Kuala Lumpur, 1 Julai 2026 – Khazanah Nasional (“Khazanah”) menghargai syor oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (“PAC”) berhubung Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”), serta usaha berterusan untuk memperkukuh ekosistem lapangan terbang negara.
Syor PAC mengukuhkan lagi objektif utama yang menjadi asas kepada penswastaan MAHB, iaitu memperkukuh sektor penerbangan Malaysia menerusi peningkatan ketersambungan, penambahbaikan pengalaman penumpang serta memperkukuh daya saing lapangan terbang negara.
Sebahagian besar syor tersebut juga selaras dengan langkah-langkah yang telah dilaksanakan atau sedang diperkukuhkan oleh MAHB bersama pihak-pihak berkepentingan berkaitan bagi meningkatkan prestasi operasi, penglibatan pihak berkepentingan, tadbir urus, pemantauan serta kualiti perkhidmatan di seluruh rangkaian lapangan terbang Malaysia.
Khazanah turut menyokong seruan PAC agar kerjasama yang lebih erat diperkukuh di seluruh ekosistem penerbangan. Kejayaan lapangan terbang Malaysia bergantung kepada kerjasama dan penyelarasan yang kukuh antara pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, badan pengawal selia, agensi kerajaan serta pemain industri yang lain. Hanya melalui kerjasama yang mantap, pembangunan lapangan terbang dapat terus memenuhi keperluan operasi, memenuhi jangkaan penumpang serta menyokong aspirasi jangka panjang negara dalam memperkukuh ketersambungan.
Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Objektif penswastaan MAHB adalah untuk mewujudkan ruang bagi transformasi jangka panjang melalui pelaburan yang mampan, kecemerlangan operasi serta penambahbaikan berterusan di seluruh rangkaian lapangan terbang Malaysia. Lapangan terbang yang lebih berdaya saing dan ketersambungan yang lebih kukuh merupakan pemangkin penting kepada perdagangan, pelaburan, pelancongan dan aktiviti perniagaan, sekali gus mengukuhkan daya saing ekonomi Malaysia dalam persekitaran serantau yang semakin kompetitif.
“Usaha transformasi yang sedang dilaksanakan oleh MAHB adalah besar dan perubahan yang berkekalan memerlukan masa. Kami yakin dengan komitmen MAHB untuk memanfaatkan amalan terbaik global serta kepakaran antarabangsa, di samping melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dengan disiplin dan konsisten. Walaupun penambahbaikan terhadap pengalaman penumpang telah mula menunjukkan hasil yang positif, manfaat ekonomi yang lebih menyeluruh hanya dapat direalisasikan menerusi pelaburan yang berterusan, pelaksanaan yang berkesan serta kerjasama erat merentas keseluruhan ekosistem penerbangan.”
MAHB terus beroperasi dalam kerangka tadbir urus dan kawal selia yang telah ditetapkan, dengan pengawasan oleh pihak berkuasa berkaitan serta mekanisme yang jelas bagi memantau prestasi, kualiti perkhidmatan dan pelaksanaan projek-projek modal utama. Sebagai pemegang saham, Khazanah menyokong syor PAC, termasuk yang berkaitan dengan penambahbaikan struktur pelaporan dan kekal komited untuk mengekalkan standard yang tinggi dalam semua aspek, termasuk perolehan, pelaksanaan projek, pemantauan prestasi serta integriti.
Yang utama, lapangan terbang Malaysia kekal sebagai aset strategik negara dengan MAHB terus mengendalikan rangkaian lapangan terbang tersebut. Aspek keselamatan negara, kawalan sempadan dan fungsi-fungsi kedaulatan kekal di bawah bidang kuasa agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Khazanah akan terus bekerjasama rapat dengan MAHB, pihak-pihak pengawal selia, rakan-rakan syarikat penerbangan serta pihak-pihak berkepentingan lain untuk memperkukuh rangkaian lapangan terbang Malaysia, meningkatkan ketersambungan negara dan menjana nilai yang berkekalan demi Malaysia.