Syarikat Modal Teroka Global Antler Jalin Kerjasama bersama Khazanah untuk Pelancaran dan Pelaburan di Malaysia

13 Julai 2023

● Antler, syarikat modal teroka peringkat permulaan-global, hari ini mengumumkan pelancaran di
Malaysia
● Beribu pejabat di Kuala Lumpur, dengan Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) sebagai rakan
niaga
● Antler akan melabur dalam lebih 30 buah syarikat pemula Malaysia dalam tempoh 3 tahun, melalui program penjanaan usaha teroka pertama yang akan bermula pada bulan Oktober 2023
● Berikutan pelancaran ini, syarikat ini kini hadir di empat buah negara Asia Tenggara dan meliputi 26 buah lokasi di seluruh dunia, mengukuhkan lagi kedudukan sebagai platform global bagi pengembangan dan modal

Kuala Lumpur, 13 Julai 2023: Syarikat modal teroka global Antler meluaskan jejak antarabangsa di Malaysia menerusi perkongsian dengan dana kekayaan berdaulat, Khazanah, untuk mengukuhkan lagi kehadirannya di enam buah benua, yang merangkumi Asia Tenggara dengan kehadiran sedia ada di Singapura, Indonesia dan Vietnam. Antler merupakan salah sebuah syarikat pelaburan peringkat awal yang paling aktif di peringkat global dan telah melabur dalam lebih 792 buah syarikat di 26 buah bandar raya di seluruh dunia dengan nilai portfolio terkumpul sebanyak AS$3.7 bilion.

Kerjasama bersama Antler merupakan pelaksanaan terbaru bagi sebuah inisiatif di bawah Dana Impak dikenali sebagai ‘Future Malaysia Programme’ untuk menyokong ekosistem pemula tempatan yang terdiri daripada usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa. Dana Impak ialah komitmen sebanyak RM6 bilion dalam tempoh 5 tahun dan merupakan tonggak utama di bawah strategi Khazanah ‘Advancing Malaysia’ untuk memajukan Malaysia.

Pakatan strategik ini berfungsi untuk mencungkil dan memupuk bakat keusahawanan para pengasas syarikat dari Malaysia dan memberi mereka akses kepada platform dan rangkaian global Antler. Langkah ini membolehkan mereka mengukuhkan diri sebagai syarikat penentu masa depan. Dengan menggunakan rangkaian pelabur, pengasas dan penasihat global Antler, kerjasama ini akan membuka peluang baharu dalam dunia keusahawanan Malaysia, seterusnya mempercepatkan kemajuan para usahawan dan syarikat pemula Malaysia bagi mendorong mereka ke arah pengembangan dan kejayaan antarabangsa.

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah berkata, “Kerjasama strategik bersama Antler membuka lembaran baharu dalam landskap keusahawanan Malaysia dan membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Khazanah untuk memperkenalkan penyelesaian yang inovatif dan berkesan. Ini menjadi satu lagi langkah ke hadapan untuk ‘Future Malaysia Programme’ yang bertujuan untuk mengembangkan idea dan perniagaan Malaysia supaya dapat berdaya saing di peringkat global.”

“Kami akan terus mengenal pasti rakan kongsi berpotensi yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti, kepakaran dan cadangan nilai strategik untuk menyertai kami dalam membentuk dan memperkasakan generasi usahawan Malaysia akan datang melalui program ini. Kami menawarkan sokongan menyeluruh sepanjang kitar hayat pendanaan, bermula daripada peringkat awal sehingga ke peringkat pembangunan.”

Dengan pengkhususan dalam pelaburan ‘Day Zero investing’, Antler mengambil pendekatan tersendiri untuk memupuk kejayaan syarikat pemula. Jenis pelaburan ini dapat membezakan Antler dengan program keusahawanan yang lain. Firma ini komited untuk menyokong para pengasas syarikat sepanjang perjalanan mereka, bermula daripada peringkat awal sehingga ke Siri A dan seterusnya. Ini termasuk sokongan dalam pemadanan pengasas bersama, pengesahan model perniagaan yang menyeluruh, penyediaan modal permulaan, bantuan pengembangan dan perolehan pembiayaan susulan. Menerusi pendekatan pelaburan Antler yang komprehensif, syarikat pemula disokong dari hari terawal mereka sehinggalah ke fasa perkembangan yang ketara.

Jussi Salovaara, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan Asia, Antler berkata, “Kami berada dalam misi untuk menambah baik dunia dari dasar dengan menyokong dan melabur dalam bakat-bakat yang paling luar biasa di dunia bermula dari ‘Day Zero investing’ hinggalah syarikat pemula memperoleh kejayaan. Para pengasas dapat mengembangkan syarikat mereka dengan lebih pantas bersama Antler, di mana mereka boleh membina pasukan yang luar biasa, menyertai komuniti pengasas global dan mengakses modal untuk mempercepatkan perkembangan. Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Khazanah bagi membuka peluang ini untuk para usahawan di Malaysia.”

Menerusi pejabat baharunya di Kuala Lumpur, Antler menyasarkan untuk melabur dalam lebih 30 buah syarikat pemula di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang. Program ‘Venture Generation’ ditetapkan bermula pada Oktober 2023 dan permohonan kini telah dibuka. Para pengasas boleh mengetahui lebih lanjut tentang program di sini.

TAMAT

Siaran Akhbar Lain

Khazanah dan INCJ Umum Urusniaga Strategik dalam EDOTCO Group

Khazanah dan Innovation Network Corporation of Japan (“INCJ”) mengumumkan bahawa Khazanah akan memperoleh pegangan INCJ dalam Kumpulan EDOTCO, mencerminkan hubungan...

14 Mac 2025 Selanjutnya

Keuntungan rm5.1 bilion daripada operasi pada 2024, prestasi kukuh ...

Khazanah terus mencipta nilai jangka panjang, memangkin inovasi dan menyampaikan hasil sosio-ekonomi Sorotan 2024 Keuntungan RM5.1b daripada operasi Kadar Pulangan...

5 Februari 2025 Selanjutnya

Strategi Khazanah Untuk Memajukan Malaysia: Membangunkan belia Mala...

Khazanah Nasional (“Khazanah”) berpegang teguh pada keyakinan bahawa, selari dengan pelaburan strategik, pembangunan modal insan adalah penting untuk pertumbuhan dan...

10 Januari 2025 Selanjutnya