Khazanah Menamakan Umar Sharif dan Fauzan Fuad sebagai penerima Program…

Khazanah Menamakan Umar Sharif dan Fauzan Fuad sebagai penerima Program Residensi Seni 2026

Share this on

Edisi ketujuh Khazanah Associate Artist Residency (KAAR) meneruskan pelaburan dalam bakat kreatif Malaysia

Kuala Lumpur, 11 Ogos 2026 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) meneruskan komitmen jangka panjangnya terhadap pembangunan bakat negara menerusi Khazanah Associate Artist Residency (“KAAR”), yang bertujuan memperkukuh keupayaan seniman Malaysia yang sedang meningkat naik dan berada pada pertengahan kerjaya serta peluang untuk memperdalam amalan seni, memperoleh perspektif baharu serta membina hubungan bermakna menerusi pendedahan antarabangsa dan pertukaran silang budaya.

Dua penerima yang dipilih daripada 51 pemohon oleh panel hakim bebas akan memulakan program residensi selama 12 minggu di Acme Studios, London, pada September ini.

Penerima KAAR 2026 ialah:

  • Umar Sharif – Seniman konseptual, pengarkib dan kurator yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Amalan seninya meneroka tema ingatan, identiti dan semiotik objek harian. Berkarya menerusi lukisan, himpunan objek dan instalasi, beliau turut terlibat secara aktif dalam persada seni Malaysia menerusi kerja pengarkiban, kuratorial dan pengurusan projek.
  • Fauzan FuadSeniman visual dan multimedia yang mendapat inspirasi daripada tekstur, rentak dan bahasa visual kehidupan bandar. Berkarya dalam medium lukisan, fotografi, instalasi dan persembahan video, beliau meneroka identiti, ingatan dan pengalaman manusia menerusi pendekatan abstrak.

Sejak diperkenalkan pada 2017 dan kini memasuki edisi ketujuh, KAAR telah menyokong 14 seniman Malaysia daripada pelbagai disiplin dengan menyediakan pendedahan antarabangsa, peluang pembangunan profesional serta hubungan dengan komuniti seni yang lebih luas. Sepanjang program residensi, para seniman akan menyertai sesi bimbingan, bengkel dan kerjasama sesama seniman, di samping berinteraksi dengan salah sebuah komuniti seni kontemporari terkemuka dunia. Program residensi mereka turut berlangsung serentak dengan Frieze Week, sebuah pameran seni tahunan di London, sekali gus memberikan pendedahan berharga kepada salah satu acara seni kontemporari terkemuka dunia.

Ketika menyampaikan ucapan tahniah kepada para penerima, Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata: “Pembangunan bakat Malaysia merupakan bahagian penting dalam peranan Khazanah sebagai pelabur jangka panjang yang bermatlamat. Seni memainkan peranan penting dalam membentuk identiti negara, memperluas perspektif serta menghubungkan Malaysia dengan dunia. Menerusi KAAR, kami melabur dalam individu yang akan membentuk masa hadapan industri kreatif Malaysia dengan memberikan mereka pendedahan, rangkaian dan peluang untuk memperdalam amalan seni masing-masing. Usaha ini melengkapi inisiatif kami yang lebih luas untuk memelihara dan mempromosikan seni Malaysia menerusi Galeri Khazanah, sekali gus menghubungkan pembangunan seniman masa kini dengan pemeliharaan warisan seni Malaysia untuk masa hadapan.”

KAAR memberi tumpuan kepada pembangunan seniman dan amalan seni mereka, manakala Galeri Khazanah menyediakan platform untuk seni Malaysia dipelihara, dipamerkan dan diakses oleh khalayak yang lebih luas, secara digital menerusi https://galeri.khazanah.com.my/ serta secara fizikal di Seri Negara. Kedua-dua inisiatif ini menghubungkan pembangunan bakat dengan usaha berterusan untuk memelihara dan mempromosikan seni Malaysia. Inisiatif tersebut turut menjadi pemangkin kepada pembelajaran, kerjasama dan pemeliharaan budaya, di samping membina hubungan yang lebih mendalam dengan kisah di sebalik setiap karya seni.

Impak KAAR dapat dilihat menerusi perkembangan dan pencapaian berterusan para alumninya. Antara contoh yang ada ialah penerima KAAR 2024, Paul Nickson Atia, yang memenangi Anugerah Juri Bakat Muda Sezaman 2025, serta penerima KAAR 2018, Winnie Cheng, yang karya tempahannya, The Dragon’s Servant, kini dipamerkan di Galeri Khazanah, Seri Negara selepas pembukaannya semula. Karya mereka merupakan antara pelbagai contoh bagaimana idea yang mula dibangunkan sepanjang program residensi terus berkembang selepas program berakhir. Ini mencerminkan nilai jangka panjang pelaburan dalam bakat Malaysia serta sumbangan berterusan alumni KAAR kepada persada seni negara.

Dalam majlis tersebut, alumni KAAR 2024, Paul Nickson Atia dan Sarah Radzi, menyerahkan karya seni mereka, Telling Torun Tanah dan On Borrowed Time, kepada Khazanah. Penghasilan karya-karya tersebut dipengaruhi oleh ilmu, pendedahan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program residensi mereka di Acme. Karya berkenaan akan menjadi sebahagian daripada koleksi seni Khazanah, sekali gus mewujudkan hubungan berkekalan antara pengalaman residensi para seniman, perkembangan berterusan mereka dan usaha Khazanah untuk memelihara seni Malaysia.

Seiring dengan perkembangan dan kematangan komuniti seni Malaysia, yang disokong oleh usaha serta pelaburan berterusan daripada sektor awam, swasta dan filantropi, KAAR bersedia melangkah ke lembaran baharu bagi dekad akan datang. Menjelang peralihan KAAR kepada format baharu pada tahun hadapan, Khazanah merakamkan penghargaan kepada ACME atas kerjasama dan sumbangannya kepada KAAR, serta peranannya dalam membangunkan platform ini sehingga ke tahap yang dicapai hari ini.

Mulai 2027, Khazanah akan terus memperkukuh ekosistem seni dan komited untuk menyumbang kepada kerancakan, kepelbagaian serta pembangunan jangka panjangnya sebagai sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia.

TAMAT

Berita Terkini

Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

Khazanah Terajui Perintis Sukuk yang Ditokenkan Pertama di Malaysia dengan…

Penipu Menyalahgunakan Nama Khazanah untuk Memperdaya Orang Ramai Sertai Skim…

What are you looking for