Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

2 Jun 2015

Laporan Kemajuan Sukuan Ketiga Pelan Pemulihan MAS (1 Mac 2015 – 31 Mei 2015)

Setelah sembilan bulan, kemajuan ketara dicapai; penyusunan semula MAS kini memasuki fasa kritikal

  • Pelaksanaan 12 bidang tumpuan utama di bawah Pelan Pemulihan MAS (“MRP”) berjalan lancar dan berada di landasan yang betul dan mengikut jadual selepas sembilan bulan dilancarkan

  • Pencapaian serta kemajuan penting yang dicapai pada sukuan sebelumnya:

    • Christoph Mueller dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (“CEO”) Malaysian Airline System Berhad (“MAS”) pada 1 Mei 2015 dalam proses peralihan kepimpinan yang dipercepatkan

    • Usaha penyesuaian jumlah tenaga kerja dengan keperluan syarikat telah dimulakan setelah proses pemilihan bakat yang teliti, sistematik dan terperinci dilaksanakan:

      • Sejumlah 14,000 orang kakitangan MAS ditawarkan pekerjaan di syarikat baru (“NewCo”), Malaysia Airlines Berhad (“MAB”). Majoriti ditawarkan pekerjaan sepenuh masa sementara selebihnya ditawarkan kontrak pekerjaan untuk beberapa tempoh tertentu

      • Para pekerja yang bakal meninggalkan MAS menjelang 31 Ogos 2015 akan menerima pakej pemberhentian yang merangkumi pampasan kewangan berdasarkan formula yang termaktub di bawah Perjanjian Kolektif di MAS serta latihan dan penempatan semula yang diberi secara percuma di Pusat Pembangunan Korporat (“CDC”), yang telah mengenal pasti kira-kira 12,000 peluang pekerjaan

      • Bayaran pampasan serta manfaat yang disediakan untuk para pekerja yang bakal menyertai NewCo serta mereka yang akan meninggalkan MAS berjumlah kira-kira RM1.5 bilion

    • Proses rasionalisasi laluan penerbangan kini sedang dijalankan di MAS dengan penggantungan beberapa laluan yang tidak menguntungkan. Pada masa hadapan, syarikat penerbangan negara ini akan terus mengutamakan faktor pulangan komersial di samping menyokong matlamat pembangunan negara, menyediakan jalinan meluas menerusi perkongsian serta menawarkan produk premium baharu

    • Pihak media tempatan dan antarabangsa diberi taklimat oleh Mueller pada 1 Jun 2015

    • Sejajar dengan Akta Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2015 (“Akta MAS”), Pentadbir bagi Akta MAS telah dilantik pada 25 Mei 2015

    • Sejumlah RM6 bilion telah diikrarkan dalam bentuk pendanaan pelaburan bersyarat bagi MAS dan NewCo, diagihkan secara berperingkat dan tertakluk kepada pra-syarat yang ditetapkan dipenuhi terdahulu

    • MAB dan Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd (“BAC”) telah memeterai perjanjian katering baharu pada 10 Mei 2015 berdasarkan piawaian dan amalan industri peringkat antarabangsa

    • Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 telah diluluskan di Parlimen pada April 2015

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) pada hari ini telah menerbitkan laporan kemajuan penstrukturan semula MAS yang ketiga bagi tempoh 1 Mac 2015 hingga 31 Mei 2015, yang menunjukkan kemajuan mapan dan berterusan dalam semua 12 bidang tumpuan utama di bawah Pelan Pemulihan MAS (“MRP”) yang telah diumumkan pada 29 Ogos tahun lepas. Laporan kemajuan MRP yang pertama telah diterbitkan pada 28 November 2014 sementara Laporan yang kedua pula telah diterbitkan pada 2 Mac 2015.

Rangkuman enam bulan pertama sepintas lalu

Dalam tempoh enam bulan pertama, kemajuan ketara telah dicapai dalam empat daripada 12 bidang tumpuan utama di bawah MRP iaitu Tadbir dan Rangka Kerja Kewangan, Model Operasi Perniagaan, Kepimpinan dan Modal Insan, serta Pengawalseliaan dan Persekitaran Pemboleh.

Seperti yang telah dinyatakan dalam laporan kemajuan sukuan pertama MRP, beberapa sasaran utama telah berjaya dicapai dalam tempoh tiga bulan pertama penyusunan semula tersebut dilaksanakan termasuk memperoleh kelulusan bagi cadangan pelaksanaan pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih (“SCR”) oleh pemegang saham minoriti MAS; pemerbadanan sebuah syarikat baru (“NewCo”), Malaysia Airlines Berhad (“MAB”); serta kelulusan Rang Undang-Undang Akta Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2015 di parlimen.

Dalam laporan kemajuan sukuan kedua MRP pula, beberapa kemajuan ketara lain telah dicatatkan dalam tempoh tiga bula seterusnya termasuk penyaluran RM1.38 bilion dalam bentuk dana pelaburan secara bersyarat bagi tujuan pembayaran kepada para pemegang saham berikutan selesainya SCR; penyahsenaraian MAS; serta penguatkuasaan Akta MAS pada 20 Februari 2015 setelah diluluskan di parlimen pada tahun lepas.

Selain itu, pengumuman pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (“CEO”) Aer Lingus, Christoph Mueller sebagai CEO baru NewCo pada 5 Disember 2014 merupakan satu lagi perkembangan penting. Mueller juga telah dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS, bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly, pada 1 Januari 2015. Mueller, seterusnya, telah dilantik sebagai CEO dan Pengarah Urusan MAS pada 1 Mei 2015 dan akan menerajui NewCo selaku CEO apabila syarikat tersebut beroperasi pada 1September 2015.

Pada 27 Februari 2015, MAS dan Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd (“BAC”) telah memeterai perjanjian penyelesaian untuk tempoh interim bermula 1 Oktober 2014 hingga 31 Mac 2015. Perjanjian tersebut menyaksikan pengurangan 25% atas bil bulanan yang dikenakan kepada MAS serta penyelesaian pertikaian sejumlah hutang yang dituntut oleh BAC. MAB dan BAC seterusnya telah memeterai perjanjian katering baharu yang berdasarkan piawaian antarabangsa serta amalan terbaik industri (butiran lanjut mengenainya dinyatakan di bawah).

Berikut adalah butiran mengenai kemajuan yang telah dicatatkan dalam tempoh antara 1 Mac 2015 hingga 31 Mei 2015:

1. Penyesuaian jumlah tenaga kerja dengan keperluan syarikat

Salah satu daripada 12 bidang tumpuan utama MRP menekankan kepada rombakan secara menyeluruh MAS berpandukan kepada prinsip keadilan, ketelusan dan belas kasihan. Usaha penyusunan semula yang komprehensif ini termasuk penyesuaian jumlah tenaga kerja dengan keperluan syarikat. Ia telah dimulakan setelah proses pemilihan bakat yang teliti dan terperinci dilakukan. Proses pemilihan tersebut yang menekankan prinsip keadilan dan ketelusan telah selesai dijalankan dalam tempoh sukuan laporan yang lepas.

Dengan penamatan operasi MAS kelak, semua kakitangan MAS telah menerima surat penamatan perkhidmatan masing-masing pada 1 Jun 2015. Pada hari yang sama, seramai 14,000 orang pekerja telah menerima tawaran untuk bekerja di NewCo. Majoritinya ditawarkan pekerjaan sepenuh masa sementara selebihnya ditawarkan kontrak pekerjaan untuk beberapa tempoh tertentu, antara empat bulan ke atas. Jumlah jawatan yang terhad di NewCo adalah berdasarkan kepada keperluan operasi syarikat penerbangan baharu tersebut. NewCo tidak dapat menampung kesemua kakitangan MAS sungguhpun kepakaran dan pengalaman yang mereka miliki sepadan dengan keperluan syarikat penerbangan

baharu tersebut.

Kakitangan yang bakal menamatkan perkhidmatan menjelang 31 Ogos 2015 akan menerima pakej pampasan penamatan perkhidmatan berdasarkan formula yang serupa seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Kolektif sedia ada. Pakej tersebut termasuk faedah perubatan serta bayaran “jaringan keselamatan” tambahan kepada beberapa kumpulan kakitangan yang rentan (vulnerable) termasuk kakitangan kurang upaya, ibu tunggal serta pasangan suami isteri yang mana kedua-duanya tidak ditawarkan pekerjaan di NewCo. Setiap pekerja yang ditawarkan pekerjaan di NewCo dan seterusnya menerima tawaran tersebut akan menerima sejumlah pampasan penyertaan dan pengekalan. Kesemua pampasan dan kemudahan yang disediakan kepada para kakitangan yang bakal menyertai NewCo serta yang meninggalkan MAS akan menelan belanja kira-kira RM1.5 bilion.

Semua kakitangan telah diberi buku panduan lengkap yang menerangkan tentang proses peralihan pekerjaan, sementara mereka yang bakal menyertai NewCo telah diberi buku panduan kakitangan yang menjelaskan terma dan syarat pekerjaan di NewCo. Selain itu, satu talian bantuan telah disediakan bagi membantu menjawab sebarang pertanyaan atau kemusykilan daripada kakitangan.

2. Latihan dan penempatan semula

Pusat Pembangunan Korporat (“CDC”) telah mula beroperasi pada 1 Jun 2015. Ia menawarkan perkhidmatan penempatan dan latihan semula secara percuma kepada semua pekerja MAS yang bakal meninggalkan syarikat berkenaan bagi membantu mereka untuk memanfaatkan kemahiran dan bakat yang dimiliki serta merancang masa depan masing-masing. Pelbagai jenis perkhidmatan disediakan termasuk profil bakat, kaunseling kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran pencarian pekerjaan, keusahawanan, perancangan persaraan serta penempatan.

Sehingga penghujung Mei 2015, kira-kira 12,000 peluang pekerjaan telah disediakan untuk kakitangan MAS yang bakal meninggalkan syarikat tersebut menerusi perkhidmatan penempatan CDC.

Kemudahan latihan utama CDC kini terletak di Akademi MAS di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Selain itu, perkhidmatan yang ditawarkan oleh CDC juga tersedia di beberapa premis rakan kongsi CDC berikut:

  1. Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang, Pulau Pinang;

  2. Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, Kuching,;

  3. Pusat Kemahiran dan Teknologi Sabah, Kota Kinabalu;

  4. Pusat Pembangunan Kemahiran Johor, Johor Bahru*; dan

  5. Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang, Kuantan*

  6. * Akan dibuka mengikut keperluan

Pasukan petugas CDC di seluruh negara kini terdiri daripada 60 orang pelatih profesional dan kaunselor penempatan yang berpengalaman. Jumlah petugas CDC dijangka akan bertambah mengikut keperluan. Para individu yang sedang mencari pekerjaan baharu akan dibimbing oleh kaunselor kerjaya dalam bidang kerjaya pilihan, menurut pengalaman kerja serta kemahiran masing-masing. Sementara itu, pihak yang bertanggungjawab bagi penempatan di CDC pula akan mencari bakal majikan yang menawarkan peluang pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran yang dimiliki para pelatih. Pembangunan peribadi serta kecenderungan para pelatih akan turut diambil kira dalam menentukan kerjaya masa depan masing-masing. Bagi individu yang ingin meningkatkan kemahiran, CDC turut menawarkan kira-kira 400 program, kursus dan kelas yang relevan dengan pasaran dalam pelbagai industri.

3. Model operasi perniagaan dan transformasi operasi

MAS telah bertindak menggantung beberapa laluan penerbangan yang tidak menguntungkan, iaitu ke Kunming, Frankfurt, Krabi dan Cochin, di samping sedang turut mempertimbangkan rasionalisasi beberapa laluan penerbangan yang lain.

Pada masa hadapan, syarikat penerbangan negara ini akan terus mengutamakan faktor pulangan komersial di samping menyokong matlamat pembangunan negara, selain terus menerbangkan rakyat Malaysia ke luar negara serta membawa dunia luar ke Malaysia. Ia akan kekal sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh antarabangsa dan akan mengekalkan laluan domestik sedia ada serta tunjangan serantau dengan jalinan luas di peringkat global menerusi persepakatan yang diwujudkan. Rangkaian NewCo, antara lainnya, akan merangkumi pasaran tempatan, selain menghubungkan Malaysia dengan negara-negara ASEAN, China, India, serta beberapa destinasi antarabangsa utama seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, United Kingdom dan Arab Saudi. Kota Kinabalu akan kekal sebagai hab antarabangsa bagi MAS dan syarikat penerbangan lain. Rangkaian ini juga akan mempunyai jalinan ke Afrika, Amerika Syarikat dan Eropah menerusi beberapa usaha sama yang berpotensi yang kini sedang diterokai.

Dalam membangunkan sebuah ikon negara yang baharu, syarikat penerbangan negara ini bakal tampil dengan jenama baharu yang tetap mengekalkan ciri-ciri kebangsaan, dengan identiti yang segar. Ia akan mempunyai barisan pesawat yang baharu serta menawarkan perkhidmatan premium yang sinonim dengan pelbagai anugerah yang pernah diterima syarikat penerbangan negara ini pada masa lampau. Semua produk penerbangan jarak jauhnya akan menyaksikan pembaharuan termasuk penyediaan tempat duduk rata di Kelas Perniagaan serta sistem hiburan dalam penerbangan yang lebih baik. Konsep katering baharu yang lebih ringkas tetapi dengan bahan ramuan yang lebih berkualiti juga akan diperkenalkan. Selain itu, para pelanggan akan diberi kebebasan untuk memilih dan menyesuaikan pengalaman penerbangan yang diingini dengan kehendak dan keperluan masing-masing.

Syarikat penerbangan kebangsaan ini juga berusaha untuk menjadi “majikan pilihan” serta terus meningkatkan lagi struktur pembangunan kakitangan dan latihan dalamannya untuk menjadi pusat yang bakal melahirkan modal insan cemerlang untuk negara.

4. Kajian semula kontrak bekalan

Kira-kira 4,000 kontrak telah dikenal pasti di bawah kajian semula kontrak MAS secara komprehensif. Perbincangan telah dimulakan dan akan diteruskan bagi kontrak yang telah dikenal pasti untuk dirunding semula. Kajian dan rundingan semula kontrak bekalan adalah penting ke arah memastikan syarikat penerbangan ini berada di atas landasan yang betul untuk mencapai pemulihan dan keuntungan yang mampan.

Pada 10 Mei 2015, MAB dan Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd (“BAC”) telah memeterai dua perjanjian katering baharu (“NCA”) yang disusun mengikut piawaian antarabangsa dan berdasarkan amalan terbaik industri.

Secara keseluruhan, NCA tersebut menetapkan suatu perjanjian tahap perkhidmatan yang ketat serta petunjuk prestasi utama (“KPI”) yang perlu dipatuhi, tawaran harga yang lebih baik, tidak eksklusif serta tempoh yang lebih singkat berbanding dengan perjanjian katering sebelumnya. Sebelum NewCo beroprasi pada 1 September 2015, MAB akan memberikan perkhidmatan catering kepada MAS selaras dengan terma-terma dan syarat-syarat yang dipersetujui di bawah NCA berkenaan.

Butiran utama NCA tersebut adalah seperti berikut:

  • Dua kontrak berasingan bagi penerbangan “pesawat berbadan lebar” dan penerbangan “pesawat berbadan tirus”, selaras dengan norma antarabangsa

  • NCA tersebut bermula pada 10 Mei 2015 dengan tempoh peralihan yang mana terma perjanjian katering sedia ada dan perjanjian penyelesaian yang telah dilaksanakan pada 26 Februari 2015 adalah terpakai, dengan terma-terma penuh NCA dikuatkuasakan pada 1 September 2015 atau sebarang tarikh lain yang lebih awal yang dipersetujui antara BAC dan MAB secara bertulis.

  • Tempoh awal NCA berkenaan adalah bagi jangka masa lima tahun, dengan tempoh tambahan lanjutan selama lima tahun lagi, tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat termasuk memenuhi KPI utama BAC dalam tempoh lima tahun pertama; tidak melanggar sebarang Acara Utama yang akan menjadikan NCA terbatal; dan pada harga yang dipersetujui bersama untuk jangka masa tambahan lima tahun seterusnya.

  • NCA berkenaan mengandungi kaedah penetapan harga baharu, dan apabila digandingkan dengan penawaran produk masa depan dan struktur menu yang baharu di MAB, ia menawarkan pengurangan kos katering antara 20-25% berbanding perjanjian katering sebelumnya

5. Kepimpinan

Pada 1 Mei 2015, Christoph Mueller telah dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS, mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Ahmad Jauhari Yahya dalam proses peralihan kepimpinan yang telah dipercepatkan. Pada masa yang sama, Ahmad Jauhari telah dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS.

Proses peralihan yang telah dipercepatkan tersebut memberi peluang kepada Mueller untuk memimpin usaha penyusunan semula MAS ketika ia memasuki fasa yang paling kritikal.

Mueller juga mengambil alih tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Komersial pada 1 Jun 2015, berikutan peletakan jawatan Pengarah Komersial, Dr Hugh Dunleavy, berkuatkuasa 31 Ogos 2015.

Selain itu, Tan Kok Meng telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Maklumat (“CIO”) pada 18 Mei 2015. Sebelum ini, Tan merupakan Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan & Ketua, Perkhidmatan Perkongsian Serantau, Malayan Banking Berhad.

Proses yang komprehensif telah dilaksanakan untuk mengenal pasti bakat dalaman dan luaran untuk jawatan kepimpinan dan pengurusan kanan utama. Kriteria pemilihan utama bagi semua jawatan ini adalah kepakaran dan pengalaman dalam industri yang berkaitan. Pelantikan bagi jawatan-jawatan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

6. Pelantikan Pentadbir bagi MAS di bawah Akta MAS 2015

Akta Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2015 (“Akta MAS”) memperuntukkan kaedah yang berkesan, cekap dan lancar untuk mengalihkan perniagaan, harta, hak, liabiliti dan hal ehwal MAS kepada MAB.

Selaras dengan Akta MAS, Khazanah sebagai pemegang saham tunggal MAS, telah melantik Dato’ Mohammad Faiz Azmi sebagai Pentadbir bagi MAS (Pentadbir Akta MAS) pada 25 Mei 2015. Antara lainnya, Pentadbir Akta MAS ini akan membantu dalam pemindahan aset dan liabiliti terpilih daripada MAS kepada NewCo, berkuatkuasa 1 September 2015.

Peralihan daripada MAS kepada NewCo merupakan salah satu komponen penting MRP, yang juga termasuk pendanaan pelaburan bersyarat RM6 bilion daripada Khazanah diagihkan secara berperingkat dan tertakluk kepada pra-syarat yang ditetapkan dipenuhi terdahulu.

7. Sokongan Kerajaan bagi inisiatif utama

Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (“Akta”) telah diluluskan di Parlimen pada April 2015. Akta ini memperuntukkan penubuhan sebuah suruhanjaya penerbangan yang, antara lainnya, bertanggungjawab mengawal selia hal-hal ekonomi yang berkaitan dengan industri penerbangan awam; menyediakan mekanisme bagi melindungi pengguna dan penyelesaian pertikaian antara penyedia perkhidmatan penerbangan; mentadbir, memperuntukkan dan menguruskan hak trafik udara; memantau peruntukan slot bagi syarikat penerbangan atau pengendali pesawat yang lain; serta mentadbir dan mengurus obligasi perkhidmatan awam.

Sementara itu, perhubungan dengan pihak berkepentingan utama untuk memastikan peralihan yang lancar kepada NewCo kini juga berjalan dengan lancar dan melibatkan beberapa kementerian yang berkaitan, agensi dalam dan luar negara seperti Jabatan Penerbangan Awam (“DCA”), Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (“IATA”), dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (“ICAO”).

8. Memperkukuhkan perhubungan perindustrian

Sesi pertemuan Panel Rundingan Pekerja (“ECP”) yang ketiga dan keempat telah diadakan pada 13 Mei 2015 dan 26 Mei 2015. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh wakil semua kesatuan yang diiktiraf, persatuan pekerja serta wakil daripada kakitangan yang tidak berkesatuan.

Perbincangan semasa mesyuarat ECP ketiga bersekitar kemajuan pelaksanaan MRP, konsep pelan perniagaan NewCo, skim pemisahan, terma dan syarat pekerjaan NewCo serta struktur gaji. Pada mesyuarat ECP keempat pula, topik-topik perbincangan meliputi peranan dan fungsi pentadbir serta skim pemisahan.

Pada 2 June 2015, suatu mesyuarat ECP telah diadakan untuk membincangkan mengenai perihal kakitangan, termasuk penjelasan berkenaan pakej dan faedah pemberhentian selain hal-hal berkaitan pekerjaan di NewCo. Perbincangan tersebut dijangka dapat membantu melancarkan proses peralihan bagi kakitangan.

Kesatuan dan persatuan pekerja yang menghadiri mesyuarat ECP tersebut adalah:

  • Persatuan Juruterbang Malaysia Airlines (MAPA)

  • Persatuan Kakitangan Pengurusan Malaysian Airline System (MASMA)

  • Persatuan Kakitangan Eksekutif Malaysia Airline System (MESA)

  • Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU)

  • Persatuan Kakitangan Eksekutif Sabah Malaysian Airline System (SEAMAS)

  • Jawatankuasa Kakitangan Eksekutif Sarawak (SESC)

  • Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak (AWUS)

  • Kesatuan Pekerja Pengangkutan Udara Sabah (ATWUS)

ECP bertujuan membantu meningkatkan penjajaran antara pekerja, kesatuan dan pengurusan serta menyediakan platform untuk pertukaran pandangan dan idea melalui sesi dialog dan kerjasama.

Pada masa yang sama, semua kakitangan MAS sentiasa dimaklumkan tentang status terkini usaha penyusunan semula melalui saluran komunikasi dalaman seperti intranet MAS, risalah, surat daripada Ketua Pegawai Eksekutif, media sosial serta inisiatif perhubungan langsung yang lain.

9. Konsolidasi di KLIA

Kakitangan MAS yang menerima tawaran pekerjaan di NewCo akan berpindah dari Subang ke KLIA bermula pada Ogos 2015. Kerja-kerja pengubahsuaian di Bangunan Kemudahan Sokongan bagi menerima kakitangan yang berpindah ke kemudahan tersebut telah selesai.

10. Pengukuhan jaminan, integriti dan keselamatan

Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus dan Etika (“GEC”) yang pertama telah diadakan pada 10 Mac 2015. GEC adalah jawatankuasa kecil Lembaga Pengarah MAS dan ahli-ahlinya terdiri daripada Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Pada mesyuarat tersebut, ahli-ahli jawatankuasa telah menerima pakai terma rujukan GEC serta rangka kerja bagi integriti dan pematuhan, yang bertujuan untuk memupuk dan menanamkan budaya integriti dan melaksanakan sistem untuk memantau dan melaporkan kejadian serta tindakan yang diambil.

Di samping itu, MAS telah menyiapkan Audit Keselamatan Operasi bagi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (“E-IOSA”) yang dilaksanakan secara sukarela pada bulan Mac 2015. Ia bertujuan untuk meningkatkan amalan keselamatan dan keselamatan operasi di MAS. Syarikat penerbangan tersebut dijangka menerima sijil E-IOSA pada pertengahan bulan Jun 2015

11. Komunikasi berterusan dan perhubungan dengan pihak berkepentingan

Perhubungan di peringkat luaran dan dalaman serta komunikasi berterusan terus dilaksanakan dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan kejayaan usaha penyusunan semula ini.

Pada 1 Jun 2015, pihak media tempatan dan antarabangsa diberi taklimat yang menyeluruh dan mendalam mengenai perancangan masa depan NewCo oleh Mueller.

Laporan kemajuan sukuan MRP telah diterbitkan setiap tiga sukuan yang lepas sejak pelancanran MRP pada Ogos 2014 dan akan diteruskan pada sukuan akan datang.

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian Tel +603 2034 0000 atau menerusi e-mel di [email protected]

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk menguruskan aset-aset komersial milik Kerajaan dan melaksanakan pelaburan-pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, riadah & pelancongan, hartanah kreatif & media, pendidikan dan inovasi & teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila lawati www.khazanah.com.my



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya