Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

13 Mei 2018

Mesyuarat antara Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dengan YABhg. Tun Daim Zainuddin, Ketua Majlis Penasihat Kerajaan

YABhg. Tun Daim Zainuddin, sebagai Ketua Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menjemput dan bertemu dengan ketua-ketua pegawai eksekutif enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta institusi amanah, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Khazanah Nasional Berhad. pada pagi ini.

Dalam mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira sejam tersebut, Tun Daim telah mendapatkan pandangan setiap wakil syarikat yang hadir tentang hal-hal berkaitan ekonomi dan pasaran.

Semasa sesi dialog berkenaan, Tun Daim menekankan tentang pentingnya setiap dana pelaburan kerajaan untuk mengekalkan profesionalisme demi kepentingan benefisiari masing-masing, negara dan akhirnya, rakyat. Beliau turut menekankan tentang perlunya dana-dana tersebut diurus secara profesional, telus dan berintegriti. Wakil setiap dana turut diingatkan supaya mengasingkan pengurusan institusi secara profesional daripada sebarang campur tangan yang tidak wajar daripada ahli politik atau pihak luar yang lain. Bagi dana yang mempunyai perwakilan daripada ahli politik dalam Lembaga Pengarahnya, Tun Daim turut menegaskan bahawa hal ini akan dikaji semula dan diubah. Selain itu, turut ditekankan adalah pentingnya prestasi yang baik dan profesional dana-dana tersebut.

Sebagai GLIC dan institusi amanah, kami menerima dengan baik mesej serta pengesahan yang telah disampaikan, sebagai sebahagian daripada amalan berterusan kami untuk memperkukuhkan tadbir urus dan tumpuan kepada prestasi dan akauntabiliti institusi masing-masing

Tun Daim turut meminta maklum balas mengenai prospek ekonomi, pasaran dan matawang Ringgit. Secara kolektif, kami bersetuju bahawa walaupun keadaan pasaran mungkin bakal melalui keadaan yang tidak menentu dalam jangka pendek lanjutan daripada perubahan yang sedang berlaku, dalam jangka panjang, keadaan dijangka lebih positif. Kami juga membawa perhatian beliau kepada pelbagai pandangan pengulas bebas yang secara konsensus berpendapat bahawa ini adalah peluang terbaik untuk menetapkan semula (reset) ekonomi negara.

Sekiranya dilaksanakan secara betul, kami berpendapat, ia bukan sahaja akan membawa kepada keadaan ekonomi negara yang lebih kukuh tetapi juga peningkatan kepada keyakinan terhadap pasaran. Ini sekali gus dapat membawa kepada prestasi yang lebih baik bagi dana-dana yang kami uruskan, yang seterusnya akan menguntungkan benefisiari masing-masing.

Dalam hal ini, Tun Daim sebagai Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, turut memaklumkan bahawa dalam 100 hari pertama ini, Majlis berkenaan akan secara berkala mendapatkan bantuan daripada GLIC dan GLC dari segi maklumat, sumber dan input dalam usaha Kerajaan untuk menangani pelbagai isu yang telah dikenal pasti. Isu-isu ini termasuk, antara lain, kajian semula dana dan syarikat tertentu, kajian semula terhadap projek dan kontrak, dan isu jalan bertol yang mana GLIC dan GLC memiliki kepakaran dan sumber yang khusus dan relevan.

Secara keseluruhannya, kami berterima kasih kepada YABhg. Tun Daim dan urus setia Majlis atas jemputan untuk berdialog pada hari ini, yang tepat pada masanya. Kami berpendapat ini adalah langkah yang sangat positif dalam proses menetapkan semula negara dari sudut ekonomi dan pasaran. Ini akan membolehkan kami untuk terus memperbaiki aspek tadbir urus dan prestasi pengurusan dana serta institusi masing-masing. Dalam hal ini, kami akan bekerjasama dengan Lembaga Pengarah, pengurusan serta Kementerian yang berkenaan, termasuk Kementerian Kewangan, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan syarikat, undang-undang dan sistem tadbir urus syarikat masing-masing, untuk melaksanakan program-program ini secara teratur dan tersusun. Sebagai pihak yang memikul kepercayaan dan tanggungjawab meneraju kesemua institusi ini, kami berharap dapat memainkan peranan kami dengan baik, insya-Allah.

Tan Sri Datuk Wira Azman Hj Mokhtar
Pengarah Urusan
Khazanah Nasional Berhad

Datuk Shahril Ridza Ridzuan
Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Dato’ Abdul Rahman Ahmad
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Permodalan Nasional Berhad

Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad
Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)

Datuk Seri Johan Abdullah
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Lembaga Tabung Haji

Tan Sri Dato’ Seri Hj. Lodin Wok Kamaruddin
Ketua Eksekutif
Lembaga Tabung Angkatan Tentera

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya  

6 Mac 2024

Khazanah Umum Ketua Pengawai Pelaburan Baharu...

Selanjutnya  

3 Januari 2024

Khazanah Nasional Berhad dan CGC Digital mengumumk...

Selanjutnya  

7 November 2023

Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 umum 3 Pemenan...

Selanjutnya  

13 Oktober 2023

Kenyataan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengara...

Selanjutnya  

10 Oktober 2023

Perkongsian 15 tahun Khazanah dan GTI memperkukuh ...

Selanjutnya  

5 Oktober 2023

CDP Group dan Khazanah Nasional Berhad tandatangan...

Selanjutnya  

12 September 2023

Khazanah dan Khazanah Research Institute, dengan k...

Selanjutnya  

27 Julai 2023

Khazanah Sedia Menyokong “Ekonomi MADANI: Memper...

Selanjutnya