Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Khazanah berkuat kuasa 12 Januari 2024. Amir Hamzah Azizan kini menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan II, berkuatkuasa 11 Disember 2023. Sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan II, beliau telah mengetuai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Mac 2021.
Dengan pengalaman korporat lebih dari 27 tahun, beliau memulakan kerjayanya dengan sepuluh tahun berkhidmat di Kumpulan Shell, di mana beliau memegang pelbagai jawatan di Malaysia, Singapura, dan United Kingdom. Beliau kemudiannya, menyertai MISC Berhad pada tahun 2000, dan menyandang beberapa jawatan kanan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada Januari 2009.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad pada Jun 2010. Pada Ogos 2012, Amir Hamzah menyertai PETRONAS Lubricants International sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, dan pada masa yang sama menyandang jawatan Naib Presiden di bahagian Pemasaran Hiliran (Downstream) dan kemudian sebagai Naib Presiden di bahagian Lubricants bagi Kumpulan PETRONAS.
Pada Mac 2016, beliau menyertai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) untuk memimpin syarikat pelaburannya, Icon Offshore Berhad, sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif. Seterusnya, beliau mengambil alih peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Themed Attractions Resorts and Hotel Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Khazanah Nasional Berhad. Pada April 2019, beliau kemudiannya menyertai Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, membuktikan kebolehan beliau dalam pelbagai industri.
Amir Hamzah juga telah menyumbang kepada pelbagai organisasi dalam kapasiti bukan eksekutif. Amir Hamzah dahulunya berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan bekas pengarah di lembaga Sime Darby Plantation Berhad dan Sime Darby Oils International Limited.
Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan (dengan pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) dari Universiti Syracuse, New York. Beliau juga telah menghadiri Program Eksekutif Stanford di Universiti Stanford dan Corporate Finance Evening Programme di London Business School.