Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

4 September 2016

Perdana Menteri lancar Projek Taman Tugu

Taman hutan hujan seluas 66 ekar akan menghijaukan lagi Kuala Lumpur & kawasan di sekitarnya

Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini melancarkan Projek Taman Tugu, suatu inisiatif tanggungjawab korporat (“CR”) yang bertujuan untuk memulihara, mengaktifkan dan menghubungkan taman hutan hujan seluas 66 ekar di tengah-tengah Kuala Lumpur. Projek ini adalah inisiatif Perkongsian Awam-Swasta-Masyarakat Madani yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (“DBKL”) serta beberapa organisasi sektor awam dan swasta, serta organisasi bukan berasaskan untuk keuntungan.

Projek Taman Tugu ini bakal menjana semula kawasan hutan sekunder sekitar Tugu Negara menjadi sebuah taman hutan hujan dalam bandar yang kaya dengan keindahan alam dan mampan, di atas tapak yang menurut penilaian rasmi Kerajaan bernilai RM2.1 bilion. Bawah pelan pertumbuhan semula hutan yang komprehensif, kira-kira 1,000 batang pokok akan dipulihara manakala 5,000 batang pokok hutan hujan tempatan yang sesuai untuk terain kawasan berkenaan akan ditanam antara pokok-pokok yang sedia ada di kawasan itu supaya ia dapat membesar secara semula jadi di dalam kawasan hutan simpan. Strategi pemuliharaan dan penanaman semula dijalankan dengan perundingan dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (“MNS”).

Taman Tugu juga akan menawarkan persekitaran rekreasi dan pembelajaran untuk para pengunjung. Ini termasuk kawasan komuniti dan berfokuskan keluarga yang terdiri daripada kedai serta gerai makanan dan minuman yang menyediakan jamuan tempatan, kawasan permainan kanak-kanak, serta ruang acara dalaman dan luaran. Terdapat juga kemudahan pembelajaran dan pendidikan yang terdiri daripada Pusat Pendidikan Hutan Hujan, laluan pendidikan dan pusat pembelajaran dan inovasi yang dibuka untuk kegunaan orang ramai. Selain itu, terdapat juga kawasan aktiviti luar seperti tapak perkemahan serta laluan pejalan kaki dan kawaasan dakian.

Projek Taman Tugu melibatkan peningkatan kesalinghubungan antara Taman Tugu dan kawasan sekitarnya, melalui laluan dari Stesen Komuter Bank Negara ke Taman Tugu, laluan bawah dari Taman Tugu ke Taman Botani Perdana, jejantas dari KL Sentral ke Muzium Negara, dan dek pejalan kaki dari KL Sentral ke Taman Botani Perdana melalui Muzium Negara. Dek pejalan kaki ke KL Sentral ini akan dibangunkan dengan sokongan Muzium Negara, CIMB, MRCB dan pihak berkepentingan yang lain di sekitar KL Sentral. Laluan-laluan perantaraan yang dijangka siap pada tahun 2019 ini merupakan sebahagian daripada usaha kolektif untuk menghubungkan tempat-tempat tumpuan orang ramai di sekitar Kuala Lumpur bagi kemudahan penduduk serta pelancong. Secara keseluruhan, kos projek ini, termasuk penjanaan semula taman hutan hujan; pembinaan Pusat Pendidikan Hutan Hujan, pusat pembelajaran dan inovasi; pembangunan pelbagai penghubung dan penambahbaikan infrastruktur awam, berjumlah sehingga kira-kira RM650 juta, yang mana sehingga RM500 juta atau 75% akan ditanggung oleh Khazanah sebagai sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Korporat (“CR”) yang berterusan.

Pada majlis pelancaran Projek Taman Tugu, Dato’ Sri Mohd Najib mengumumkan bahawa Taman Tugu akan diletakkan bawah Amanah Awam untuk selamanya bagi memastikan ia kekal sebagai sebuah taman hutan hujan bandar raya untuk dinikmati rakyat Malaysia serta generasi akan datang.

Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansur, Menteri Wilayah Persekutuan berkata: “Bidang Ekonomi Utama Negara (“NKEA”) berkaitan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang bertujuan untuk menambah lagi kawasan hijau di sekitar kawasan Kuala Lumpur untuk memastikan penduduknya menikmati kawasan hijau yang mencukupi serta pengenalan tempat-tempat tarikan pelancong dan ikonik untuk meningkatkan daya tarik keseluruhannya. Kami juga memanfaatkan tarikan dan mercu tanda bandar raya yang sedia ada untuk mengukuhkan identiti dan warisan Kuala Lumpur yang unik. Saya melihat Projek Taman Tugu ini amat melengkapi usaha semasa di bawah NKEA Greater Kuala Lumpur, seperti River of Life dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Heritage Trails.”

Tan Sri Dato’ Azman Hj Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah berkata: “Projek Taman Tugu bukan sekadar Perkongsian Awam-Swasta tetapi lebih daripada itu, ia adalah suatu Perkongsian Awam-Swasta-Masyarakat Madani atau civil society. Hari ini, dengan pelancaran rasmi projek ini, kami juga akan memulakan program outreach dengan orang ramai melalui pelbagai saluran untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan selain meningkatkan lagi penglibatan lebih banyak rakan kerjasama pembangunan dan penderma.”.

Orang ramai digalakkan untuk memberikan maklum balas bagi pembangunan Taman Tugu, khususnya mengenai aktiviti dan juga makanan dan minuman yang ditawarkan, termasuk nama untuk taman hutan hujan bandar raya ini. Mereka dapat memberikan input melalui kaji selidik dalam talian di laman web rasmi www.tamantugu.com.my dan juga di kios yang akan ditempatkan di kawasan bertrafik tinggi sekitar bandar.

TAMAT

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari www.khazanah.com.my atau hubungi Mohd Raslan Md Sharif di talian Tel +603 2034 0000, atau menerusi e-mel di [email protected]



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya