17 Oktober 2024
SC dan Khazanah Jalin MoU untuk Memangkin Akses MTC ke Pasaran Modal
Jumlah permulaan sebanyak RM500 juta untuk memangkin pertumbuhan MTC melalui Dana Impak Khazanah
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melalui Dana Impak untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan menyesuaikan pasaran modal untuk syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) bagi merangsang pertumbuhan dan pengembangan.
MoU itu menyokong “Pelan Hala Tuju PMKS dan MTC” SC iaitu ‘Memangkin Akses MSME dan MTC ke Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028)’.
Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi memberi penghargaan kepada komitmen Khazanah dalam menyokong pertumbuhan dan pengembangan MTC. “Kami menghargai sokongan Khazanah terhadap Pelan Hala Tuju PMKS dan MTC serta matlamat jangka panjang SC untuk memastikan ekosistem pengumpul dana pasaran modal yang lebih inklusif dan holistik.”
“MTC merupakan penyedia peluang pekerjaan domestik yang penting dan penyumbang kepada ekonomi. Walau bagaimanapun, mereka telah dikenal pasti sebagai ‘missing middle’, kerana sering menghadapi kesukaran untuk mengakses pembiayaan untuk pertumbuhan. MoU ini akan menangani cabaran sedemikian untuk memastikan pertumbuhan dan daya tahan yang mampan,” katanya.
MTC merangkumi kurang daripada 2% firma di Malaysia tetapi menyumbang 36% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan 16% kepada peluang pekerjaan. Ini menjadikan mereka pemacu penting kepada ekonomi Malaysia serta berpotensi menjadi sumber permintaan pasaran modal.
Pengarah Urusan Khazanah Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata mereka komited untuk memperkasakan syarikat Malaysia dan MTC dengan menyediakan peluang yang mereka diperlukan untuk berjaya.
Khazanah, melalui Dana Impak yang merupakan tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia, telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta dana permulaan untuk menyediakan pembiayaan kepada MTC. Pembiayaan ini akan disalurkan kepada MTC yang berpotensi tinggi melalui pasaran persendirian, sama ada ekuiti persendirian atau dana kredit persendirian, memastikan akses yang lebih besar kepada modal.
“Salah satu tunjang utama rangka kerja Khazanah iaitu “A Nation that Creates”, ialah dalam memacu industri dan bakat yang bersedia untuk masa hadapan, dengan tumpuan kepada transformasi firma pelbagai saiz bagi meningkatkan penciptaan nilai, sambil memperkukuh produktiviti negara dan daya saing di peringkat global. Objektifnya juga adalah untuk menubuhkan syarikat Malaysia yang terus mencipta dan berinovasi, dengan momentum pertumbuhan dan daya tahan ekonomi yang berterusan. Kami berharap kerjasama dengan SC ini dapat menyokong MTC supaya berada pada kedudukan yang kukuh untuk memberi sumbangan besar kepada negara,” katanya.
Melalui kerjasama bersama, MoU itu akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah untuk menyokong fasa pertumbuhan dan inovasi MTC akan datang, dan program dan inisiatif bersama untuk meningkatkan kesedaran dan akses mereka kepada pasaran modal. Ini termasuk:
• Inkubasi pengumpulan dana untuk sebanyak 60 – 100 MTC untuk meningkatkan kesediaan pasaran modal
• Program pembinaan kapasiti MTC khusus untuk meningkatkan daya saing MTC dan kapasiti inovatif
• Pelaburan tertumpu MTC yang lebih besar untuk memacu segmen pertumbuhan ini
Di bawah MOU ini, Khazanah juga akan melaksanakan program pembinaan kapasiti dengan rakan kongsi utama seperti SC untuk memacu peningkatan produktiviti dan membuka peluang baharu dalam perniagaan, inovasi dan pembiayaan termasuk penyelesaian pembiayaan berasaskan pasaran.
Matlamatnya adalah untuk membina rangkaian kukuh MTC yang bersedia memasuki pasaran modal, termasuk meningkatkan kemahiran kumpulan MTC terpilih mengenai keperluan pengumpulan dana melalui program Elevate oleh sekutu SC Capital Markets Malaysia, serta memperkukuh keupayaan inovasi pertumbuhan mereka.
Inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju PMKS dan MTC serta program GEAR-uP.
TAMAT