Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

Khazanah Nasional Menerusi Dana Impak Giat Memperkasakan Syarikat Peringkat Pertengahan 

Share this on

Memacu pertumbuhan Syarikat Peringkat Pertengahan menerusi strategi pembangunan kapasiti termasuk melengkapi sokongan pembiayaan dan ekuiti swasta 

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) menerusi Dana Impak, memperkukuh peranannya dalam menyokong syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) bersandarkan pendekatan dua hala dalam pembangunan kapasiti serta memperluas akses kepada pertumbuhan modal melalui strategi pembiayaan dan ekuiti swasta. Inisiatif menyeluruh ini dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 100 MTC tempatan, selaras dengan aspirasi Dana Impak untuk memangkin pertumbuhan MTC berpotensi tinggi agar lebih berdaya saing, menerusi pengukuhan kebolehan, meluaskan akses kepada modal dan membuka peluang kepada pertumbuhan berlandaskan inovasi, ketika syarikat-syarikat ini mendepani cabaran ekonomi yang kian mencabar dan pantas berubah 

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah berkata, “Melalui Dana Impak, Khazanah berperanan sebagai pemangkin dan penghubung — mengenal pasti jurang pasaran, menyediakan modal bagi bidang yang kurang mendapat perhatian pasaran, melabur dalam bakat tempatan dan berusaha menarik penyertaan pelabur swasta, berdasarkan pendekatan whole-of-nation yang menjadi pemangkin kepada inovasi dan pertumbuhan mampan. Melalui strategi Advancing Malaysia, tumpuan kami untuk memperkasa MTC bukan sahaja memacu daya saing, tetapi juga memperkukuh ketahanan ekonomi negara. Kami mengalu-alukan kerjasama rakan strategik dalam merealisasikan potensi penuh MTC Malaysia.” 

Dato’ Mohammad Faiz Azmi, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berkata, “MTC di Malaysia berperanan sebagai enjin pertumbuhan penting yang memperkukuh pengeluaran industri, mencipta peluang pekerjaan, dan merangsang inovasi, di samping menyumbang 36% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Melalui Pelan Hala Tuju MSME & MTC 5 Tahun (2024–2028), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”) memainkan peranan utama dalam menyokong MTC tempatan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan, kesiapsiagaan pasaran, serta peluang pertumbuhan strategik melalui pasaran modal. Kami menghargai inisiatif Khazanah dan menyokong matlamat jangka panjang SC untuk membangunkan ekosistem pembiayaan pasaran modal yang lebih inklusif dan menyeluruh.” 

Strategi pelaburan Khazanah bagi Dana Impak berpaksikan rangkaian inisiatif pembangunan keupayaan yang bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pertumbuhan, menyokong usaha pengembangan, memperkukuh kesiapsiagaan pelabur dan memacu produktiviti. Antaranya termasuk: 

  • Program Elevate – Khazanah dan SC telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 Oktober 2024 sebagai tanda sokongan terhadap pelan tindakan lima tahun SC iaitu ‘Memacu Akses MSME dan MTC ke Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5-Tahun (2024–2028). Inisiatif ini menyasarkan peningkatan akses pembiayaan pasaran modal bagi MTC Malaysia. Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menyokong program pembangunan kapasiti dengan matlamat untuk meningkatkan produktiviti serta membuka peluang baharu dalam pembiayaan, inovasi dan pertumbuhan perniagaan. Salah satu program iaitu Program Elevate adalah program kepimpinan eksekutif selama empat bulan yang dikendalikan oleh Capital Markets Malaysia (“CMM”) untuk membantu MTC serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengumpul modal. Sebagai sebahagian daripada usaha Khazanah dalam menyokong akses kepada pasaran modal dan memperkukuhkan keupayaan pendanaan, Khazanah dan CMM akan menaja penyertaan MTC ke dalam kohort Elevate sehingga tahun 2027. 
  • MTC Growth Innovation Programme (“MGIP”) – Inisiatif pembangunan keupayaan ini direka secara berstruktur bagi melengkapkan MTC dengan kemahiran strategik untuk meneroka pasaran baharu atau berkembang dalam segmen perniagaan baharu. Sokongan disesuaikan melalui kelas induk menyeluruh, memberi tumpuan kepada keutamaan pelanggan, inovasi dan pengesahsahihan rancangan pertumbuhan. MTC turut menerima bimbingan diagnostik dan kepimpinan eksekutif bagi memperkukuh barisan kepimpinan, memperkemas model perniagaan dan memacu keupayaan inovasi, dengan matlamatnya membentuk kebolehan meneraju dalam sektor masing-masing. 

“Inisiatif pembangunan keupayaan ini dilengkapi strategi pelaburan berbilang pendekatan yang menyalurkan modal pertumbuhan melalui pengurus dana pembiayaan dan ekuiti swasta, menyokong MTC di pelbagai fasa kemajuan berbeza. Khazanah sedar bahawa MTC memerlukan penyelesaian pembiayaan yang fleksibel dan disesuaikan mengikut keperluan mereka, sebagai alternatif kepada pembiayaan ekuiti tradisional,” tambah Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir. 

Khazanah melalui Dana Impak melaksanakan strategi pembiayaan swasta yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan MTC tempatan Malaysia melalui modal pembiayaan tanpa pemilikan ekuiti. Selaras dengan usaha ini, Khazanah menjalin kerjasama dengan Navis Capital Partners, firma pelaburan swasta ASEAN yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dan Granite Asia, firma pelaburan pelbagai aset di Asia, yang menawarkan strategi pembiayaan disesuaikan untuk menyokong pertumbuhan dan pengembangan MTC Malaysia. 

Di bawah strategi ekuiti swasta (“PE”), Khazanah menyasarkan untuk menyokong MTC Malaysia dengan memanfaatkan kepakaran pengurus dana berpengalaman, khususnya dalam memperluas pasaran, memperkukuh operasi dan mempercepatkan penerokan pasaran serantau. Sejajar dengan matlamat ini, Khazanah mengumumkan kerjasama bersama Creador, firma ekuiti swasta tempatan yang beroperasi merentas Asia Selatan dan Asia Tenggara yang memiliki rekod prestasi cemerlang dalam menyokong syarikat pada tahap pertumbuhan dalam mempercepatkan peluasan serantau selain memacu pertumbuhan MTC menerusi keupayaan penciptaan nilai. 

Maklum balas awal daripada peserta MGIP seperti Enda Group (Siti Khadijah), NSW Automation dan Sipro Plastic Industries, sebahagian daripada 16 syarikat yang menyertai program setakat ini, membuktikan bahawa program ini mampu memangkin inovasi di kalangan MTC Malaysia. 

Mohammad Munzir Aminuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group berkata, “Pada masa ini, tidak banyak inisiatif dalam pasaran yang direka khusus untuk MTC. Cabaran unik yang dihadapi MTC berbeza daripada PKS atau perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Inilah yang menarik minat kami untuk menyertai MGIP memandangkan program ini benar-benar memahami keperluan kami dalam mengembangkan perniagaan ke tahap seterusnya.” 

Boo Kiang Ngee, Pengarah Urusan NSW Automation berkata, “MGIP ibarat pencetus perubahan, dengan pengenalan kepada kaedah berkesan bagi penilaian idea dan inovasi untuk meraih kejayaan unggul. Program ini mengubah cara kami mengenal pasti pertumbuhan perniagaan, disokong oleh bimbingan jurulatih berpengalaman yang membawa pemahaman dan perspektif kejayaan dunia sebenar dalam setiap sesi.” 

Afiqah Aida Rahim, Pengarah Sipro Plastic Industries berkata, “MGIP adalah program yang intensif, tetapi amat bermanfaat. Ia memberikan perspektif baru bagi pertumbuhan dan inovasi kepada pasukan kami. Yang paling penting, pasukan kami kini dilengkapi dengan alat berstruktur yang boleh diaplikasikan untuk memacu pengembangan syarikat.” 

Khazanah menjemput MTC yang layak untuk menyertai kohort baharu MGIP yang dijadualkan bermula pada Suku Ketiga 2025. Penyertaan terbuka kepada MTC Malaysia milik persendirian yang meraih hasil tahunan antara RM20 juta/RM50 juta hingga RM500 juta (sektor perkhidmatan/pembuatan); memiliki rekod keuntungan dan mempamerkan daya inovasi yang kukuh. Untuk melihat maklumat lanjut berhubung kriteria penuh dan cara memohon, sila lawati: https://www.khazanah.com.my/our-investments/dana-impak/mid-tier-companies/. 

Menyumbang sekitar 36% KDNK dan menggaji 16% tenaga kerja negara, MTC merupakan pemacu penting bagi pertumbuhan ekonomi negara. Namun, untuk merealisasikan potensi sepenuhnya, MTC masih berdepan cabaran ketara, terutamanya dalam mendapatkan pembiayaan tahap pertumbuhan yang sesuai dan mecapai pengembangan efektif. 

Usaha dan kerjasama strategik ini, yang sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI, merupakan sebahagian daripada komitmen Khazanah untuk memacu MTC Malaysia dengan dana berjumlah RM1.0 bilion di bawah inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025. 

Recent News

Khazanah Nasional hargai syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung MAHB

Khazanah Terajui Perintis Sukuk yang Ditokenkan Pertama di Malaysia dengan…

Penipu Menyalahgunakan Nama Khazanah untuk Memperdaya Orang Ramai Sertai Skim…

What are you looking for