Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

Memupuk Pembina Negara Melalui Seni: Khazanah Umum Penerima Program Residensi Seni 2025 

Share this on

 Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) telah mengumumkan pemilihan dua bakat seni tempatan sebagai penerima Khazanah Associate Artist Residency Programme (“KAAR”) bagi tahun 2025, sebuah inisiatif transformatif yang memupuk bakat baharu melalui pendedahan global, pembangunan kapasiti dan pertukaran rentas budaya. 

Kini memasuki edisi ketujuh, KAAR merupakan komponen utama di bawah Program Residensi Khazanah (“KRP”). Bertempat di Acme Studios, London, program selama 12 minggu yang bermula September ini akan menempatkan para seniman dalam salah satu ekosistem seni kontemporari paling dinamik di United Kingdom. 

Dipilih daripada sejumlah 47 permohonan oleh empat orang panel juri, penerima KAAR 2025 adalah: 

  • Lee Mok Yee, seorang seniman pelbagai disiplin yang berpangkalan di Kuala Lumpur, terkenal dengan karya yang mengolah objek harian seperti kayu colok dan bahan industri menjadi hasil seni yang mengupas tema identiti, materialiti dan budaya massa. 
  • Amar Shahid bin Salehudin, berasal dari Terengganu, menggabungkan teknik tradisional dengan media eksperimental. Ketika ini, beliau sedang meneroka teknik cetakan Cyanotype di atas kain batik, menggabungkan kraf tradisi Bersama penciptaan imej bagi menghidupkan semula dan memperbaharui tradisi seni visual Asia Tenggara. 

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah berkata, “Tahniah diucapkan kepada kedua-dua penerima. Program residensi ini adalah sebuah platform untuk perkembangan, pertukaran dan pembelajaran, dan juga satu seruan untuk menyumbang kembali. Kami menantikan bagaimana pengalaman ini akan dibawa pulang dan dimanfaatkan untuk mencorakkan masa depan landskap kreatif Malaysia.” 

KAAR, bersama-sama dengan Khazanah Wolfson Press Fellowship (“KWPF”) dan program perintis Khazanah Sustainability Leadership, bertujuan untuk memperkasa bakat tempatan dengan ilmu, kemahiran dan rangkaian yang relevan bagi menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan ekonomi. Inisiatif ini sejajar dengan strategi Advancing Malaysia dan kerangka pelaburan Malaysia iaitu ‘A Nation That Creates’, yang memacu hasil sosioekonomi ke arah memperkasa komuniti, membina kapasiti dan memperkukuh daya tahan negara. 

Dato’ Amirul Feisal menambah, “Pemilihan dua seniman ini bukan sahaja berdasarkan bakat mereka, tetapi juga kerana potensi mereka untuk mencabar kelaziman, mencetus pemikiran baharu dan membawa naratif Malaysia ke pentas dunia. Sama ada dalam bentuk visual, digital atau pelbagai disiplin, karya mereka berupaya mendorong dialog, empati dan perubahan. Menerusi KAAR, kami berbangga dapat menyokong pertumbuhan mereka sebagai seniman, dan yang lebih penting, melabur dalam semangat kreatif yang menjadi cerminan jati diri negara. Di Khazanah, kami percaya bahawa pemerkasaan seni merupakan elemen penting dalam membentuk Malaysia yang lebih inklusif dan dinamik.” 

Sepanjang tempoh residensi di Fire Station Residency anjuran Acme, para seniman akan menyertai sesi bimbingan, bengkel dan kolaborasi bersama rakan seindustri, di samping berinteraksi dengan ekosistem seni yang lebih meluas di London. Tempoh residensi ini juga bertepatan dengan Frieze Week,sebuah acara utama yang memberikan pendedahan penting kepada komuniti seni global. Sekembalinya ke tanah air, kedua-dua penerima akan menyumbang kembali kepada ekosistem seni tempatan melalui aktiviti bimbingan, pameran serta program awam, termasuk sesi Tea Talk dan kolaborasi bersama Galeri Khazanah. 

Alumni KAAR sebelum ini terus memainkan peranan penting dalam memperkaya ekonomi kreatif dan wacana budaya negara. Sejak dilancarkan pada tahun 2017, KAAR telah menyokong seramai 12 seniman Malaysia dan kekal sebagai platform utama dalam memupuk pertumbuhan seni, sekali gus memperkukuh aspirasi Khazanah untuk memajukan Malaysia melalui pembangunan barisan pemimpin kreatif masa hadapan. 

Sebagai sebahagian daripada KRP, bersama KNWPF dan Khazanah Sustainability Leadership Programme, inisiatif-inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda Malaysia dalam bidang terpilih dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian terkini dalam bidang masing-masing. Program-program ini dipilih daripada residensi jangka pendek, fellowship atau kursus yang dikendalikan oleh institusi bertaraf dunia. 

Khazanah telah menyokong seramai 23 pengamal media, 10 pengamal komunikasi korporat dan 12 seniman melalui program KWPF dan KAAR, serta ramai lagi generasi muda Malaysia menerusi inisiatif seperti K-Youth dan 42 Malaysia. Di Khazanah, kami melihat bakat sebagai modal negara. Pelaburan dalam modal insan merupakan asas kepada pembinaan sebuah Malaysia yang mencipta dan terus maju ke hadapan. 

Recent News

Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

Khazanah Terajui Perintis Sukuk yang Ditokenkan Pertama di Malaysia dengan…

Penipu Menyalahgunakan Nama Khazanah untuk Memperdaya Orang Ramai Sertai Skim…

What are you looking for