Kuala Lumpur, 22 Ogos 2025 – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) menyambut baik dapatan serta cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (“PAC”) berhubung pelaburan kami sebelum ini dalam FashionValet serta pendekatan kami secara lebih luas terhadap pelaburan modal teroka (“VC”) domestik, selaras dengan mandat dan misi kami dalam Memajukan Malaysia.
Sepanjang sesi bersama PAC, kami telah mengambil peluang untuk menjelaskan strategi VC domestik kami, termasuk sifat pelaburan yang berisiko tinggi seperti FashionValet. Selain itu, kami turut memberikan gambaran menyeluruh mengenai rangka kerja tadbir urus pelaburan kami secara keseluruhan, yang merangkumi pendekatan kelulusan pelbagai peringkat serta semakan risiko dan urus niaga secara bebas.
Khazanah ingin merakamkan penghargaan kepada kesemua ahli PAC atas pengiktirafan terhadap ketegasan proses dalaman kami, yang memastikan keputusan pelaburan dibuat selaras dengan piawaian tadbir urus tertinggi. Seperti yang dinyatakan oleh PAC, strategi perniagaan FashionValet telah terkesan akibat kejutan luaran yang tidak dijangka, khususnya strategi omnichannel, selain daripada pandemik COVID-19 dan perubahan dalam tingkah laku pengguna. Walau bagaimanapun, kami mengakui penilaian PAC serta pengajaran yang diperoleh, termasuk syor untuk mempertingkatkan komunikasi awam mengenai strategi VC Khazanah, sifat berisikonya, serta peranan kami dalam memacu inovasi.
Khazanah kekal komited dalam menyokong ekosistem keusahawanan dan VC negara. Walaupun pelaburan VC secara asasnya berisiko tinggi, ia amat penting bagi merangsang inovasi, memupuk syarikat pemula (“startup”) dan seterusnya mengukuhkan daya saing jangka panjang negara. Memandangkan sifat pelaburan VC yang berisiko, penilaian kejayaan sesuatu program pelaburan VC memerlukan pendekatan berasaskan portfolio, bukan hanya melihat kepada pelaburan secara individu.
Berhubung dengan proses dalaman kami, Khazanah menghargai panduan daripada PAC dan menyambut baik peluang untuk terus menambah baik serta memperkukuh proses yang sedia ada. Antaranya, Khazanah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Portfolio (PMC) setiap bulan bagi meneliti perkara termasuk pengurusan risiko, kemas kini syarikat dalam portfolio, serta ulasan penilaian (“post-mortem”) terhadap semua pelaburan kami, selain mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan (“IC”) secara tetap.
Khazanah akan terus berusaha mengimbangi disiplin kewangan dengan objektif pembangunan negara, berpandukan tadbir urus yang kukuh serta akauntabiliti yang jelas. Pendekatan ini akan memastikan penciptaan nilai jangka panjang yang mampan, di samping memberi sumbangan positif kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.