Khazanah dan Axiata bakal memperkukuh pemilikan Malaysia dalam platform menara telekomunikasi terbesar negara
KUALA LUMPUR, 23 November 2026 – Susulan pengumuman Axiata Group Berhad (“Axiata”) pada hari ini, Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) mengesahkan rancangan untuk meningkatkan pelaburan dalam EDOTCO Group (“EDOTCO”), sekali gus membentuk perkongsian setara dengan Axiata bagi menyokong fasa pertumbuhan EDOTCO Malaysia seterusnya di bawah pemilikan Malaysia.
Perkongsian ini akan menyatukan pemegang saham Malaysia yang mempunyai komitmen jangka panjang serta mengekalkan penyertaan mereka dalam platform menara telekomunikasi terbesar di Malaysia, di samping meneruskan pelaburan bagi memperkukuh ketersambungan dan daya saing digital negara.
Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad berkata, “Pelaburan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan EDOTCO Malaysia. Khazanah dan Axiata bersama-sama membawa pulang modal ke Malaysia untuk merealisasikan nilai dalam negara, di samping menyokong perkembangan EDOTCO sebagai sebuah syarikat infrastruktur digital Malaysia yang memperkukuh ekosistem digital negara dan menjana nilai jangka panjang yang mampan.”
Cadangan urus niaga Axiata melibatkan penjualan perniagaan terpilih EDOTCO di luar Malaysia. Sebagai sebahagian daripada keseluruhan urus niaga tersebut, Khazanah akan meningkatkan pegangan sahamnya dalam EDOTCO daripada 31.71% kepada kira-kira 47.35%, menyamai pegangan kira-kira 47.35% yang akan dikekalkan oleh Axiata dalam perniagaan EDOTCO yang sebahagian besarnya tertumpu di Malaysia.
Langkah ini memastikan modal disalurkan bagi pembangunan infrastruktur digital Malaysia serta menyokong pertumbuhan jangka panjang EDOTCO Malaysia.
TAMAT
