Program Residensi Khazanah bertujuan untuk membangunkan bakat muda tempatan dalam bidang terpilih dengan mempersiapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian terkini dalam bidang masing-masing. Program-program dipilih daripada residensi, fellowship atau kursus jangka pendek yang dikendalikan oleh institusi tersohor di seluruh dunia. Selepas selesai kelak, peserta yang terpilih dikehendaki menyumbang kembali dalam pelbagai bentuk dan cara untuk manfaat rakyat Malaysia. ​

Sokongan berterusan Khazanah untuk program residensi ini adalah sejajar dengan tumpuan kami ke arah membina kapasiti dan masyarakat berdaya di kalangan rakyat Malaysia di bawah tunggak strategik kami untuk Memajukan Malaysia. ​

Terdapat tiga program yang ditawarkan bawah inisiatif ini iaitu Residensi Media, Residensi Seni dan Residensi Perkhidmatan Awam. Sehingga Januari 2023, seramai 44 orang bakat tempatan telah menerima manfaat daripada menghadiri program-program residensi ini. Mulai 2023, Residensi Reka Bentuk (yang dijalankan pada 2018 dan 2019) akan digantikan dengan Residensi Kelestarian, sejajar dengan matlamat kemampanan Khazanah dan megatrend global. ​

​ Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti media sosial kami khazanahresidency

    Program Residensi Artis Bersekutu Khazanah Nasional bertujuan untuk mendedahkan para penggiat seni di Malaysia kepada arena seni antarabangsa dan seterusnya mengembangkan pengalaman, hasil karya dan hubungan mereka di seluruh dunia, serta memberi peluang kepada artis tempatan untuk mencuba idea baharu dan menghasilkan karya baharu. Setakat ini, enam orang artis yang menyertai residensi seni ini telah memperoleh pengalaman “sekali seumur hidup” semasa mereka di London dan telah mempamerkan karya mereka di beberapa pameran yang mereka anjurkan.

    Wolfson Press Fellowship menawarkan peluang kepada pengamal media di Malaysia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang kewartawanan serta isu semasa yang sekali gus membolehkan mereka menyumbang ke arah pembangunan negara dengan lebih bermakna. Sejak tahun 2013, Khazanah telah berkerjasama dengan Wolfson College, University of Cambridge, yang mana setiap tahun dua orang wartawan Malaysia dan seorang kakitangan Khazanah atau kakitangan syarikat berkaitan Khazanah ditaja untuk mengikuti program ini. Setakat ini, 20 orang peserta yang ditaja oleh Khazanah telah menerima manfaat daripada program ini.

    Residensi Perkhidmatan Awam Khazanah bertujuan memberi peluang kepada pemimpin muda dalam perkhidmatan awam Malaysia untuk meningkatkan kebolehan kepimpinan mereka dan seterusnya menyumbang kembali secara bermakna kepada kementerian masing-masing. Sejak tahun 2018, Khazanah telah berkerjasama dengan Razak School of Government (RSOG) dalam melaksanakan program selama 3 minggu ini yang dijalankan oleh Australia & New Zealand School of Government (ANZSOG) di New Zealand, Australia dan Singapura. Setakat ini, empat orang penjawat awam daripada beberapa kementerian telah menghadiri program ini.