Bangunan Sultan Abdul Samad yang ikonik dibuka semula kepada orang ramai pada 2 Februari 2026
Kuala Lumpur, 31 Januari 2026 — Dalam satu istiadat bersejarah yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini menandakan pembukaan Blok 1 Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (“BSAS”) yang ikonik, susulan penyiapan kerja-kerja konservasi dan pemuliharaan selama 11 bulan yang dilaksanakan di bawah program Dana Warisan Khazanah, sebuah inisiatif di bawah Warisan Kuala Lumpur (“Warisan KL”).
Pencapaian penting ini turut disaksikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersama beberapa Jemaah Menteri, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin sektor swasta.
Warisan KL, yang diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan April 2025, merupakan keutamaan nasional yang bertujuan menafsir semula dan menghidupkan semula aset warisan ikonik serta identiti sejarah ibu negara. Inisiatif ini menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dan berfungsi sebagai platform penyatuan untuk mempromosikan destinasi kebudayaan, sejarah dan pelancongan, sambil menyokong pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang, selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI.
Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah berkata, “Kami merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan kepada Khazanah untuk melaksanakan pemuliharaan Kompleks BSAS, salah satu mercu tanda paling ikonik di Kuala Lumpur. Projek ini membuktikan nilai kerjasama dan sinergi yang kukuh antara sektor awam dan swasta di bawah payung Warisan KL. Di luar pemuliharaan bangunan, tumpuan kami adalah untuk menghidupkan BSAS sebagai ruang awam yang inklusif, mudah diakses oleh semua, serta menyumbang kepada kemeriahan dan pertumbuhan jangka panjang Kuala Lumpur. Pembukaan semula BSAS yang tepat pada masanya ini turut menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan dijangka menjana limpahan ekonomi yang lebih luas kepada ekonomi tempatan serta merentas sektor pelancongan, peruncitan dan logistik.”
Bangunan ini dahulunya dikenali sebagai Bangunan Sekretariat yang menjadi teras pusat pentadbiran negara, sebelum dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad bagi memperingati Almarhum Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor yang memerintah pada ketika pembinaannya — sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap bandar raya dan sejarah negara.
Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi kepada pelbagai detik penting dalam sejarah negara dan Kuala Lumpur, termasuk penurunan bendera Union Jack dan pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kalinya pada tahun 1957, di kawasan yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.
Bangunan ini juga menyaksikan satu lagi fasa bersejarah susulan pengurniaan taraf bandar raya kepada Kuala Lumpur pada tahun 1972 dan pengisytiharannya sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, setelah mendapat perkenan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk menyerahkan Kuala Lumpur daripada kedaulatan Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan demi semangat kenegaraan.
Blok 1 BSAS menandakan fasa pertama yang telah siap dalam usaha pemuliharaan menyeluruh Kompleks BSAS, dengan kerja-kerja tertumpu kepada pemeliharaan watak bangunan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan Kategori 1, di samping meningkatkan aspek keselamatan, kebolehcapaian dan pengalaman pengunjung. Pengunjung kini boleh menikmati pelbagai penawaran di BSAS, termasuk ruang pameran dan galeri interaktif, pusat maklumat pelawat sehenti, ruang runcit berkonsep pengalaman dan pembuatan kraf, dewan serta venue acara yang boleh disewa, serta penawaran makanan dan minuman termasuk BakeHouse oleh KLCG, The Café oleh Royal Selangor, Courthouse Cafe, Kaw Kaw Malaya dan Gula Camca.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Warisan KL, Khazanah telah diamanahkan untuk memelihara dan menghidupkan semula lapan (8) bangunan bersejarah utama di Malaysia, termasuk Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa, serta Kompleks BSAS yang merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Lama, bekas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya, Pejabat Ukur FMS lama dan Muzium Tekstil Negara. Sebuah jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Seri Negara dan Carcosa dengan Taman Botani Perdana Kuala Lumpur juga akan dibina menjelang akhir tahun ini. Sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan oleh Khazanah bagi membiayai inisiatif ini. Kerja-kerja pemuliharaan ke atas bangunan selebihnya akan disiapkan secara berperingkat dalam tahun-tahun akan datang.
Blok 1 BSAS akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Februari, genap setahun sejak kerja-kerja pemuliharaan dimulakan pada tahun 2025. Galeri akan dibuka kepada pengunjung dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari. Maklumat lanjut mengenai galeri dan harga tiket boleh didapati di laman sesawang www.bsas.com.my. Bagi memperingati pembukaan ini, kemasukan ke Kuala Lumpur City Gallery adalah percuma untuk tempoh satu bulan pertama.