Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya. Pelantikan tersebut telah dilakukan di Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ke-75 pada 23 Jun 2015.
Tan Sri Dr. Mohd Irwan kini adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia. Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula pada 1984 apabila beliau menyertai perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Ekonomi Wilayah, Unit Perancangan Ekonomi (“EPU”) di Jabatan Perdana Menteri. Di EPU, beliau telah menyandang pelbagai jawatan sebelum menyertai Kementerian Kewangan sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, pada 2003. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 24 Ogos 2012.
Tan Sri Dr. Mohd Irwan juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama termasuk Petroliam Nasional Berhad (“Petronas”), Lembaga Tabung Haji, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (“MRT Corp”) dan Bank Negara Malaysia. Beliau juga merupakan Pengerusi Kumpulan Wang Amanah Persaraan (Diperbadankan) (“KWAP”), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cyberview Sdn. Bhd. dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).
Tan Sri Dr. Mohd Irwan berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ijazah sarjana sains dalam Pengurusan dan Polisi berkaitan Tenaga daripada University of Pennsylvania dan ijazah sarjana muda (kepujian) dalam Pengajian Penduduk daripada Universiti Malaya.