dan pembuatan termaju, pengurus dana khusus dan pelaburan strategik membantu membangunkan keupayaan teknologi, industri dan keupayaan bakat yang  bernilai tinggi di Malaysia. Ini termasuk sokongan Khazanah kepada SkyeChip sejak peringkat awal perkembangannya sehingga Khazanah menjadi pelabur asas utama dalam tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut. Sementara itu,Cambrian Fund, yang merupakan kerjasama antara Khazanah, pengasas bersama ViTrox dan Southern Capital Group, berjaya mengumpul sejumlah RM104.5 juta bagi menyokong generasi baharu usahawan IR4.0 Malaysia.

Laporan ini turut mengetengahkan perkembangan berterusan Khazanah dalam pendekatan pengukuran impak  menerusi rangka kerja Socio-Economic Metrics Assessment Ratings at Khazanah (“SEMARAK”). Dibangunkan pada 2022 dan ditambah baik secara berperingkat, SEMARAK menyediakan pendekatan programatik untuk menilai pelaburan Dana Impak berpandukan tiga tonggak impak utamanya iaitu memangkin ekosistem strategik, mentransformasikan syarikat Malaysia dan membangunkan bakal juara Malaysia masa hadapan, dengan impak dinilai dan dipantau sepanjang kitaran hayat pelaburan seiring dengan prestasi kewangan.

Laporan tersebut turut memaparkan kisah terpilih daripada portfolio Dana Impak yang menggambarkan sokongan Dana Impak kepada  syarikat dan ekosistem Malaysia. Kiddocare mengetengahkan usaha untuk meningkatkan profesionalisme dalam ekonomi penjagaan Malaysia; Jalen memperlihatkan  bagaimana pembangunan keupayaan dapat menyokong  perniagaan Malaysia yang telah lama bertapak untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya; PolicyStreet menunjukkan bagaimana teknologi dapat memperluas akses kepada perlindungan kewangan; Qarbotech menelusuri pengkomersialan hasil penyelidikan universiti di Malaysia; manakala Asia Pacific University mengetengahkan peranan modal dan kerjasama dalam memperkukuh institusi pendidikan tempatan. Sementara itu, Vynn Capital memperlihatkan bagaimana sokongan kepada pengurus dana tempatan dapat memperkukuh ekosistem modal teroka Malaysia.

Melangkah ke hadapan, Khazanah akan terus membangunkan program baharu Dana Impak berpandukan teras impak utamanya, untuk menyokong syarikat, usahawan dan bakat Malaysia yang berpotensi, di samping memperkukuh ekosistem strategik yang diperlukan untuk membina keupayaan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

Laporan ini boleh dimuat turun di danaimpak.khazanah.com.my.

PETIKAN KATA TERPILIH BERKAITAN DANA IMPAK

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad

1. Mengenai tujuan Dana Impak dan keperluan memperkukuh ekosistem perniagaan Malaysia secara menyeluruh.

      “Tiada negara yang harus bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan semata-mata dan sebarang kemajuan memerlukan penglibatan seluruh ekosistem. Bagi kami, ini bermakna tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan bakat dan syarikat Malaysia, dengan memangkin pertumbuhan syarikat-syarikat agar dapat berkembang dan berjaya. Inilah tujuan Dana Impak iaitu untuk memperkukuh keseluruhan ekosistem, daripada syarikat pemula dan syarikat peringkat pertengahan hinggalah syarikat yang lebih besar.”

      2. Mengenai kepentingan skala perniagaan, syarikat pertengahan dan syarikat pemula dalam membangunkan syarikat peneraju Malaysia pada masa hadapan

        “Kami menyedari bahawa untuk membangunkan syarikat peneraju Malaysia, kita memerlukan skala perniagaan yang lebih besar. Syarikat pertengahan memainkan peranan penting kerana, walaupun merangkumi kurang daripada 2% daripada keseluruhan syarikat di negara ini, syarikat tersebut menyumbang kira-kira 40% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menggaji sekitar 16% daripada keseluruhan tenaga kerja.

         “Pada masa yang sama, syarikat pemula dan syarikat pada peringkat awal pembangunan juga penting kerana kita memerlukan inovasi yang berterusan dan idea baharu. Namun, apabila kita meneliti sebab syarikat kita belum berkembang menjadi lebih besar, kita menyedari bahawa perkara ini melibatkan keseluruhan ekosistem. Terdapat jurang yang mungkin tidak dapat ditangani melalui modal semata-mata. Di sinilah Dana Impak memainkan peranan, sama ada melalui intervensi kami sendiri atau dengan menarik modal dan bakat.

         “Inilah teras Dana Impak: menjadi pemangkin kepada ekosistem strategik, mentransformasikan syarikat dan, akhirnya, membangunkan syarikat peneraju Malaysia pada masa hadapan.”  

        3. Mengenai peralihan Dana Impak kepada pendekatan berasaskan program dan sokongannya terhadap syarikat pertengahan

        “Di Dana Impak, kami mengambil pendekatan yang lebih programatik dengan mengenal pasti jurang dalam sesuatu ekosistem dan meneliti cara menanganinya melalui intervensi yang sesuai. Sebagai contoh, bagi syarikat peringkat pertengahan, kami mendapati bahawa isu yang dihadapi tidak semestinya berkaitan dengan akses kepada modal. Banyak syarikat telah mencapai tahap kejayaan tertentu, namun usaha untuk berkembang pada skala yang lebih besar boleh membawa risiko, khususnya apabila perniagaan yang diuruskan oleh keluarga perlu mewujudkan struktur dan sistem pengurusan yang lebih formal seiring dengan pertumbuhannya. Oleh itu, kami memperkenalkan program seperti Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme (MGIP) untuk membina keupayaan dan membantu mengurangkan risiko dalam proses pertumbuhan tersebut.”  

        Kayse Foo, Ketua Dana Impak

        Mengenai cara SEMARAK menghubungkan prinsip impak Dana Impak dengan hasil yang boleh diukur

        “SEMARAK ialah kerangka pengukuran impak yang dibangunkan oleh Dana Impak Khazanah untuk memantau impak kami secara bertanggungjawab, sebelum dan selepas pelaburan dibuat. Pada asasnya, kerangka ini membantu kami menjawab dua soalan: apakah yang menandakan kejayaan dari segi impak, dan bagaimanakah kami mencapainya?

        Kerangka SEMARAK berasaskan tiga prinsip impak: adakah kami mentransformasikan syarikat Malaysia, membangunkan syarikat peneraju Malaysia atau menjadi pemangkin kepada sesuatu ekosistem? Pada peringkat program, kami meneliti keadaan semasa ekosistem, punca utama cabaran yang ingin kami tangani serta sumber dan bentuk sokongan yang diperlukan untuk menanganinya, sama ada modal, bakat atau kerjasama.

        Pada peringkat pelaburan pula, kami memantau hasil seperti modal yang berjaya kami tarik, bakat yang telah kami sokong dan syarikat yang telah menerima manfaat daripada usaha kami.”

        TAMAT

        Berita Terkini

        Khazanah Menyatakan Kemajuan dan Tadbir Urus yang Kukuh pada Mesyuarat…

        Khazanah Menamakan Umar Sharif dan Fauzan Fuad sebagai penerima Program…

        Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

        What are you looking for