Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

4 Mac 2021

Ulasan Tahunan Khazanah 2021

Khazanah mencatatkan keuntungan hampir RM3 bilion pada tahun 2020 yang mencabar

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) mencatatkan prestasi keseluruhan yang stabil pada tahun 2020 walaupun terpaksa berhadapan dengan pasaran kewangan global yang tidak menentu serta persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan akibat pandemik COVID-19.

Pengimbangan semula portfolio yang giat diusahakan telah menyumbang kepada peningkatan pada hasil pelupusan serta aliran dividen daripada pelaburannya. Khazanah turut melaksanakan pelaburan secara berhemah selari dengan mandat baharunya serta mengambil kesempatan daripada persekitaran yang tidak menentu untuk meneroka peluang baharu di pasaran global.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata: “Prestasi kami pada tahun 2020 dicapai berlatarbelakangkan suasana ekonomi yang mencabar serta impak pandemik COVID-19, yang belum pernah dilalui sebelum ini, pada operasi. Sungguhpun demikian, usaha yang kami mulakan beberapa tahun lepas telah banyak membantu kami untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi. Kami juga telah mengenal pasti beberapa peluang pelaburan yang baik ketika berada dalam tempoh pandemik ini serta ketidakstabilan pasaran akibat daripadanya. Khazanah terus mempelbagaikan portfolio globalnya sambil kami membina nilai mampan untuk Malaysia, selari dengan mandat jangka panjang kami.”

1. Prestasi Kewangan

Keuntungan daripada operasi yang dicatatkan oleh Khazanah susut kepada RM2.9 bilion pada tahun 2020 berbanding RM7.4 bilion pada tahun 2019. Sungguhpun pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburannya meningkat kepada RM5.2 bilion daripada RM3.8 bilion, Khazanah meraih hasil pelupusan yang lebih rendah pada tahun 2020 iaitu RM2.7 bilion berbanding RM9.9 bilion pada tahun 2019.

Kesan daripada pandemik COVID-19 turut menyaksikan peruntukan bagi rosot nilai meningkat kepada RM6.0 bilion, terutamanya bagi aset penerbangan dan perhotelan miliknya, berbanding RM4.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tahun 2020, Khazanah mengisytiharkan dividen RM2.0 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

Kedudukan kewangan Khazanah kekal kukuh dengan jumlah hutang dikurangkan sebanyak 6% kepada RM43.1 bilion daripada RM45.8 bilion pada tahun 2019, sementara Lindungan Nilai Aset Boleh Tunai susut[1] sedikit kepada 2.9 kali ganda berbanding 3.0 kali ganda.

2. Dana Komersial

Dana Komersial menjana kadar pulangan berwajaran masa (“TWRR”) untuk tempoh dua tahun sebanyak 1.5% berbanding pulangan jangka panjang Indeks Harga Pengguna Malaysia (“CPI”) + 3% atas asas lima tahun.  Nilai Aset Boleh Tunai (“RAV”) Dana Komersial berada pada RM95.3 bilion pada akhir tahun 2020.

Dana Komersial, yang tertumpu pada pelaburan untuk memelihara dan mengembangkan nilai aset dalam jangka panjang, mencatatkan kemajuan ketara dari segi kepelbagaian portfolio, selari dengan usaha pengimbangan semula portfolio yang dimulakan dua tahun lepas. Pada tahun 2020, Khazanah mencatatkan kemajuan dalam beberapa kelas aset, hasil daripada pengimbangan semula aset PIPE (“Pelaburan Swasta dalam Ekuiti Awam”), penyaluran dana tambahan dalam Ekuiti Awam di Pasaran Maju serta memanfaatkan ketidatentuan dalam Pasaran Baru Muncul, sambil meneruskan pelaksanaan program pelaburan dalam Pasaran Swasta.

3. Dana Strategik

Dana Strategik mencatatkan keuntungan 0.3%[2] pada tahun 2020, berbanding kadar pulangan yang disasarkan daripada hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (“MGS”) untuk tempoh 10 tahun atas asas lima tahun. Nilai Aset Boleh Tunai (“RAV”) untuk portfolio Dana Strategik berada pada RM27.9 bilion pada 31 Disember 2020, menurun kira-kira 15% berbanding RM32.9 bilion pada tahun 2019. Nilai portfolio berkenaan menerima kesan akibat kejatuhan nilai pasaran aset tersenarai utama dan peruntukan yang dibuat atas rosot nilai bagi aset berkaitan penerbangan dan perhotelan.

Bagi Dana Strategik pula, Khazanah mengharungi tahun 2020 yang mencabar dengan menumpukan usaha pada sesi libat urus dengan  pihak pengawal selia bagi menangani persekitaran operasi mencabar bagi syarikat-syarikat pelaburannya, penyusunan semula penyata imbang bagi aset terpilih untuk memelihara nilai, memperkukuhkan barisan kepemimpinan syarikat operasi, serta pemantauan dan penilaian berterusan bagi kesan pandemik COVID-19 atas syarikat-syarikat pelaburanya.

4.Kesan dan Tindak Balas berkaitan COVID-19

Peristiwa yang dilalui pada tahun 2020 tidak pernah dialami sebelum ini. Banyak organisasi terpaksa beralih arah dengan cepat dan mengambil langkah radikal untuk mengurangkan kesan pandemik. Krisis ini telah mempercepat rancangan transformasi digital Khazanah yang menyokong pengenalan “Bekerja Daripada Rumah” untuk semua kakitangannya serta meningkatkan kemampuan digital di seluruh organisasi.

Khazanah telah menyumbang RM20 juta untuk menyokong usaha bantuan menerusi Rangkaian Tindakan Bencana GLC/ GLIC (“GDRN”), yang menyelaraskan bantuan kepada Kementerian Kesihatan untuk pembelian bekalan perubatan serta pelbagai bantuan kemanusiaan lain sebagai respons bagi menghadapi pandemik ini. GDRN dikendalikan oleh sekretariat bersama yang diterajui oleh Yayasan Hasanah, yang merupakan yayasan milik Khazanah, dan Telekom Malaysia Berhad.

Langkah-langkah yang terpaksa diambil untuk mengekang penyebaran COVID-19 telah mengakibatkan sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan menerima kesan paling ketara. Syarikat pelaburan kami seperti Malaysia Airlines (“MAB”), Malaysia Airports Holdings (“MAHB”) dan Themed Attractions Resorts & Hotels (“TAR&H”) tidak terlepas daripada menerima kesan akibat pandemik ini. Khazanah terpaksa memperuntukkan rosot nilai bagi beberapa aset miliknya, iaitu RM3.1 bilion untuk syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Berhad (“MAGB”), dan RM1.8 bilion untuk TAR&H, bagi megurangkan impak akibat pandemik ini.

5. Malaysia Airlines

Sebagai pemegang saham tunggal MAGB, Khazanah terus memberikan sokongan penuh dan bekerjasama erat dalam usaha untuk memastikan kelangsungan syarikat penerbangan tersebut pasca pandemik kelak. Pada 22 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Keadilan England dan Wales telah meluluskan Skim Pengaturan antara entiti penyewaan MAGB, MAB Leasing Limited, dengan majoriti pemberi pajak operasi pesawat MAGB, setelah menerima sokongan sebulat suara daripada pihak pemberi pajak berkenaan. Ini merupakan komponen penting bagi usaha penyusunan semula yang lebih luas untuk mencapai pengurangan liabiliti MAGB yang kini berjumlah lebih RM15 bilion.

MAGB seterusnya akan menumpukan usaha untuk bekerjasama dengan Kerajaan dan pemegang berkepentingan lain untuk memulakan semula aktiviti perjalanan udara dan merangsang pemulihan industri berkenaan, selain menguruskan simpanan tunai dan menguasai permintaan yang dijangka bakal pulih, yang merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula dalamannya.

6. Tinjauan untuk 2021

Meninjau ke hadapan, Shahril berkata: “Tahun 2021 akan terus menjadi tempoh yang mencabar. Meskipun Program Imunisasi COVID-19 Nasional telah bermula, proses vaksinasi di Malaysia dan di seluruh dunia akan memakan masa. Kita akan dapat menyaksikan kemajuan ke arah pemulihan dan kembali seperti sediakala apabila dunia berjaya mengawal keadaan dengan lebih baik dan kesan daripada pelbagai inisiatif kesihatan awam dan pemulihan ekonomi terus meningkat. Dalam sektor utama seperti penerbangan dan pelancongan, kami tidak menjangkakan pemulihan sepenuhnya berlaku sebelum tahun 2023.”

“Dalam memastikan kami terus berhemah dan berwaspada dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini, kami telah mengenal pasti lima Keutamaan Strategik untuk tahun yang mendatang. Keutamaan ini merangkumi meningkatkan pulangan komersial, menyampaikan nilai yang memberi kesan ketara melalui pelaburan strategik, menjadi organisasi yang bertanggungjawab dengan menyematkan pertimbangan ESG dalam semua aktiviti pelaburan, membina asas digital dan teknologi yang kukuh, dan akhir sekali, melabur dalam warga kerja bagi melahirkan budaya prestasi dan kerjasama yang tinggi.”

“Sedang kami terus mengembangkan portfolio aset global kami untuk mengelak daripada kebergantungan pada sumber pendapatan domestik, kami berharap Malaysia secara keseluruhannya akan bergerak ke arah percambahan ekonominya serta meningkatkan usaha ke arah memudahkan pembukaan perniagaan, termasuk usaha penyahseliaan yang berterusan. Ini akan mewujudkan ekonomi negara lebih berdaya tahan dan pelbagai yang seterusnya akan dapat membantu negara berhadapan kejutan negatif pada masa depan. Sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah akan terus menumpukan usaha pada pelaburan yang akan menghasilkan nilai mampan bagi semua rakyat Malaysia.”

TAMAT

 


[1] Nilai Aset Boleh Tunai berbanding Jumlah Hutang

[2] Untung Bersih Agregat/ Aset Ketara Bersih tidak termasuk Malaysia Airlines

 



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya