Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

17 Mei 2016

Perdana Menteri rasmikan pelancaran Khazanah Europe Investment Limited

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dengan sukacitanya mengumumkan pembukaan rasmi Khazanah Eropah Investment Limited (“KEIL”) oleh Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Khazanah, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di sini, hari ini. KEIL merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah.

Kira-kira 150 orang tokoh perniagaan, kerajaan dan ahli akademik dari Malaysia, United Kingdom dan Eropah menghadiri acara pelancaran KEIL, termasuk Sajid Javid, Setiausaha Negara United Kingdom bagi Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran dan Sadiq Khan, Datuk Bandar London yang baharu

Pengenalan KEIL melengkapkan rangkaian pejabat Khazanah yang dirancang di luar negara yang bermula dengan pembukaan pejabat Khazanah di Beijing pada tahun 2008. KEIL adalah pejabat serantau kelima selepas pejabat-pejabat di Beijing, Mumbai, San Francisco dan Istanbul. Selain mempertingkatkan hubungan antara Malaysia dan United Kingdom, KEIL diharapkan akan dapat mempertingkatkan jalinan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain di Eropah.

KEIL akan menyediakan khidmat nasihat dan sokongan pelaburan bagi benua Eropah yang merupakan wilayah berkepentingan strategik bagi Khazanah. Ini akan membolehkan Khazanah menilai pelbagai peluang dalam sektor berkaitan teknologi di Eropah dengan lebih baik. KEIL juga akan menyokong agenda inovasi Malaysia dan bertindak sebagai jambatan untuk mengukuhkan kerjasama semasa dan masa depan antara Malaysia dan negara-negara Eropah.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Hj Mokhtar berkata: “Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi merasmikan pembukaan pejabat KEIL. Kami melihat Eropah sebagai pasaran penting kerana ia merupakan sebuah hab penting bagi firma teknologi, syarikat yang baru mula bertapak serta usaha niaga keusahawanan. Ia juga merupakan pusat bagi beberapa universiti terkemuka yang menyediakan kemudahan penyelidikan terkini. Kami menyedari bahawa inovasi adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kerana Malaysia sedang bergerak ke arah ekonomi yang bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan dengan tumpuan kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan, inovasi akan memainkan peranan penting untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan dan produktiviti negara.”

Sejak KEIL mula beroperasi, Khazanah telah melabur dalam Skyscanner Holdings Limited (enjin pencarian pelancongan terunggul dengan lebih daripada 50 juta pelawat unik setiap bulan yang berpangkalan di Edinburgh), Blippar.com Limited (syarikat pengukuhan realiti dan penemuan visual yang berpangkalan di London) dan Atomico (syarikat modal teroka teknologi yang tertumpu kepada pasaran Eropah dan berpangkalan di London). Aset Khazanah di seluruh dunia, yang dinilai menurut Nilai Aset Boleh Direalisasi berdasarkan pendedahan geografi1 , adalah 55.1% dalam Malaysia dan 44.9% di luar negara (pada 31 Disember 2015).

Sempena perasmian pejabat KEIL, Perdana Menteri turut melancarkan Laporan Khazanah 2015 (“TKR”) dan Laporan Hasanah 2015 (“THR”). TKR adalah laporan tahunan yang membentangkan prestasi kewangan dan strategik Khazanah setiap tahun, selain memaparkan pelbagai peranan yang dimainkannya sebagai dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia. THR pula menyediakan maklumat mengenai operasi dan aktiviti Yayasan Hasanah, sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Khazanah untuk memacu kerja-kerja Tanggungjawab Korporat serta pelbagai usaha kemasyarakatan yang lain.

Pada acara yang sama, dua biasiswa baharu turut dilancarkan – Biasiswa Rhodes untuk Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Khazanah dan Program Biasiswa Chevening-Khazanah, serta Program Residensi Fellowship Khazanah. Sebelum ini, Yayasan Khazanah menawarkan Biasiswa Merdeka Khazanah-Pusat Pengajian Islam Oxford dan Biasiswa Khazanah-Cambridge kepada pelajar Malaysia yang layak.

Program biasiswa baru, Biasiswa Rhodes untuk Malaysia dengan kerjasama Yayasan Khazanah ini merupakan program usahasama antara Yayasan Khazanah dan Rhodes Trust. Yayasan Khazanah akan menyediakan endowmen untuk tempoh lima tahun yang membolehkan Yayasan Khazanah menaja sehingga tiga rakyat Malaysia pada satu-satu masa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford sebagai Sarjana Rhodes.

Program Biasiswa Chevening-Khazanah pula merupakan kerjasama antara Yayasan Khazanah dan Pejabat Luar Negeri dan Komanwel United Kingdom. Program ini menyediakan biasiswa kepada lima rakyat Malaysia setiap tahun untuk mengikuti ijazah Sarjana di mana-mana universiti di United Kingdom yang diiktiraf oleh Yayasan Khazanah.

Program Residensi Fellowship Khazanah (“Program Residensi”) pula menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk menimba pengalaman dalam bidang Seni, Budaya & Kemasyarakatan; Reka Bentuk; Perkhidmatan Awam; Media & Kewartawanan; dan Sains & Teknologi, menerusi program-program residensi jangka pendek sehingga tiga bulan di bandar-bandar yang mana pejabat terdapatnya pejabat-pejabat serantau Khazanah. Tujuan program tersebut adalah untuk membantu rakyat tempatan yang berkelayakan untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman dalam kerjaya masing-masing. Program Residensi baharu ini menyatukan program-program yang sedia dijalankan oleh Khazanah khususnya yang melibatkan golongan pelukis dan wartawan tempatan. Setakat ini, Khazanah telah menaja empat orang pelukis tempatan bagi residensi jangka pendek di Beijing, Mumbai dan Istanbul, manakala menerusi Khazanah-Wolfson Press Fellowship di Cambridge, Khazanah telah menaja lapan orang wartawan tempatan dan tiga kakitangan Khazanah sejak pengenalannya pada tahun 2013.


1. Anggaran berdasarkan nilai yang boleh diagih mengikut negara-negara yang mana syarikat-syarikat pelaburan Khazanah beroperasi

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian Tel +603 2034 000 atau
e-mel [email protected].

Tentang Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk menguruskan aset-aset komersial milik Kerajaan dan melaksanakan pelaburan-pelaburan strategik. Khazanah terlibat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, riadah & pelancongan, hartanah kreatif & media, pendidikan dan inovasi & teknologi. Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd. Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila lawati www.khazanah.com.my.



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya