Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

14 Disember 2022

Pengkarya seni muda terpilih ikuti residensi seni di London, memperkaya persada seni Malaysia melalui pembangunan ilmu dan kemahiran

Program yang menumpukan usaha membina kapasiti dan meningkatkan peluang pembelajaran di kalangan bakat tempatan ke arah Memajukan Malaysia

 

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini memenuhi impian dua artis tempatan yang kian meningkat naik untuk mengikuti program pembangunan diri dan peningkatan kemahiran di Acme Studios di London, sebuah program yang turut menjadi tumpuan artis-artis dari seluruh dunia.

Artis-artis kelahiran Kuala Lumpur, Mark Tan dan Joshua Kane Gomes, dipilih melalui proses pemilihan yang teliti dari kalangan 40 peserta. Daripada kumpulan yang terdiri daripada enam finalis, Mark dan Joshua telah berjaya menjadi peserta kohort 2023 Program Residensi Artis Bersekutu Khazanah Nasional (KAAR)–di bawah inisiatif Program Residensi Khazanah (KRP)–dan bakal memulakan residensi seni mereka selama 3 bulan di Acme Studios di London, bermula 9 Januari – 31 Mac 2023.

Acme Studios (“Acme”) telah diasaskan pada tahun 1972 oleh artis untuk menyokong artis lain, serta bertujuan untuk menyokong pembangunan dan penghasilan seni. Program ini direka untuk memberikan impak transformasi, mengurangkan cabaran lazim yang sering dihadapi oleh artis dan meningkatkan keupayaan mereka untuk mengambil risiko kreatif. Setiap residensi disesuaikan dengan keperluan individu artis, memberikan mereka masa untuk menyelidik, membina jaringan dan menumpukan pada penghasilan karya seni baharu dalam persekitaran yang disokong sepenuhnya. Sebagai sebuah titik pertemuan para artis dari seluruh dunia seperti Australia, Kanada, Jerman, Sweden dan Switzerland, Acme adalah tempat kesepaduan pelbagai budaya yang mampu memupuk pembelajaran dan pemahaman pelbagai perspektif dan idea.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Khazanah sentiasa menyokong persada seni tempatan dan karya artis tempatan yang kian meningkat naik mahupun yang telah mencipta nama. Penggiat seni tempatan dalam industri telah terjejas oleh pandemik dan adalah penting bagi kami untuk memastikan sokongan berterusan untuk memajukan industri. Program pembangunan adalah perlu untuk menggalakkan pertumbuhan intelek dalam kalangan penggiat seni melalui pembangunan kreatif, pendedahan kepada idea baharu dan aktiviti wacana.”

Dato’ Amirul Feisal menambah, dengan membangunkan dan menyediakan peluang untuk bakat baharu, pemeliharaan sejarah, budaya, seni dan warisan, Khazanah mampu menyumbang ke arah nilai sosial dan ekonomi bagi para komuniti yang menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan negara dan sejajar dengan kepentingan strategik Memajukan Malaysia.

KAAR menyediakan bakat tempatan dengan pendedahan antarabangsa bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi mencapai kecemerlangan dalam kerjaya, seterusnya berkembang menjadi peneraju pemikiran dalam bidang mereka. Sekembalinya ke tanah air, mereka diamanahkan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat melalui penyampaian ilmu praktikal yang dikumpul sepanjang residensi mereka kepada generasi artis seterusnya, memperkayakan persada seni tempatan dengan kreativiti dan kualiti yang lebih tinggi serta menjana kepelbagaian intelek.

Mark, pemegang ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Lukisan dan Seni Gunaan dari University of the West of England, berkata, “Ia merupakan satu penghormatan sebagai penerima Residensi Khazanah 2023 kerana ia memberi peluang untuk memperkembangkan amalan seni saya terutamanya dalam bidang Seni Cetakan. Saya tidak sabar untuk menimba pengetahuan dan mempertingkatkan kemahiran saya melalui residensi ini dan berkongsi pengalaman dengan semua apabila saya kembali nanti.”

Seorang lagi penerima kohort 2023 Joshua, graduan Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura dengan pengkhususan dalam seni arca, berkata anugerah yang diterima bagi mengikuti program residensi ini adalah satu dorongan dan satu pengiktirafan buat amalan seni beliau di Malaysia.

“Saya berharap agar dapat menyemarakkan lagi persada seni Malaysia dan saya tidak sabar untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada persada seni tempatan, melalui perkongsian ilmu yang bakal saya perolehi,” tambah beliau.

Penyertaan Mark dan Joshua ke dalam program residensi seni kali ini menandakan tahun kelima residensi seni ini diadakan sejak ia diperkenalkan oleh Khazanah pada 2017, dengan sejumlah 10 artis Malaysia yang kian meningkat naik menerima sokongan sehingga kini.

Dilancarkan pada 2017, tujuan utama KAAR adalah memberi peluang kepada artis Malaysia yang kian meningkat naik untuk memperkayakan ilmu dalam seni visual melalui program berstruktur selama 12 minggu. Setiap tahun, program sokongan artis ini menyediakan sehingga dua (2) artis dengan penginapan studio sebagai tempat kerja/tinggal yang selamat, praktikal, dan program sokongan artis serta pembangunan profesional.

Para penerima anugerah KAAR yang lalu antara lain termasuk Haffendi Anuar dan Ajim Juxta yang telah menyumbang kepada pembangunan persada seni tempatan melalui pendidikan kesenian, perkongsian pengalaman, ceramah berkaitan seni dan sokongan kepada bakal artis. Ahli-ahli alumni KAAR giat meneruskan minat mereka dalam seni dan menyertai pelbagai pameran solo dan berkumpulan di dalam dan luar negara.

KAAR adalah sebahagian daripada inisiatif KRP yang menyokong anak muda Malaysia yang cemerlang dalam disiplin terpilih melalui perkembangan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian dalam bidang masing-masing. Terdapat empat program di bawah inisiatif ini iaitu Residensi Media, Residensi Seni, Residensi Reka Bentuk dan Residensi Perkhidmatan Awam yang menawarkan residensi jangka pendek, fellowship dan kursus yang dikendalikan oleh institusi tersohor di seluruh dunia.

Maklumat lanjut tentang KAAR boleh didapati di www.khazanah.com.my/our-community/khazanah-residency-programme/ dan di Instagram (@khazanahresidency).

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya