Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

14 Januari 2015

ULASAN TAHUNAN KHAZANAH KESEBELAS (“KAR2015”)

Kemajuan berterusan Khazanah pada 2014
Portfolio meningkat 9% tahun-ke-tahun kepada RM110.8 bilion; peningkatan RM77.5 bilion atau 3.3 kali ganda sejak 2004

Sorotan:

  • Kemajuan berterusan dicatatkan pada 2014 walaupun berdepan tahun yang mencabar
    • Nilai portfolio (“NWA”) meningkat kepada RM110.8 bilion daripada RM101.5 bilion pada 2013, peningkatan 9.2% berbanding FBM KLCI yang menyusut -2.6%
    • Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) Yang Belum Diaudit berjumlah RM3.21 bilion untuk 2014
    • Sumbangan kukuh daripada Tenaga Nasional Berhad (“TNB”), Alibaba Group, IHH Healthcare Berhad (“IHH”), Telekom Malaysia Berhad (“TM”) dan Axiata Group Berhad (“Axiata”)
  • Penzahiran nilai berterusan dan pengagihan pencapaian menerusi Program Transformasi Khazanah sejak 10 tahun lalu:
    • Nilai Bersih Dilaraskan (“NWA”) menokok sebanyak RM77.5 bilion atau 3.3 kali ganda daripada RM33.3 bilion pada Mei 2004. Ini menunjukkan pertumbuhan tahunan sebanyak 12.0% setahun sepanjang tempoh berkenaan.
    • Sejak Mei 2004 apabila mandat transformasi Khazanah bermula, keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) terkumpul mencecah RM22.3 bilion, dan keseluruhan dividen dan cukai yang dibayar berjumlah RM8.6 bilion. Ini ialah peningkatan masing-masing 4.5 kali ganda dan 12 kali ganda bagi tempoh antara 1994 dan 2003. Selain itu, Dana Pemegang Saham berkembang 4.6 kali ganda kepada RM35.1 bilion antara Mei 2004 hingga Disember 2014.
    • Pemacu utama pencapaian ini, antara lain ialah pengurusan pelaburan yang aktif di bawah mandat baru Khazanah, Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”), penyerantauan (regionalisation), penggabungan dan pengambilalihan, urus niaga penstrukturan dan transformatif, pelaburan dalam Pelaburan Ekonomi Baru (“NEI”)
    • Yayasan Hasanah diwujudkan bagi meningkatkan usaha dan penginstitusian Tanggungjawab Korporat (“CR”) Khazanah menerusi endowmen RM3 bilion yang bertujuan untuk menyediakan sasaran dana tahunan berjumlah kira-kira RM150 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti CR dan Pembangunan Pengetahuan di bawah selian yayasan
  • Khazanah memasuki tahun 2015 dengan unjuran ekonomi mikro yang mencabar pada kedudukan kukuh dengan lindungan Nilai Aset Boleh Tunai (“RAV”) (aset berbanding liabiliti) sebanyak 3.7 kali ganda.

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah Ke-11 (“KAR 2015”) yang mempamerkan kemajuan berterusan dan pencapaian konsisten dalam semua bidang tumpuan di bawah mandat yang diberikan kepadanya, termasuk pencapaian kewangan dan strategik, aktiviti berteraskan kemasyarakatan dan pengagihan serta pembinaan keupayaan dan penginstitusian yang berterusan.

1. Pencapaian Kewangan

Nilai portfolio Khazanah yang diukur oleh Nilai Bersih Dilaraskan (“NWA”) mencecah RM110.8 bilion pada 31 Disember 2014, peningkatan RM9.3 bilion atau 9.2% berbanding RM101.5 bilion yang dicatatkan pada 31 Disember 2013. Sejak Mei 2004 dengan bermulanya penstrukturan di Khazanah, NWA telah meningkat sebanyak RM77.5 bilion atau 233% daripada RM33.3 bilion. Ini bermakna kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (“CAGR”) adalah sebanyak 12.0% setahun sepanjang tempoh kajian. Tahun 2014 adalah tahun mencabar dan berubah-ubah yang menyaksikan NWA Khazanah merekodkan antara RM95 bilion hingga RM116 bilion, dan mengakhiri tahun berkenaan pada paras kelompok tinggi.

Sementara itu, Nilai Aset Boleh Tunai (“RAV”) meningkat RM10.5 bilion atau 7.8% kepada RM145.6 bilion pada 31 Disember 2014, daripada RM135.1 bilion yang dicatatkan pada 31 Disember 2013. Sepanjang tempoh daripada Mei 2004, RAV meningkat RM94.7 bilion atau 186% daripada RM50.9 bilion, untuk CAGR sebanyak 10.4% setahun. RAV yang merangkumi lindungan (aset/liabiliti) berada pada 3.7 kali ganda pada 31 Disember 2014.

NWA Khazanah menokok 9.2% dan mengatasi pencapaian FBM KLCI (-2.6% tahun-ke-tahun) dan MSCI Emerging Markets Index (4.4% tahun-ke-tahun).

Untuk 2014, Khazanah mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) yang Belum Diaudit sebanyak RM3.2 bilion. Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) terkumpul Khazanah semenjak Mei 2004 berjumlah RM22.3 billion.

2. Prestasi Strategik dan Operasi

Pada 2014, Khazanah telah melakukan 12 pelaburan dengan nilai keseluruhan RM7.2 bilion serta enam pelupusan yang mencatatkan keuntungan pelupusan berjumlah RM3.0 bilion. Antara 2004 hingga 2014, Khazanah telah melakukan 121 pelaburan dengan nilai berjumlah RM65.3 bilion dan 67 pelupusan membabitkan nilai berjumlah RM42.8 bilion, dengan keuntungan keseluruhan daripada pelupusan berjumlah RM19.4 bilion.

Tahun 2014 merupakan tahun yang sibuk dan penuh dengan beberapa peristiwa penting yang menyaksikan beberapa syarikat milik Khazanah mencatatkan prestasi operasi yang kukuh. Penyumbang utama kepada peningkatan NWA Khazanah adalah Tenaga Nasional Berhad (“TNB”) yang menyumbang RM4.9 bilion, Tawaran Awam Permulaan (IPO) Alibaba Group (RM3.9 bilion), IHH Healthcare Berhad (RM3.6 bilion) serta sektor telekomunikasi yang merangkumi Telekom Malaysia Berhad (“TM”) dan Axiata Group Berhad (“Axiata”) (RM2.9 bilion).

Kemajuan turut dicatatkan dalam beberapa projek pemangkin di Iskandar Malaysia, khususnya dengan pelancaran Pinewood Iskandar Malaysia Studio. Selain itu, pelaburan Khazanah dalam taman-taman tema – LEGOLAND Malaysia dan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour di Iskandar Malaysia, serta Kidzania Kuala Lumpur – secara keseluruhan mencatatkan 6.6 juta pengunjung sejak pembukaan taman-taman tema ini. Secara keseluruhannya, jumlah pelaburan terkumpul Khazanah di Iskandar Malaysia sejak 2006 adalah berjumlah RM156.4 bilion1. Syarikat-syarikat portfolio utama kami turut melengkapkan beberapa projek nasional penting sepanjang 2014 termasuk antara lain, Jambatan Pulau Pinang Kedua oleh UEM Group Berhad, klia2 oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”), dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (“HSBB”) oleh TM.

Khazanah juga terus menyelia Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) yang kini memasuki tahun kesepuluh dan terakhir pelaksanaannya, dan menyokong beberapa initiatif-initiatif penting nasional di bawah Program Transformasi Kebangsaan.

Secara keseluruhannya, syarikat 2 pelaburan Khazanah di bawah Program Transformasi GLC telah mencatatkan prestasi yang baik dengan Jumlah Pulangan Kepada Pemegang Saham (“TSR”) berkembang sebanyak 12.6% setiap tahun (CAGR) sejak Mei 2004, mengatasi FBM KLCI (11.9%). Secara khususnya, TSR UEM Sunrise meningkat 20.1% setahun, TM sebanyak 19.8% setahun 3, Malaysia Airports Holdings Berhad sebanyak 18.7% setahun, CIMB Group Holding sebanyak 11.3% setahun dan Axiata sebanyak 6.6% setahun4. Program Transformasi GLC selama 10 tahun akan berakhir secara rasmi pada akhir Ogos 2015.

Pencapaian penting turut dicatatkan dalam penstrukturan semula Malaysian Airline System Berhad (“MAS”) dengan pengumuman Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS bagi membina semula syarikat penerbangan nasional dan mengembalikannya ke landasan keuntungan yang mampan. Laporan kemajuan sukuan pertama telah diumumkan pada 28 November 2014 dan kemajuan program ini terus berada pada landasan dan mengikut jadual.

Pengembangan di peringkat serantau dan antarabangsa membabitkan syarikat kami terus maju ke hadapan. Antara sorotan penting termasuk MAHB meningkatkan pegangannya sehingga 100% dalam syarikat Istanbul Sabiha Gokcen International Airport, Turki. Juga pada 2014, Axiata melengkapkan pengambilalihan PT Axis Telekom, Indonesia, manakala UEM Sunrise Berhad berjaya melancarkan projek Aurora Melbourne Central.
Khazanah turut membuat pelaburan ulungnya di Filipina pada 2014 dengan menjadi pelabur utama dalam 8990 Holdings Inc. yang terbabit dalam projek pembangunan perumahan besar-besaran di negara itu dan ini membolehkan Khazanah terbabit dalam pertumbuhan di negara itu.

Sementara itu, keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague memutuskan bahawa M+S Pte Ltd, syarikat pelaburan usaha sama Khazanah dan Temasek Holdings (Pte) Ltd, tidak perlu membayar caj pembangunan membabitkan tiga bidang tanah di Singapura.

3. Perkongsian pulangan dan pengagihan kepada pemegang berkepentingan

Sejak 2004, Khazanah telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM7.4 bilion, termasuk dividen sebanyak RM900 juta yang diumumkan bagi 2014. Di samping itu, Khazanah telah membayar cukai berjumlah RM1.2 bilion sejak 2004. Sebagai perbandingan, dalam sepuluh tahun sejak pembentukan Khazanah pada 1994, Khazanah telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM4.9 bilion, dividen yang diisytiharkan berjumlah RM335 juta, manakala cukai yang dibayar adalah sebanyak RM383 juta.

Khazanah terus meningkatkan dan menginstitusikan usaha Tanggungjawab Korporat (“CR”) melalui penubuhan Yayasan Hasanah, yang memberi tumpuan kepada lima bidang teras: Pendidikan; Pembangunan Komuniti; Alam Sekitar; Seni, Warisan & Budaya; serta Ilmu Pengetahuan. Khazanah telah menyediakan endowmen berjumlah RM3 bilion bagi Yayasan Hasanah, yang mana RM150 juta adalah bagi tujuan pendanaan tahunan yayasan berkenaan.

Lembaga Pengarah Khazanah telah melantik Tan Sri Dato’ Md Nor Yusof sebagai Pengerusi Yayasan Hasanah.

Secara keseluruhan, Khazanah telah membelanjakan RM468 juta bagi inisiatif CR, termasuk Yayasan Hasanah, sejak 2006. Jumlah ini termasuk RM10 juta yang dibelanjakan pada 2014 bagi inisiatif persiapan menghadapi bencana. Bagi tahun ini, Khazanah telah memperuntukkan RM20 juta untuk usaha bantuan mangsa banjir dan persiapan menghadapi bencana.

4. Kemampanan dan Penginstitusian

Khazanah akan meneruskan usaha meningkatkan kemampuan dan penginstitusian bagi tujuan membina dan mengagihkan nilai, serta menyediakan sokongan kepada agenda pembangunan negara yang lebih meluas. Ini termasuk sokongan berterusan kepada pembentukan dasar kerajaan dan pengukuhan perhubungan merentasi rangkaian pengetahuan global. Antara inisiatif utama yang dilaksanakan pada 2014 ialah penganjuran Forum Khazanah Megatrends tahunan yang memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan melalui institusi, inovasi dan keterangkuman; Syarahan Global Khazanah tahunan yang memaparkan Datuk Bandar London, Boris Johnson; serta penerbitan laporan “The State of Households” oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang menganalisis kedudukan dan pendapatan isi rumah, tenaga kerja di Malaysia, dan perdagangan yang berkaitan serta dasar pelaburan.

5. Tinjauan 2015

Tahun 2014 merupakan tahun yang mencabar. Meskipun demikian, Khazanah telah berjaya mencatatkan prestasi stabil dan konsisten. Tahun 2015 pula akan menyaksikan Khazanah meneruskan usaha untuk membina kemajuan yang mampan dengan memasuki 2015 daripada kedudukan agak kukuh walaupun berdepan prospek persekitaran yang dijangka mencabar.

Tahun ini juga akan menyaksikan beberapa peristiwa penting yang akan memberi kesan kepada Khazanah, iaitu berakhirnya Program Transformasi GLC, pelancaran Rancangan Malaysia ke-11, dan pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (“ASEAN”).

Secara keseluruhan, Khazanah akan kekal pada landasan dengan tumpuan tambahan kepada implementasi mampan dan berterusan strategi pelaburan, penginstitusian serta fokus kepada inovasi dan keterangkuman.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.khazanah.com.my atau hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian +603 2034 0000, atau melalui e-mel di [email protected].

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk menguruskan aset-aset komersial milik Kerajaan dan melaksanakan pelaburan-pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, riadah & pelancongan, hartanah kreatif & media, pendidikan dan inovasi & teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.Untuk maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila layari www.khazanah.com.my.

 


  1. Sumber: Iskandar Regional Development Authority (“IRDA”)
  2. Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, CIMB Group Berhad, UEM Group Berhad, Axiata Group Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, and Malaysian Airline System Berha
  3. Berdasarkan harga rujukan penyahgabungan
  4. Berdasarkan harga rujukan penyahgabungan

 



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya